Tanjong Katong Road South dibuka semula secara berperingkat mulai 2 Ogos
Beberapa bahagian di South Tanjong Katong Road akan dibuka semula secara bertahap-tahap mulai Sabtu (2 Ogos), menurut kenyataan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan agensi air negara PUB pada Jumaat, seminggu selepas kejadian tanah jerlus memaksa jalan tersebut ditutup.
Kerja-kerja mengisi semula lubang tanah jerlus, seperti yang dirakam pada 28 Julai 2025, di sepanjang Tanjong Katong Road South sudah selesai. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Tanjong Katong Road South dari East Coast Parkway (ECP) ke Mountbatten Road akan dibuka kepada lalu lintas pada tengah hari Sabtu, manakala arah bertentangan dari Mountbatten Road ke ECP akan dibuka pada pagi Isnin dari pukul 5.00 pagi, tambah kedua-dua agensi tersebut.
“Penguasa Pengangkutan Darat dan PUB telah menyiapkan kerja-kerja pembaikan dan penilaian keselamatan bagi bahagian jalan yang terjejas di sepanjang Tanjong Katong Road South serta jalan-jalan di sekitarnya,” menurut kenyataan itu.
“Pemeriksaan-pemeriksaan itu, yang dijalankan dengan rundingan bersama Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), mengesahkan bahawa jalan-jalan tersebut selamat untuk digunakan.”
Tapak di mana tanah jerlus itu terbentuk di sepanjang Tanjong Katong Road South terletak bersebelahan dengan sebuah tapak kerja aktif PUB yang melibatkan pembinaan sebuah aci sedalam 16 meter untuk menyambungkan tiga saluran pembetung sedia ada.
Sebuah komponen konkrit dalam aci tersebut "gagal berfungsi" pada pukul 5.50 petang Sabtu lalu, menurut PUB. Sekitar waktu yang sama, tanah jerlus terbentuk di jalan bersebelahan dan menyebabkan sebuah kereta terjatuh ke dalamnya.
LTA dan PUB menyatakan bahawa agensi-agensi pemerintah sudah menjalankan kerja-kerja untuk menstabilkan tanah sepanjang minggu lalu dengan mengisikan lubang tanah jerlus itu menggunakan tanah stabil dalam bentuk cecair.
Campuran tanah, air dan simen itu lazim digunakan untuk mengisikan ruang kosong di bawah tanah.
“Selepas itu, beberapa siri ujian ketat telah dijalankan untuk menilai keadaan tanah dan mengesahkan bahawa ia selamat untuk dibuka semula,” tambah mereka.
“Ini termasuk ujian pengesanan ruang kosong dan tanah lemah, tinjauan radar penembusan tanah untuk mengesan sebarang anomali bawah tanah serta tinjauan seismik untuk memetakan ketumpatan dan kestabilan lapisan bawah tanah.
“Berdasarkan hasil imbasan, tiada anomali atau ruang kosong dikesan di kawasan tersebut.”
Perkhidmatan bas 36 dan 48, bagi arah timur yang menuju ke Lapangan Terbang Changi dan Bedok, yang sebelum ini dialihkan buat sementara waktu juga akan kembali ke laluan asalnya pada tengah hari Sabtu.
Bagi arah barat menuju ke bandar melalui ECP, perkhidmatan bas akan mula berkhidmat di semua hentian yang terjejas di sepanjang Tanjong Katong Road South, Mountbatten, Amber dan Marine Parade bermula Isnin dari awal waktu perkhidmatan.
“Para pemandu mungkin akan terus melihat kerja-kerja yang dijalankan di kawasan tersebut, termasuk pembaikan utiliti bawah tanah atau pemasangan utiliti baharu bagi menggantikan yang rosak selepas jalan dibuka semula,” menurut LTA dan PUB.
“Kami berterima kasih kepada para pemandu dan penduduk atas kesabaran dan pemahaman mereka sepanjang tempoh penutupan jalan.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.