Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tanggungjawab peribadi 'tunggak penting' kompak sosial sekalipun dengan faedah pengangguran, kata Menteri MOM

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Sep 2024 02:33PM Dikemas Kini : 09 Sep 2024 08:59PM
SINGAPURA: Rakyat Singapura percaya bahawa tanggungjawab peribadi harus terus menjadi asas kompak sosial negara, walaupun selepas faedah pengangguran diperkenalkan buat julung-julung kalinya, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Isnin (9 Sep).

Di bawah Skim Bantuan Pencari
Kerja SkillsFuture yang baharu, Singapura akan mengagihkan sehingga S$6,000 dalam tempoh enam bulan kepada mereka yang menganggur bukan secara sukarela, seperti disebabkan oleh pemberhentian pekerja.

Skim ini bermula pada April 2025 untuk warga Singapura yang layak, dan pada suku pertama 2026 untuk Penduduk Tetap (PR) yang layak.

Skim tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pertamanya pada Ogos. Encik Tan menyifatkan langkah itu sebagai satu "anjakan paradigma" apabila beliau menjawab soalan mengenai skim tersebut di parlimen pada Isnin (9 Sep).

"Pertama, kami mahu mencipta alternatif yang lebih baik berbanding insurans pengangguran. Kami telah meneliti dan mengkaji negara-negara lain mengenai bagaimana insurans pengangguran boleh dijadikan lebih menarik bagi individu sedemikian," kata Encik Tan.

"Kami juga telah mendengar maklum balas daripada majikan mengenai peningkatan kos perniagaan, dan kami tidak mahu majikan mengimbangi kos skim insurans dengan memotong gaji atau dengan menghentikan faedah pemberhentian."

Encik Tan berkata inilah sebabnya mengapa pemerintah mencari "alternatif yang lebih baik, untuk meminimumkan hasil negatif yang telah kita lihat di tempat-tempat lain".

"Objektif kami adalah untuk menyokong individu yang bukan menganggur secara sukarela bangkit semula ke pekerjaan yang lebih sepadan dan sesuai dengan kemahiran dan pengalaman mereka, bukannya tergesa-gesa ke pekerjaan yang tidak sesuai semata-mata kerana tekanan kewangan.

"Tetapi pada masa yang sama, daripada sesi Melakar Hala Tuju Singapura, kami telah mendengar rakyat Singapura berkongsi bahawa tanggungjawab peribadi harus kekal sebagai asas dalam kompak sosial kita.

“Oleh itu, skim itu harus meminimumkan potensi kesan moral dengan menyokong pencari kerja mendapatkan semula pekerjaan, dan bukannya pengangguran berterusan.

"Pencari kerja perlu memainkan peranan mereka, bertanggungjawab atas tindakan mereka dan berusaha untuk bangkit semula," katanya sambil menambah bahawa pemerintah juga akan menyokong mereka melalui program pemadanan pekerjaan dan latihan.

MEMUTUSKAN SIAPA YANG LAYAK

Para Anggota Parlimen bertanya tentang rasional di sebalik skim tersebut, khususnya bagaimana kriteria kelayakan diputuskan.

Hanya mereka yang berumur 21 tahun ke atas yang sebelum ini memperoleh purata sehingga S$5,000 sebulan akan layak mendapat sokongan pencari kerja. Penerima juga mesti tinggal di hartanah dengan nilai tahunan S$25,000 atau kurang daripada itu.

Dia juga haruslah menganggur atas sebab-sebab yang tidak disengajakan seperti pemberhentian kerja, pemberhentian perniagaan, pemecatan atau penamatan kerja kerana penyakit, kecederaan atau kemalangan.

Individu tersebut mestilah sudah bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh 12 bulan yang lalu sebelum memohon skim tersebut, dan mestilah tidak menerima bayaran di bawah skim tersebut dalam tempoh tiga tahun yang lalu.

Mereka yang menerima bayaran juga perlu melibatkan diri dalam usaha mencari pekerjaan dan aktiviti berkaitan yang akan membantu mendapatkan pekerjaan, dengan butiran lanjut mengenai perkara tersebut akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Bayaran sehingga S$6,000 akan diberikan dalam sistem berperingkat, bermula pada maksimum S$1,500 pada bulan pertama dan dikurangkan selepas itu.
Ini adalah untuk memberikan jaminan awal yang lebih besar kepada pencari kerja, dan memberi insentif kepada mereka untuk memulakan kerja lebih awal jika mereka mendapat pekerjaan yang sesuai, kata Encik Tan.

Encik Tan berkata skim itu menyasarkan pekerja berpendapatan rendah hingga sederhana yang lebih berkemungkinan menghadapi tekanan kewangan, dan tahap pendapatan S$5,000 tinggi sedikit berbanding median pendapatan bulanan penduduk negara ini.

Dengan kriteria pendapatan ini, skim tersebut akan memanfaatkan lebih 60 peratus penduduk Singapura yang bukan menganggur secara sukarela.

Ambang nilai hartanah tahunan sebanyak S$25,000 juga sejajar dengan skim lain seperti skim Baucar GST dan meliputi kira-kira 75 peratus kediaman, termasuk semua perumahan awam, katanya.

Permohonan akan disemak secara automatik menggunakan data pemerintah yang tersedia dan pengesahan lanjut oleh pasukan khusus di Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG). Rayuan akan dinilai berdasarkan kes demi kes.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Hazel Poa, dari Parti Kemajuan Singapura, bertanya mengapa Penduduk Tetap (PR) juga layak mendapat sokongan pencari kerja.

Encik Tan berkata pendekatan ini tidak berbeza dengan program kemudahan pekerjaan lain, seperti khidmat pemadanan kerjaya dan program penukaran kerjaya oleh WSG.

“Saya ingin menegaskan bahawa rakyat Singapura akan sentiasa menjadi keutamaan pemerintah di tengah-tengah dasar negara, walaupun kami mengalu-alukan mereka yang komited dan menyumbang kepada Singapura.

"Rakyat kita menerima sokongan dan faedah paling banyak dalam beberapa bidang, termasuk perumahan, jagaan kesihatan, pendidikan dan keibubapaan," kata Encik Tan.

“Tetapi PR telah menyatakan komitmen mereka kepada Singapura, dan menyumbang kepada kekuatan kita sebagai sebuah masyarakat dan ekonomi.

"Jadi begitu juga, kita juga harus menyokong PR kita yang menghadapi masa sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang baik supaya mereka dapat menyara diri mereka dan menyumbang kepada ekonomi kita."

Encik Tan berkata bahawa skim tersebut "mencerminkan komitmen bahawa kami akan sentiasa membantu dan menyediakan sumber untuk mereka yang ingin melakukan lebih banyak untuk diri mereka sendiri".

"Perdana Menteri telah berkata bahawa 'anjakan minda' diperlukan semasa kita melakar hala tuju Singapura. Ini adalah penyesuaian kepada dasar pemerintah dan sama pentingnya, perubahan pada pandangan dan sikap rakyat Singapura."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan