Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tangani kes buli online yang kian meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Tangani kes buli online yang kian meningkat

Gambar hiasan: Nuria Ling/TODAY

Diterbitkan : 28 Jan 2023 06:55PM Dikemas Kini : 28 Jan 2023 06:58PM
SINGAPURA: Setelah menjauhkan diri daripada bekas teman rapatnya menyusuli satu perselisihan, Cik Erin Seah, yang berusia 15 tahun pada ketika itu, menyangka bahawa beliau akan dapat meneruskan kehidupan.

Sehingga pada satu malam, telefon beliau berbunyi. Seorang rakan sebaya mengirim beberapa tangkapan layar catatan Instagram di mana beliau dikutuk sebagai seseorang yang mencari perhatian dan bodoh.

Cik Seah mengingati kembali pengalaman menakutkan mengenai catatan-catatan tersebut, yang mengandungi kata-kata kesat dan ancaman keganasan terhadapnya.

Rakannya yang kini bertukar menjadi pembuli itu menulis: "Aku bersumpah... Aku AKAN memecah rekod tidak ditahan selepas waktu sekolah sejak Menengah 1 semata-mata untuk memberikan satu penumbuk kepada engkau."

Apakah yang mencetuskan hamburan kata-kata kesat tersebut online?

Ia berhubung kait dengan rakan sama yang mengirim tangkapan layar tersebut - Cik Seah menolak perasaan rakan lelaki itu terhadap dirinya, dan pembulinya mengambil hati.

"Dia berfikir saya mengambil kesempatan ke atas rakan lelaki berkenaan kerana tidak membalas perasaannya dan bahawa saya sekadar mencari perhatian," kata Cik Seah.

Meskipun sudah enam tahun berlalu sejak pembulian siber itu berlaku, Cik Seah, kini 21 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa beliau masih belum dapat melupakan peristiwa penuh trauma tersebut.

"Saya mendapati sukar untuk berkawan kerana saya lebih segan dan sentiasa berfikir tentang tanggapan mereka terhadap saya. Dan meskipun saya pernah bersikap yakin dan peramah, saya kini lebih kerap mempersoal diri saya," kata Cik Seah, yang bakal memulakan tahun pertama di sebuah universiti tempatan tidak lama lagi.
(Gambar fail: Jeremy Long)
GAMBARAN LUAS

Pengalaman Cik Seah bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam kalangan kanak-kanak dan di merata dunia.

Tinjauan Pusat Penyelidikan Pew pada 2022 mendapati hampir separuh (46 peratus) belia Amerika Syarikat pernah menjadi mangsa pembulian siber.

Kaedah pembulian siber yang paling biasa dihadapi adalah hinaan (32 peratus), diikuti dengan khabar angin (22 peratus) dan menerima gambar-gambar lucah yang tidak diminta (17 peratus).

Di Singapura, kajian hasil kerjasama sektor awam dan privet Perikatan untuk Tindakan (AfA) Sunlight pada tahun lalu mendapati hampir separuh daripada 1,000 warga Singapura yang ditinjau pernah mengalami berdepan dengan bahaya di ruang siber, seperti pengintaian maya dan pembulian siber.

Namun sekitar 43 peratus daripada responden berkata mereka tidak akan mengambil tindakan kerana mereka mempercayai bahawa ia tidak akan membawa sebarang perbezaan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan jumlah insiden pembulian siber yang dilaporkan "kekal rendah dan stabil sepanjang lima tahun lalu". MOE tidak memberikan sebarang perangkaan.

MOE menyatakan pihaknya "memandang serius sebarang bentuk pembulian, termasuk pembulian siber", dan sekolah-sekolah melaksanakan pelbagai langkah bagi menangani isu itu.

Sungguhpun demikian, jumlah kes yang dilaporkan mungkin lebih rendah daripada sebenar kerana ramai belia lebih cenderung berdiam diri biarpun menderita.

MENGAPA BULI SIBER PERLU DITITIKBERATKAN?

Dengan lebih ramai kanak-kanak yang kini menggunakan peranti digital sejak dari usia lebih muda, risiko pembulian siber hanya akan bertambah dalam tahun-tahun mendatang, tegas para pakar.

Menurut para pakar, kesan berpanjangannya adalah sesuatu yang perlu dikaji dengan lebih mendalam di Singapura, memandangkan kesan pembulian siber mungkin lebih dahsyat berbanding kaedah-kaedah lama pembulian: ia lazimnya disimpan dalam arkib Internet dan membelenggu mangsa selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Profesor Komunikasi dan Teknologi di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) Lim Sun Sun berkata bagi belia yang ingin tahu tentang tanggapan orang lain terhadap diri mereka, pembulian siber boleh mendatangkan kesan berpanjangan kerana komen-komen para pembuli boleh dianggap sebagi maklum balas yang dapat diakses pada bila-bila masa.

Para pembuli juga cenderung meneruskan kaedah-kaedah pembulian lama di ruang maya, tambah Profesor Lim, yang juga naib presiden kerjasama dan pendampingan di SMU. Sebagai contoh, komen-komen pedih yang boleh disampaikan secara bersemuka turut dapat dilontarkan secara online.
(Gambar: Nathan Dumlao/Unsplash)
"Dengan lebih ramai kanak-kanak di ruang online, dan rangkaian persahabatan mereka turut berada di ruang maya, dinamik antara rakan juga akan disalurkan dari dunia nyata ke ruang maya secara semula jadi," katanya.

Meskipun sebarang bentuk pembulian, termasuk pembulian siber, dapat mendatangkan trauma kepada para mangsa, kesannya boleh menjadi sangat berbahaya kepada belia kerana mereka kurang dilengkapi dengan pengalaman untuk menangani emosi sedemikian, kata Encik Asher Low, pengasas pertubuhan bukan untung Limitless yang menyediakan khidmat kaunseling kepada para belia.

"Internet membentuk sebahagian besar kehidupan belia yang seolah-olah hidup di dalam ruang Internet," katanya.

"Jadi apabila ruang online itu menjadi tidak selamat akibat pembulian siber dan pada masa yang sama, adalah menjadi suatu keperluan bagi mereka untuk terus berada dalam ruangan online kerana semua rakan, aktiviti dan kegiatan yang digemari berada di sana, ia tentunya membawa kesan lebih mendalam kepada para belia."

LANGKAH-LANGKAH TANGANI, CEGAH BULI

Ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka empat langkah sekiranya mereka dibuli di ruang Internet, kata Cik Ann Hui Peng, ketua kumpulan bagi pembangunan kanak-kanak dan pengarah khidmat pelajar di Persatuan Kanak-Kanak Singapura:

1. Berhenti (Stop): Jangan memberi respons kepada pembuli siber, atau membuat komen atau mengongsi catatan yang dibuat

2. Sekat (Block): Pastikan pembuli tidak dapat menghubungi mangsa dengan menyekatnya

3. Simpan (Save): Simpan tangkapan layar pesanan atau catatan berkenaan sebagai bahan bukti

4. Laporkan (Tell): Laporkan insiden pembulian siber kepada orang dewasa yang dipercayai

Selain mengambil tindakan apabila anak berkenaan dibuli di ruang Internet, para pakar keselamatan siber berkata ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka dengan lebih baik tentang keselamatan online sebagai langkah berjaga-jaga. Ini akan membiasakan anak-anak dengan tindakan melaporkan pembulian siber tanpa berasa bimbang akan didenda.
Gambar hiasan: Samuel Woo/TODAY

Cik Nina Bual, pengasas bersama syarikat pendidikan siber Cyberlite Books, menarik perhatian tentang peri pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak sejak dari kecil lagi.

Beliau berkata: "Ibu bapa perlu melengkapkan anak-anak mereka dengan alat-alat dan kemahiran berfikir untuk bertindak sewajarnya sekiranya pembulian siber berlaku. Kerana ibu bapa lazimnya tidak akan berada di dalam bilik yang sama apabila ia berlaku, jadi kanak-kanak perlu berdaya mengatakan, 'Okey, saya dilengkapi kebolehan, dan saya tahu apa yang saya patut lakukan.'"

Namun, bagaimana pula jika ibu bapa menyedari bahawa anak merekalah sebenarnya pembuli?

Seperti kaedah-kaedah pembulian lain, adalah penting untuk menangani punca tingkah laku sedemikian, menurut para pakar. Ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak-anak mereka tentang kesan pembulian ke atas diri mereka dan para mangsa.

DAPATKAN BANTUAN

Ada beberapa talian bantuan disediakan bagi para mangsa pembulian siber. Ia termasuk:

 

  • Talian bantuan Tinkle Friend bagi kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun: 1800 2744 788 atau aplikasi sembang online: www.tinklefriend.sg
  • Khidmat rundingan Perikatan Terhadap Pembulian Kanak-Kanak dan Belia (Coalition Against Bullying for Children and Youth): www.cabcy.org.sg/e-consultation
  • Talian bantuan TOUCHline dikendalikan Touch Cyber Wellness: 1800 377 2252
  • Talian bantuan Help123: 1800 6123 123
  • Para mangsa perempuan boleh meminta bantuan di pusat baru dibuka SheCares@SCWO menerusi talian bantuan 8001 01 4616 atau WhatsApp 6571 4400. Pusat bantuan sehenti itu dikendalikan bersama oleh pertubuhan bukan untung SG Her Empowerment dan Majlis Pertubuhan Wanita Singapura.
Sumber : Today/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan