Skip to main content

Singapura

Tanggungjawab bersama, sokongan di tempat kerja penting untuk tingkatkan pengalaman keibubapaan: Pakar

Lebih sedekad lalu, Cik Olivia Pua meninggalkan pasangannya dan membawa bersama bayi mereka yang berusia lima bulan ketika itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tanggungjawab bersama, sokongan di tempat kerja penting untuk tingkatkan pengalaman keibubapaan: Pakar

Membesarkan anak memerlukan komitmen bersama serta sistem sokongan yang lebih kukuh, menurut para ibu bapa. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 27 Apr 2026 03:14PM
  • Cik Olivia Pua dan Cik Emmeline Low berkongsi pengalaman membesarkan anak secara tunggal akibat ketidakseimbangan tanggungjawab pasangan di Singapura.
  • Statistik menunjukkan penurunan kadar kesuburan dan perkahwinan, serta peningkatan perceraian, terutama dalam kalangan pasangan muda pada 2024 dan 2025.
  • Pakar seperti Dr Mathew Mathews dan Dr Kalpana Vignehsa menekankan tekanan kos sara hidup, kekangan masa, dan kurangnya sokongan sebagai faktor utama cabaran keibubapaan.
  • Mereka mencadangkan perubahan sistemik seperti fleksibiliti kerja, akses jagaan kanak-kanak, dan sokongan keluarga untuk memperbaiki situasi keibubapaan di masa depan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Lebih sedekad lalu, Cik Olivia Pua meninggalkan pasangannya dan membawa bersama bayi mereka yang berusia lima bulan ketika itu.

Bekas suaminya pada ketika itu tidak bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa sehingga ia mencetuskan pertengkaran berterusan dan sekitaran rumah yang semakin tidak sihat.

“Saya mahu semua orang menjalani kehidupan yang lebih baik dengan meneruskan hidup masing-masing,” kata beliau.

“Walaupun saya sudah berkahwin … saya berasa seperti seorang ibu tunggal. Dia tidak memikul sebarang tanggungjawab.”

Sejak itu, Cik Pua membesarkan anak lelakinya secara sendirian hampir sepenuhnya, tanpa nafkah, bergantung kepada sokongan keluarga sambil melakukan beberapa pekerjaan untuk menampung kehidupan.

Pengalaman itu mengubah pandangannya terhadap perkahwinan.

“Jika anda tidak mempunyai pasangan yang boleh berkongsi (tanggungjawab) dan memberi nilai tambah kepada hidup anda, maka perkahwinan itu hanya terbina pada sehelai kertas,” kata wanita berusia 38 tahun itu kepada Mediacorp.

Cik Emmeline Low juga membuat keputusan untuk meninggalkan hubungannya yang tidak seimbang.

Ketika beliau hamil dengan anaknya yang ketiga, beliau menyedari bahawa beliau melalui kehamilan itu seorang diri - iaitu daripada menghadiri temu janji bersama pakar sakit puan seorang diri dan bahkan membesarkan anak-anaknya tanpa sokongan bermakna daripada suaminya.

Titik penentunya datang pada suatu malam ketika beliau perlu melakukan perjalanan ke jabatan kecemasan.

Beliau berkata: “Reaksinya ialah … dia perlukan rehat. Ayah saya sanggup datang dari jauh ke rumah untuk menghantar saya ke hospital. Ketika itu saya rasa sudah tiba masanya untuk saya teruskan dengan kehidupan baharu.”

Dalam proses perceraian, Cik Low mengikuti kursus-kursus peningkatan kemahiran untuk meningkatkan kebolehpasarannya.

Kini, wanita berusia 39 tahun itu berkongsi tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka dengan bekas suaminya, dengan anak-anak mereka bermalam di rumah beliau dan bekas suaminya secara bergilir-gilir.

Pandangan beliau terhadap hubungan juga berubah.

“Ketika saya berusia 20-an, saya mahu mencari seorang bapa yang baik untuk anak-anak saya,” kata beliau. “Apabila saya semakin meningkat usia … saya mahukan pasangan hidup yang boleh menyediakan keperluan, perlindungan dan menyelesaikan masalah.”

ANGKA KEIBUBAPAAN YANG MEMBIMBANGKAN

Kisah-kisah seperti Cik Pua dan Cik Low mencerminkan realiti lebih luas di Singapura: ibu bapa mengatakan, pembahagian tanggungjawab yang tidak seimbang di rumah boleh menjejaskan perkahwinan, mempengaruhi keputusan untuk mempunyai anak dan dalam sesetengah kes, menyebabkan pasangan berpisah.

Ini berlaku sedang kadar kesuburan keseluruhan Singapura jatuh ke paras rekod terendah 0.87 pada 2025.

Golongan muda juga memilih menangguhkan mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata.

Data pemerintah terkini pada 2024 menunjukkan jumlah perkahwinan merosot tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan penurunan terbesar dalam kalangan pasangan berusia 25 hingga 34 tahun.

Pada masa yang sama, jumlah kes perceraian dan pembatalan perkahwinan meningkat sebanyak 3.7 peratus.

Sementara itu, umur median ibu bapa kali pertama meningkat, dengan usia median bapa adalah 33.6 tahun pada 2024 berbanding 32.9 pada 2014, dan ibu pada 31.9 tahun daripada 30.4 dalam tempoh sama.

Para pakar berkata selain pembahagian tanggungjawab, faktor-faktor penyumbang kepada perkembangan tersebut adalah kompleks.

“Apabila anda hidup dalam persekitaran yang sangat kompetitif dengan kos sara hidup tinggi, semakin kurang yang berasa bersedia untuk menjadi ibu bapa,” kata Dr Mathew Mathews, felo penyelidik utama di Institut Kajian Dasar (IPS), Universiti Nasional Singapura (NUS).

KOS MENINGKAT MELANGKAUI WANG

Tekanan keibubapaan hari ini melangkaui kos kewangan.

Ibu bapa berdepan kekangan masa, pertukaran dalam kerjaya serta jangkaan yang semakin tinggi untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka – daripada kelas pengayaan hingga masa yang berkualiti.

“Ia melibatkan isu yang pelbagai. Dalam negara dengan kadar penyertaan tenaga kerja yang tinggi, terdapat juga kos dari segi peluang dalam membesarkan anak,” kata Dr Kalpana Vignehsa, felo penyelidik kanan di IPS.

“Bagi seorang ibu yang mengambil cuti selama setahun selepas kelahiran anaknya, adakah dia terlepas peluang untuk dinaikkan pangkat? Adakah kerjayanya terjejas? Ini mempengaruhi pilihan orang ramai terhadap keibubapaan,” kata beliau kepada program Singapore Tonight CNA.

Bagi ramai, cabarannya adalah dalam menyesuaikan keibubapaan dengan kehidupan kerja moden.

Waktu kerja yang panjang dan pekerjaan yang mencabar menyebabkan kanak-kanak di Singapura menghabiskan purata 41 jam seminggu di pusat jagaan – antara yang tertinggi di dunia, menurut kertas dasar November 2024 oleh Institut Pembangunan dan Potensi Manusia A*Star.

Sebagai perbandingan, kanak-kanak di Amerika Syarikat biasanya menghabiskan sekitar 25 hingga 33 jam seminggu dalam jagaan.

SOKONGAN AMAT PENTING

Dengan keluarga semakin bergantung kepada penjagaan formal sewaktu kedua-dua ibu bapa keluar bekerja, para pakar berkata sistem sokongan memainkan peranan yang penting.

Daripada pasangan yang terlibat, datuk dan nenek mereka hingga ke amah dan penyedia jagaan kanak-kanak, para ibu bapa berkata mempunyai jaringan sokongan dapat memudahkan pengalaman membesarkan anak-anak.

“Ia adalah sesuatu yang baik apabila saya dan suami berkongsi tugasan rumah. Kami melipat pakaian pada sebelah malam sambil menonton Netflix untuk mengurangkan kerja pada hujung minggu, supaya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak,” kata Cik Othman.

FLEKSIBILITI LEBIH BESAR BOLEH MEMBANTU

Fleksibiliti di tempat kerja juga merupakan satu faktor penting.

Dr Vignehsa berkata ibu bapa lebih cenderung mempertimbangkan untuk mempunyai anak jikalau mereka mempunyai lebih kawalan terhadap masa, seperti waktu kerja yang dikurangkan atau jadual fleksibel.

“Seorang ibu memikul bahagian yang tidak seimbang dalam penjagaan anak dan tugasan rumah,” kata beliau.

“Memberikan fleksibiliti (membolehkan) mereka mengawal keadaan dengan lebih baik. Apabila mereka berasa lebih terkawal, mereka lebih bersedia untuk mempunyai lebih ramai anak.”

MEMBENTUK MASA DEPAN KEIBUBAPAAN

Akhirnya, para pakar berkata meningkatkan kadar kesuburan bukan hanya sekadar soal insentif kewangan, tetapi juga membentuk semula persekitaran keibubapaan secara menyeluruh.

“Keibubapaan masih membawa banyak cabaran … di tempat kerja, tahap tekanan, ketidakpastian,” kata Dr Mathews. “Kita memerlukan perubahan sistemik yang lebih luas.”

Ini termasuk aturan kerja lebih fleksibel, jagaan kanak-kanak yang mudah diakses, keselamatan perumahan serta sokongan lebih kukuh untuk keluarga – termasuk mereka yang sedang melalui perceraian dan keibubapaan secara tunggal.

Dr Vignehsa menambah, peningkatan sokongan pemerintah boleh membantu mengubah norma tempat kerja dan menggalakkan kedua-dua ibu bapa untuk berkongsi peranan dengan lebih seimbang.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita