Skip to main content

Singapura

Tangani kemiskinan global menerusi dagangan terbuka dan pelaburan: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Tangani kemiskinan global menerusi dagangan terbuka dan pelaburan: PM Wong

Kawasan tempat tinggal penduduk miskin di Indonesia (30 Okt 2024). (Gambar: BAY ISMOYO / AFP)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 19 Nov 2024 11:38AM Dikemas Kini : 19 Nov 2024 11:50AM
RIO DE JANEIRO: Menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi amalan dagangan terbuka dan pelaburan merupakan anak kunci bagi menangani kemiskinan di merata dunia, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin(18 Nov).

Pertumbuhan ekonomi dan perdagangan kekal sebagai salah satu cara terbaik untuk mewujudkan pekerjaan, kata beliau kepada pemimpin Kumpulan 20 (G20) dalam perbincangan mengenai kemiskinan dan kelaparan di Sidang Puncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil.

"Pekerjaan pula adalah cara paling langsung untuk mengurangkan kemiskinan," katanya, sambil menambah bahawa ini kerana ia menyediakan laluan kepada maruah diri, kestabilan dan berdikari.

PM Wong juga bercakap mengenai pentingnya pekerja dilengkapi dengan kemahiran untuk merebut peluang-peluang pekerjaan baharu.

Tambahnya, Singapura sedia berkongsi pendekatan yang diamalkannya dalam pembangunan tenaga kerja.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva melancarkan pakatan global bagi menentang kelaparan dan kemiskinan pada hari pertama Sidang Puncak G20. Lebih 80 negara, termasuk Singapura, bersetuju untuk menyokongnya.

Encik Wong yang menghadiri sidang puncak G20 pertamanya itu sebagai Perdana Menteri disambut mesra oleh Presiden Luiz Inácio Lula da Silva di Muzium Seni Moden di Rio de Janeiro.

Meskipun Singapura bukan anggota rasmi G20, ia telah dijemput secara konsisten untuk menyertai sidang puncak itu, mencerminkan pengaruh dan peranan aktifnya dalam membentuk perbincangan ekonomi dan dasar global.

Dalam ucapannya, PM Wong berkata cara paling langsung untuk menangani kebuluran dan kemiskinan adalah dengan menghentikan konflik dan peperangan, serta memberikan bantuan kepada zon konflik.

Maka itu, Singapura melakukan apa yang termampu, termasuk menyediakan beberapa pusingan bantuan kemanusiaan untuk penduduk di Gaza, tambahnya.

Bagaimanapun PM Wong berkata pertumbuhan ekonomi dan perdaganganan kekal sebagai salah satu cara terbaik untuk mewujudkan pekerjaan yang merupakan cara paling langsung untuk mengurangkan kemiskinan.

“Apa yang penting juga adalah untuk memastikan rakyat kita dilengkapi dengan kemahiran untuk mengambil peluang pekerjaan baharu; dan itulah sebabnya pemerintah mesti terus melabur dalam modal insan,” katanya.

Walaupun ini secara tradisinya dilakukan melalui pendidikan dan sekolah, negara akan semakin perlu melakukan lebih banyak lagi, tambahnya. Ini termasuk dalam bidang seperti pendidikan teknikal dan kejuruan, serta latihan kemahiran untuk pekerja dewasa.

PM Wong berkata infrastruktur latihan kemahiran sepanjang hayat dan peningkatan diperlukan untuk melatih orang ramai untuk industri baharu dan memadankan mereka dengan pekerjaan yang sedang diwujudkan.

Tambahnya, ia adalah pendekatan Singapura sejak sekian lama, yang telah dapat membantu negara itu mengekalkan kadar penganggurannya di bawah 3 peratus.

"Kami gembira untuk berkongsi pengalaman kami," kata PM Wong, sambil menambah bahawa sebab itu Singapura menyokong Majlis Penasihat Peringkat Tinggi Bank Dunia mengenai Pekerjaan, yang dipengerusikan bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Beliau berjanji bahawa Singapura akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam G20 dan platform lain untuk mewujudkan dunia yang lebih adil dan mampan.

Encik Wong akan berucap sekali lagi pada sesi pleno mengenai pembangunan mampan dan peralihan tenaga.
Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita