Skip to main content

Singapura

'Tanggapan' berkait dasar cuti sakit timbulkan 'kebimbangan dan rasa tidak selesa': Certis

Certis, dalam satu catatan dalaman yang dihantar kepada para kakitangan pada Rabu (2 Julai), menyatakan ia mengakui bahawa tanggapan berhubung “lawatan prihatin” pihaknya menimbulkan kebimbangan dan ketidakselesaan.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tanggapan' berkait dasar cuti sakit timbulkan 'kebimbangan dan rasa tidak selesa': Certis

Pejabat syarikat keselamatan Certis di Commonwealth. (Gambar: Google Street View)

SINGAPURA: Certis, dalam satu catatan dalaman yang dihantar kepada para kakitangan pada Rabu (2 Julai), menyatakan ia mengakui bahawa tanggapan berhubung “lawatan prihatin” pihaknya menimbulkan kebimbangan dan ketidakselesaan.

Catatan tersebut, yang dilihat Mediacorp pada Khamis, merupakan maklum balas terhadap reaksi negatif terhadap dasar cuti sakit syarikat itu.

Dasar tersebut memerlukan para pegawai untuk kekal berada di rumah sekiranya mengambil cuti sakit. Pengurus juga boleh membuat pemeriksaan terhadap mereka, terutamanya bagi mereka yang mengambil cuti sakit yang berpanjangan, termasuk melawat rumah pekerja dengan “tanda prihatin yang kecil”, menurut Certis sebelum ini sebagai maklum balas kepada pertanyaan Mediacorp.

Terdahulu, Certis turut mewajibkan para pekerja yang mengambil cuti sakit untuk berkongsi lokasi “langsung” mereka sekiranya mereka tidak berada di rumah.

Syarikat keselamatan itu, selepas berunding dengan Kesatuan Pekerja Keselamatan (USE), bersetuju untuk menghentikan penjejakan lokasi pegawai yang mengambil cuti sakit.

Dalam catatan itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia, Jaclyn Lee, berkata dasar lawatan prihatin itu bertujuan untuk menyemak keadaan pekerja semasa mereka tidak sihat.

“Ia adalah untuk memastikan pegawai kami berada dalam keadaan selamat dan untuk menawarkan sokongan, terutamanya bagi tempoh cuti sakit yang berpanjangan,” kata Dr Lee.

“Tetapi kami kini memahami bahawa cara ia dilaksanakan, dikomunikasikan dan ditanggapi telah menimbulkan kebimbangan dan ketidakselesaan.”

Dr Lee turut menegaskan semula bahawa penamatan pekerjaan hanya akan dipertimbangkan dalam kes yang serius, seperti ketidakjujuran yang terbukti, dan akan sentiasa dilaksanakan melalui proses yang “teliti dan adil”.

Merujuk kepada keputusan untuk menghentikan penjejakan lokasi pegawai yang mengambil cuti sakit, Dr Lee menyatakan bahawa ia adalah satu perkara yang menjadi kebimbangan utama.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kami untuk melindungi privasi anda sambil mengekalkan saluran keprihatinan yang terbuka,” katanya.

Certis juga sedang bekerjasama rapat dengan USE untuk mengkaji semula pendekatannya terhadap lawatan prihatin, dan memperbaiki cara ia menyokong pekerjanya pada masa hadapan, kata Dr Lee.

USE sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya sedang berbincang dengan pengurusan Certis mengenai cara untuk mengukuhkan komunikasi dalaman mereka dengan para pegawai, agar dasar dan amalan dapat dijelaskan dengan terang dan kebimbangan pegawai dapat ditangani di peringkat awal.

"USE dan Certis telah bersetuju untuk menganjurkan secara bersama sesi pendekatan bulanan tetap dengan pegawai Certis, menyediakan platform bagi dialog dan maklum balas yang berterusan," kata setiausaha eksekutif USE Shirley Loo.

Sambil mengakui bahawa peranan barisan hadapan adalah mencabar “dari setiap aspek”, Dr Lee mengucapkan terima kasih kepada para pekerja atas kerja keras, ketabahan dan khidmat mereka.

“Kami komited untuk mengambil teladan daripada perkara ini, dan untuk membina tempat kerja di mana kepercayaan, sokongan dan rasa hormat tidak hanya menjadi nilai, tetapi pengalaman yang dialami,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita