Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tanjong Katong Complex akan ditutup, jalani peningkatan besar-besaran mulai separuh kedua 2023

Tanjong Katong Complex (TKC) akan menjalani kerja-kerja naik taraf besar-besaran bermula separuh kedua 2023 dan ini akan memerlukan kesemua 106 penyewanya mengosongkan premis tersebut selewat-lewatnya 30 Jun 2023.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tanjong Katong Complex (TKC) akan menjalani kerja-kerja naik taraf besar-besaran bermula separuh kedua 2023 dan ini akan memerlukan kesemua 106 penyewanya mengosongkan premis tersebut selewat-lewatnya 30 Jun 2023.

Demikian dedah Penguasa Tanah Singapura (SLA) hari ini (8 Dis), yang menyatakan bahawa tempoh pajakan bagi kesemua penyewanya seharusnya lupus pada 31 Dis 2022 tetapi kini dilanjutkan lagi enam bulan.

Menurut SLA lagi, yang juga merupakan tuan tanah TKC, kerja-kerja peningkatan di TKC dijangka memakan masa sehingga tiga tahun atau siap pada 2026.

Namun demikian badan itu memberi jaminan bahawa peranan TKC "sebagai tempat berniaga yang mempunyai warisan budaya Melayu" akan tetap dipelihara.

Rancangan menaik taraf TKC adalah sebahagian daripada pelan membina Jalur Budaya Melayu Geylang Serai dengan identiti kebudayaannya yang tersendiri.

Projek jalur budaya itu diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018, dan kawasan jalur budaya itu akan menganjur dari Kelab Masyarakat Kampong Ubi hinggalah ke TKC.

Semasa siap dibina pada 1984, TKC mencatat sejarah sebagai pusat beli-belah berhawa dingin pertama Singapura yang dibangunkan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB). Ia mempunyai keluasan ruang lantai sebanyak 19,000 persegi.

Namun sejak itu, TKC tidak pernah menjalani sebarang kerja peningkatan besar-besaran.

"Sistem-sistem mekanikal dan elektrikalnya memang sudah usang dan perlu segera digantikan dengan yang baru," menurut SLA dalam satu kenyataan medianya hari ini (8 Dis).

APA CIRI, KEMUDAHAN BARU TANJONG KATONG COMPLEX NANTI?

Selain merombak semula susun atur dalaman TKC, SLA mendedahkan bahawa TKC ‘baru’ nanti bakal mempunyai sebuah tempat makan atau F&B di bahagian bumbung bangunannya. Sekarang ini bahagian bumbung TKC tidak digunakan untuk sebarang kemudahan niaga.

(Gambar-gambar: SLA)

SLA menambah, orang ramai boleh menikmati lebih banyak kedai dan pilihan tempat makan selain kemudahan-kemudahan dan khidmat lebih baik apabila kerja-kerja peningkatan selesai dijalankan di TKC.

TKC juga akan mempunyai lebih banyak ruang luas di mana pelbagai acara kemasyarakatan boleh diadakan.

Sungguhpun demikian, beberapa ciri ikonik TKC akan tetap dikekalkan. Sebagai contoh, tiang-tiang mereng atau kepingan struktur melintang seperti sekarang, akan dikekalkan.

Bahagian tembok kacanya pula yang kini dibina melintang akan digantikan dengan tembok kaca yang tegak seperti gambar di bawah.

Muka bangunan baru itu akan membolehkan lebih banyak cahaya matahari memasuki bangunan sementara ruang dalaman TKC pula dapat dilihat dengan lebih baik dari luar.

Satu pintu masuk juga akan dibuka di sisi bangunan TKC yang menghadap Sims Ave bagi memudahkan para pengunjung yang datang dari stesen MRT Paya Lebar.

“SLA akur TKC merupakan sebuah tempat unik dan istimewa di Singapura dan orang ramai juga memberi maklum balas bahawa (ciri-ciri) ikonik TKC harus dikekalkan. TKC yang diberi nafas baru akan menyegarkan lagi kawasan di sekitarnya dan menjadikan kawasan Geylang Serai sebuah jalur budaya menyerlah bagi masyarakat dan semua rakyat Singapura,” kata Ketua Eksekutif SLA, Encik Colin Low.

SLA juga menambah bahawa dalam merancang peningkatan besar-besaran itu ia mengambil kira masukan daripada sesi-sesi maklum balas berhubung jalur budaya Geylang Serai antara Oktober 2019 hingga Jaunuari 2020.

Antara maklum balas yang diterima termasuklah cadangan supaya bangunan TKC dikekalkan ekoran nilai warisannya dan daya tarikannya kepada masyarakat Melayu.

Pameran bergerak yang diadakan bagi mendapatkan maklum balas tentang Jalur Budaya Geylang Serai. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

(Gambar fail, 2019)

Bagaimanapun, ada juga yang mahu kemudahan-kemudahan baru yang boleh menghidupkan lagi ruang TKC.

APA NASIB PARA PENYEWA SEKARANG?

Sungguhpun tempoh pajakan TKC akan lupus pada Disember 2022, SLA menyatakan ia akan memberi kelonggaran tambahan enam bulan kepada para penyewa.

“SLA faham tentang kesukaran yang dihadapi para penyewa sepanjang dua tahun lalu disebabkan COVID-19. Maka itu, SLA akan membolehkan mereka melanjutkan sewa selama lagi enam bulan, agar para peniaga dapat meraih manfaat daripada permintaan tinggi semasa tempoh Hari Raya pada April 2023,” menurut SLA.

Penguasa itu berharap, notis 18 bulan atau 1.5 tahun ini sebelum para peniaga perlu mengosongkan kedai masing-masing, akan memberikan mereka masa untuk mengatur rancangan berpindah ke tempat lain.

SLA bersedia bekerja rapat dengan para penyewa untuk membantu mereka mencari tempat baru. Mereka yang ingin mencari lokasi alternatif di hartanah milik negara juga boleh menyertai tender terbuka menerusi laman ini

Sebenarnya, TKC sebelum ini sudahpun mendapat sambungan sewa selama lagi 10 tahun di bawah pelan pembangunan semula Geylang Serai pada 2011. Tempoh itulah yang akan lupus pada Disember 2022. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan