Skip to main content

Singapura

'Tanggapan salah' untuk kaitkan angin ahmar, serangan jantung dengan vaksinasi COVID-19: Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Nov 2023 07:25PM Dikemas Kini : 25 Nov 2023 08:47PM

SINGAPURA: Mengaitkan vaksinasi COVID-19 dengan kesan sampingan teruk seperti angin ahmar, barah dan serangan jantung adalah satu "tanggapan salah" yang harus diperbetulkan.

Demikian ditegaskan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Sabtu (25 Nov).

Berucap semasa merasmikan Poliklinik Sembawang di 21 Canberra Link, Encik Ong berkata bahawa kementeriannya "sangat telus" mengenai kesan sampingan dan risiko berhubung semua vaksinasi.

Beliau akur bahawa apabila bercakap kepada para penduduk tentang mendapatkan vaksinasi COVID-19 sekurang-kurangnya sekali setiap tahun, reaksi yang biasanya diterima adalah kebimbangan mengenai kesan sampingan. Ini meskipun kesan sampingan yang seringkali dihadapi adalah "rasa sakit di lengan atau demam yang sedikit".

"Namun hari ini, jika penduduk risau mengenai kesan sampingan yang teruk seperti angin ahmar, barah dan serangan jantung dan mereka mengaitkannya dengan vaksinasi, kita perlu memperbetulkan salah tanggapan ini," tambahnya.

"Dalam kes vaksinasi COVID-19, risiko miokarditis, terutamanya dalam kalangan golongan lelaki muda, sudah ditetapkan dan kami sudah menerbitkan hasil dapatannya.

"Namun, bahkan sebelum (berlakunya) COVID-19 dan (adanya keperluan untuk mendapatkan) vaksinasi, setiap hari, terdapat seramai 60 warga Singapura yang menderita serangan jantung atau strok, dan lagi enam warga Singapura memerlukan dialisis ginjal.

Encik Ong menarik perhatian bahawa kes-kes sedemikian "didorong oleh gaya hidup yang diamalkan bertahun-tahun lamanya" dengan timbunan kandungan garam dan gula, kurangnya bersenam dan merokok.

"Tetapi apabila anda mempunyai ramai orang yang bergelut dengan strok, serangan jantung dan dialisis setiap hari, selepas beberapa ketika, mereka mula mengaitkannya dan menyalahkan kepada vaksinasi."

"Kami tidak boleh mengaitkan kedua-duanya," tekan Encik Ong, sambil menambah bahawa jika seseorang itu sangat bimbang mengenai kemungkinan mengalami serangan jantung, barah dan angin ahmar, mereka seharusnya mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Menjawab pertanyaan daripada Anggota Parlimen Tan Wu Meng (PAP-Jurong) pada Mei lalu mengenai miokarditis atau keradangan jantung selepas vaksinasi COVID-19, Encik Ong mendedahkan bahawa terdapat 160 laporan miokarditis dan perikarditis yang dikaitkan dengan vaksin setakat 27 April.

Perangkaan itu adalah daripada lebih 17 juta suntikan vaksin COVID-19 yang diberikan di Singapura.

Daripada 160 kes itu, beliau menambah bahawa 32 peratus mempunyai simptom awal yang dilaporkan selang sehari selepas divaksin. Lagi 20 peratus daripada kes itu pula dilaporkan selang dua hari manakala lagi 24 peratus dilaporkan dalam tempoh seminggu.

LONJAKAN DALAM KES PENYAKIT PERNAFASAN DI CHINA

Jumlah kes penyakit pernafasan kian meningkat di utara China, terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak, sekali gus mencetuskan spekulasi di platform online mengenai ancaman pandemik yang baharu, empat tahun selepas COVID-19 pertama kali muncul di negara itu.

Pihak berkuasa China bagaimanapun telah menyatakan bahawa jumlah kes jangkitan yang semakin melonjak itu, adalah disebabkan campuran virus yang sudah diketahui dan dikaitkan dengan musim sejuk yang sedang melanda negara tersebut buat pertama kalinya selepas sekatan ketat COVID-19 dimansuhkan Disember lalu.

Berhubung laporan baru-baru ini mengenai kenaikan dalam kes jangkitan itu di China, Encik Ong berkata pada Sabtu bahawa ini "bukan sesuatu yang tidak dijangka" memandangkan berlakunya musim sejuk sekarang.

"Kebanyakan yang terjejas adalah kanak-kanak, dengan jangkitan yang dikenali seperti RSV, influenza dan adenovirus. Tahap penularannya tinggi dengan lebih banyak interaksi sosial berlaku (terutama sekalinya) di tempat tertutup semasa musim sejuk," jelasnya.

Encik Ong menarik perhatian bahawa Singapura pernah menempuhi fasa yang serupa apabila Singapura pertama kali melonggarkan langkah-langkah COVID-19, di mana terdapat "penularan semula jangkitan sejurus kita (melonggarkan sekatan)".

"Namun, ini satu peringatan berguna, jika kita hentikan vaksinasi, keadaan serupa boleh berlaku di sini apabila perlindungan vaksin mula luntur. Maka itu, penting untuk perkemas vaksinasi kita."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita