Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tanggungjawab keluarga, peranan sebagai penjaga antara punca wanita Melayu tidak jalani pemeriksaan barah payudara

Anggaran Waktu Membaca:
Tanggungjawab keluarga, peranan sebagai penjaga antara punca wanita Melayu tidak jalani pemeriksaan barah payudara

Tanggungjawab keluarga, peranan sebagai penjaga antara punca wanita Melayu tidak jalani pemeriksaan barah payudara. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Tanggungjawab menguruskan keluarga dan menjaga anggota keluarga yang sakit merupakan antara faktor utama yang menghambat wanita Melayu untuk mementingkan kesihatan mereka.

Ini termasuk untuk menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan barah payudara.

Faktor itu juga didapati sebagai antara punca kadar yang rendah bagi ujian mamogram dalam kalangan wanita Melayu.

Gambar fail Yayasan Barah Payu Dara Singapura (Gambar: BERITAMediacorp)

Demikian dapatan daripada sebuah bengkel pelbagai sektor yang dikendalikan Yayasan Barah Payu dara (BCF) hasil kerjasama dengan Roche dan Society of Behavioural Health Singapore (SBHS).

Bengkel itu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan daripada pertubuhan-pertubuhan pesakit, kelompok kesihatan, pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam, agensi pemerintah dan pakar perubatan.

KADAR UJIAN MAMOGRAM - WANITA MELAYU PALING RENDAH

Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) 2022, kadar jumlah wanita Singapura yang menjalani ujian saringan barah payudara hanyalah 37.6 peratus.

Ini lebih rendah berbanding kadar yang dicatatkan di peringkat global iaitu lebih 70 peratus.

Dalam negara, peratusan wanita Melayu yang menjalani mamogram ialah 21.5 peratus.

Ia yang paling rendah berbanding wanita India (43.9 peratus) dan Cina (39.5 peratus).

Lantas, bengkel sepanjang tiga jam yang diadakan di BCF pada 19 Januari itu berharap dapat mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada trend membimbangkan itu.

Beberapa dapatan utama dalam bengkel itu mengenal pasti faktor-faktor yang menghambat wanita Melayu melakukan ujian mamogram.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Kebimbangan stigma dan kebimbangan dipinggirkan masyarakat dalam kalangan masyarakat Melayu dan salah tanggapan terhadap diagnosis mereka serta menyelaraskan kepercayaan mereka dengan diagnosis dan perjalanan rawatan. Ini antara beberapa perbezaan dalam sikap menjaga kesihatan," kongsi Ketua Advokasi dan Komunikasi BCF, Natalie Lau kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Masyarakat Melayu kita juga, seperti ramai wanita lain hari ini, sering dibelenggu dengan tanggungjawab keluarga dan tanggungjawab sebagai penjaga. Jadi mereka lebih cenderung untuk tidak mengutamakan penjagaan diri, kasih sayang kepada diri sendiri dan pengurusan kesihatan yang lebih proaktif terutama sekali dalam kesihatan payudara," tambah beliau.

Selain itu, terdapat juga beberapa faktor yang menyumbang kepada diagnosis pada peringkat lewat yang dibincangkan semasa bengkel itu.

Antaranya "taboo" dari segi budaya dalam perbincangan mengenai kesihatan payu dara dan pemeriksaan,serta kurang kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal.

"Beberapa halangan emosi itu berkaitan dengan kekurangan sokongan yang mereka rasakan, atau salah tanggapan terhadap barah. Yang sebenarnya, adalah penting untuk menjadi lebih waspada terhadap kesihatan payu dara dan mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif," jelas Cik Lau.

PERLU DAPATKAN PENGESANAN DAN RAWATAN AWAL

Faktor sosioekonomi seperti akses yang terhadap kepada kemudahan-kemudahan penjagaan kesihatan dan kekangan kewangan juga memburukkan lagi cabaran-cabaran itu.

"Beberapa pemerhatian ialah kebanyakan wanita cenderung untuk datang pada peringkat yang lewat dalam diagnosis barah mereka, seperti yang disahkan oleh beberapa doktor kami dalam panel perubatan. Jadi beberapa cabaran ini boleh diatasi dahulu. Jadi jika masyarakat Melayu kita lebih sedar dan kita membuat lebih banyak pendidikan, mereka dapat memahami betapa mudahnya ia (barah) dapat ditangani dan boleh dirawat lebih awal," ujar Cik Lau.

"Lebih banyak sokongan dan dorongan boleh diberikan kepada wanita Melayu kita untuk menggalak mereka menjaga kesihatan payudara mereka, melakukan pemeriksaan kerana pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa dan payudara. Jadi ini berkaitan memanfaatkan pilihan-pilihan rawatan yang baik untuk diri mereka sebaik sahaja ia (barah) dikesan awal," tambahnya lagi.

BCF INGIN KERJASAMA DENGAN MASJID, INSTITUSI ISLAM, PEMIMPIN AGAMA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Untuk meningkatkan kesedaran itu dalam kalangan wanita Melayu/Islam, BCF berharap dapat tingkatkan kerjasama dengan masjid-masjid, institusi Melayu/Islam dan para pemimpin agama.

BCF juga antaranya merancang untuk mempertingkatkan lagi kesedaran menerusi program-program pendidikan yang disesuaikan dengan konteks budaya dan mempermudahkan akses kepada khidmat pemeriksaan.

"Penting untuk kita kumpul bersama untuk membincangkan usaha-usaha yang sedia ada dan melihat apa yang boleh dilakukan memandang ke hadapan selepas meneliti beberapa jurang dan peluang untuk berkolaborasi. Jadi ini yang pertama dalam membina usaha bersama," ujar Cik Lau.

"Yang kedua berkaitan pendidikan dan kesedaran. Saya rasa kita perlu memperbaiki pendekatan kepada masyarakat menerusi kerjasama dengan program pendidikan di peringkat sekolah atau dengan badan masyarakat lain agar kita dapat menyebarkan mesej-mesej penting ini dalam peringkat akar umbi," tambahnya.

BCF turut mengalu-alukan mereka yang berminat untuk tampil ke hadapan dan bekerjasama demi membantu meningkatkan lagi kesedaran tentang hal itu dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

MULAKAN RANGKAIAN BANTU MASYARAKAT MELAYU/ISLAM YANG TERJEJAS DENGAN BARAH PAYUDARA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Selain di peringkat pertubuhan atau kumpulan, BCF juga menyambut baik usaha yang dijalankan individu perseorangan bagi menyediakan sokongan buat wanita-wanita lain.

Ini seperti yang dilakukan individu bernama Cik Intan Ramli, 51 tahun yang giat aktif dalam masyarakat barah payudara Melayu/Islam.

Beliau memulakan rangkaian 'befriender' untuk sokong wanita Melayu/Islam yang terjejas dengan barah payudara di kawasan kejiranan.

"Semasa saya mendapat diagnosis menghidap barah payu dara, saya tidak ada sokongan langsung kerana tiada ahli keluarga dan sanak saudara yang menghidap barah payudara. Jadi dari situ, saya ada semangat untuk mencari dan membina satu kumpulan agar sesiapa yang baru mendapat diagnosis dengan barah payu dara boleh menyertai kumpulan kita jadi kita boleh berkongsi pengalaman dengan mereka kerana saya rasa itu sangat penting," kongsi Cik Intan kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Rangkaian sokongan sebegini boleh menjadi langkah pertama untuk galak lebih ramai wanita jalani pemeriksaan mamogram atau rawatan.

"Kita berkongsi pengalaman tetapi kita tidak memberi nasihat sebagai doktor hanya pengalaman seperti alahan-alahan kemoterapi, seandainya kita ada pening-pening atau muntah-muntah, apa yang harus kita lakukan. Jadi kita beri nasihat dari segi itu sahaja. Kalau lebih dari itu, kita nasihatkan mereka untuk pergi berjumpa doktor," jelas Cik Intan.

Ibu empat orang anak itu disahkan menghidap barah payudara pada 2021.

"Saya pergi pemeriksaan mamogram kerana pada masa itu, saya mendapati saya ada benjolan di payudara saya. Sebelum itu, saya memang bingung kerana tidak tahu sama ada ingin ke poliklinik atau terus pergi ke pakar pembedahan," menurutnya.

Cik Intan percaya akan pentingnya pemeriksaan dan rawatan awal kerana ia boleh menyelamatkan nyawa.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan