Skip to main content

Singapura

‘Tanggungjawab kemanusiaan’: Masyarakat setempat giat gerakkan usaha ikut kemampuan, meski tiada tanda derita di Gaza akan berakhir

Anggaran Waktu Membaca:
‘Tanggungjawab kemanusiaan’: Masyarakat setempat giat gerakkan usaha ikut kemampuan, meski tiada tanda derita di Gaza akan berakhir

(Dari kiri) Encik Muhammad Syabil Sarwani, Cik Nur Maisarah Omar dan Cik Afifah Shameemah serta rakannya.

SINGAPURA: Krisis kemanusiaan yang melanda penduduk Gaza masih tiada bayangan akan berakhir segera. Sebaliknya, krisis itu kelihatan lebih meruncing. Ini meskipun sudah hampir setahun krisis itu berlarutan disebabkan perang yang tercetus di bumi Gaza.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Paparan penderitaan serta kepedihan yang menyelubungi penduduk Gaza, baik menerusi laporan berita mahupun gambar serta video di media sosial, tidak henti-henti mencengkam jiwa ramai.

Atas sebab itu, sebilangan individu dalam kalangan masyarakat di sini mengambil langkah-langkah proaktif sejak beberapa bulan lalu, untuk menggerakkan usaha dalam kemampuan masing-masing bagi penduduk Gaza.

Usaha sedemikian bahkan, masih rancak dilaksanakan meskipun harapan mereka untuk melihat penderitaan penduduk Gaza sejak hampir setahun lalu berakhir segera, semakin pudar.

PERINGATI PENDUDUK GAZA DI MAJLIS PERKAHWINANNYA SENDIRI

Usaha Cik Nur Maisarah Omar dan Encik Muhammad Syabil Sarwani mengumpul dana bagi penduduk Gaza dan meningkatkan kesedaran tentang keadaan yang masih berlaku di sana dalam kalangan mereka yang terdekat, menjadi tumpuan ramai baru-baru ini.

Manakan tidak, pasangan ini, yang kedua-duanya berusia 26 tahun, memilih untuk melaksanakan usaha sedemikian di majlis perkahwinan mereka sendiri!

Jika biasanya tetamu sesebuah majlis perkahwinan hanya sekadar meraikan pasangan mempelai itu, lain pula bagi para tetamu Cik Maisarah dan Encik Syabil.

s
Gambar: Nur Maisarah Omar

Mereka diajak membuat sumbangan kepada pertubuhan kebajikan Love Aid SG dalam apa jua jumlah, dengan hanya mengimbas kod QR, yang diletakkan di setiap meja di majlis perkahwinan tersebut, beserta gambar pasangan itu. Sumbangan tersebut adalah bagi menyokong inisiatif-inisiatif kemanusiaan ‘Gaza Aid’ kendalian Love Aid SG.

Ditanya mengapa memilih untuk melakukan usaha sedemikian di majlis perkahwinannya sendiri, Cik Maisarah berkata: “Kami rasa ia masa yang tepat kerana kebanyakan orang yang hadir ingin berkongsi kebahagiaan dan kasih sayang kami.

Cik Nur Maisarah Omar, suaminya dan ibu bapanya bergambar dengan Gilbert Goh (tengah), pengasas Love Aid SG. (Gambar: Nur Maisarah Omar)

“Kami berharap bahawa semangat kebersamaan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk sumbangan kepada mereka yang memerlukan, terutama di Gaza,” tambah beliau, yang bertugas di sebuah makmal sesebuah hospital tempatan.

Sambutan yang diterima bagi inisiatif tersebut tidak diduga sama sekali oleh pasangan itu, yang selamat diijabkabulkan pada 21 September. Ini memandangkan mereka pada mulanya, risau tetamu mereka akan menganggap inisiatif sedemikian kurang sesuai atau sensitif dilakukan di majlis perkahwinan sedemikian.

Gambar: Nur Maisarah Omar
Sumbangan yang dikumpulkan menerusi majlis perkahwinan mereka itu sahaja, mencecah S$5,000. Ini di samping sumbangan yang disalurkan ibunya sendiri kepada Love Aid SG, berjumlah S$2,109.24, bertepatan dengan tarikh perkahwinan Cik Maisarah dan Encik Syabil.

Ini bahkan, bukan pertama kali Cik Maisarah dan keluarganya, melaksanakan usaha kutipan dana sedemikian bagi Palestin.

Mereka pernah mengumpul sumbangan daripada rakan-rakan dan keluarga rapat, untuk menyalurkan secara langsung ke sebuah rumah anak yatim di Baitulmakdis dan sebuah kem pelarian di Jericho, Tebing Barat ketika bercuti di Jordan dan Palestin pada 2017.

GIAT KENDALI USAHA AGAR MEREKA TERDEKAT YAKIN UNTUK SUMBANGAN BAGI PALESTIN

Segelintir daripada keluarga dan rakannya yang terdekat pada mulanya ragu untuk menyokong pertubuhan tempatan yang melakukan usaha kemanusiaan bagi Gaza kerana khuatir menjadi mangsa penipuan. Maka, Cik Afifah Shameemah, 25 tahun, mengorak langkah untuk melakukan inisiatifnya sendiri agar mereka di sekelilingnya yakin untuk menyumbang.

Daripada penjualan kek strawberi buatannya sendiri kepada beg tote hasil sentuhan seorang artis digital dari Palestin, pelbagai usaha kutipan dana dikendalikan Cik Afifah bagi para penduduk Gaza, sejak Oktober tahun lalu.
Cik Afifah Shameemah (dua dari kiri), mengambil bahagian dalam pasar lambak anjuran Artcorepunks, bagi mengumpul dana bagi usaha kemanusiaan di Gaza. (Gambar: Afifah Shameemah)
Beliau bahkan, memanfaatkan kemahirannya bertutur dalam bahasa Arab untuk berhubung dengan penduduk Palestin secara langsung menerusi wadah media sosial, sekali gus memastikan beliau dapat memahami dengan lebih baik keadaan hidup di sana serta keperluan seharian yang diperlukan mereka.

“Saya lihat ramai penduduk Palestin yang merayu bagi mendapatkan bantuan di media sosial, dan mereka meluahkan rasa malu sebab terpaksa merayu. Mereka ingin bekerja untuk dapat pendapatan masing-masing, namun penderitaan yang mereka hadapi tidak mengizinkan,” kongsi Cik Afifah, yang merupakan pekerja sosial.

“Sebagai seorang yang dulu juga mengalami kemiskinan, saya faham rasa malu itu, dan pentingnya untuk memperkasa golongan yang tertindas,” ujarnya kepada BERITA Mediacorp.
Cik Afifah Shameemah menunjukkan beg tote, yang dijualnya, dengan hasil sentuhan kreatif artis seni Palestin, A'la Alwadiya. (Gambar: Afifah Shameemah)
Cik Afifah kini, sedang mengendalikan penjualan beg tote, hasil sentuhan kreatif artis seni Palestin, A'la Alwadiya. Di samping mengongsi karya seni A'la kepada penduduk Singapura, Cik Afifah menzahirkan harapan agar usaha pengumpulan dana itu dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung A'la serta lapan anggota keluarganya yang lain di Khan Younis, Palestin dan membina semula kehidupannya di sana kelak.

“TANGGUNGJAWAB KEPADA KEMANUSIAAN”

Sekumpulan individu daripada Artcorepunks turut menggembleng tenaga menganjurkan insiaitif bagi penduduk Gaza, sejak beberapa bulan lalu.

Artcorepunks merupakan sebuah kompulan seni kolektif, yang menghasilkan aneka karya seni, zine dan barangan dagangan (merchandise).

Sejak ia ditubuhkan pada 2016, kumpulan tersebut aktif mengendalikan pelbagai inisiatif kutipan dana, daripada hasil penjualan karya-karya mereka, bagi tujuan murni - menyediakan keperluan kepada golongan gelandangan di sini dan mangsa gempa bumi di Turki dan Syria tahun lalu, antara lain.

Sejauh ini, sebanyak dua "flea market" atau pasar lambak dianjurkan pada Julai dan Ogos lalu. Ia menghimpunkan lebih 20 peniaga tempatan untuk mengendalikan penjualan mereka daripada aneka jenis kek kepada lukisan henna, bagi usaha murni - mengumpul dana bagi krisis kemanusiaan di Gaza.
Sebanyak 30 peratus daripada yuran sewa dan sebahagian daripada penjualan yang dijalankan di acara tersebut disalurkan kepada Love Aid SG.

Hasilnya, mereka berjaya mengumpulkan lebih S$5,000 daripada penganjuran kedua-dua pasar lambak itu, menurut Cik Nurul Syafirah, 18 tahun, pemilik Artcorepunks.

Ini lantas membakar lagi semangat kumpulan tersebut untuk merancang mengadakan lebih banyak platform sedemikian demi meneruskan sokongan kepada usaha kemanusiaan di Gaza.

Ditanya apa yang mendorong mereka untuk meneruskan usaha sedemikian, sekalipun menyedari bahawa sudah mencecah hampir setahun penduduk Gaza bergelut dengan krisis kemanusiaan itu.

Cik Syafirah berkata: "Setiap manusia bertanggungjawab untuk membantu orang lain yang memerlukan. Kehidupan tidak pernah mudah, menjadi tanggungjawab kita sebagai manusia untuk menyokong satu sama lain.

Pandangan tersebut turut disuarakan Cik Maisarah dan Cik Afifah, yang menekankan usaha mereka itu, meski mungkin tampak kecil kesannya, dianggap sebagai satu tanggungjawab kepada kemanusiaan, yang terletak pada pundak setiap orang.

Mereka akur bahawa kadangkala mereka hilang semangat melihat penderitaan penduduk Gaza yang berlarutan, yang boleh dikaitkan dengan fenomena 'kepenatan advokasi' (advocacy fatigue).

Namun, rasa tanggungjawab itu yang membulatkan tekad mereka untuk meneruskan usaha, dengan kudrat yang ada.

"Perasaan ingin putus asa kadangkala ada, sebab kita berusaha, tapi nampaknya penderitaan mereka berterusan. Rasa seperti usaha kita sia-sia saja," ujar Cik Afifah.

"Tapi kita di Singapura untung. Kita boleh rehat seketika. Kita boleh jaga kesihatan mental kita, matikan media sosial dan kawal perasaan dan fikiran kita. Itu pun adalah satu tanggungjawab kita kepada kawan-kawan di Palestin," tambahnya.

"Kalau kita tidak jaga diri kita, kita akan berputus asa (maka) siapa lagi yang akan membantu mereka?"
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita