Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Tangan kita kotor, bau busuk": Sumber rezeki sara keluarga penjual ikan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jam di dinding Pelabuhan Perikanan Jurong menunjukkan jam 9.00 malam. Suasana sepi dan lengang dengan hanya beberapa gerai menjual ikan dibuka.

Di satu sudut di pusat borong itu, seorang pemuda sedang melelong makanan laut dalam wadah media sosial Facebook.

Lelaki itu ialah Encik Mizzuan Mazlan, 31 tahun.

Melelong makanan laut merupakan aktiviti yang dilakukan pemilik Chiongster.com, dua kali seminggu selain daripada menjual ikan setiap hari di pusat borong tersebut.

Beliau merupakan satu-satunya peniaga ikan Melayu di Pelabuhan Perikanan Jurong – pekerjaan yang menjadi sumber rezekinya sejak pandemik COVID-19 melanda.

i

Idea untuk menjual ikan di pusat borong itu timbul daripada seorang kawannya yang berbangsa Cina.

“Sejak awal 2020, saya sudah jual ikan di luar gudang saya di Yishun. Banyak Melayu tak jual ikan jadi saya cuba sesuatu yang tidak pernah orang lain buat, saya cuba jual," katanya kepada BERITA Mediacorp sambil berkongsi beliau sudah menjadi penjaja ikan di Pasar Yuhua selama enam bulan.

"Daripada gudang saya beralih ke pasar sebelum berniaga di Pelabuhan Perikanan Jurong,” jelas Encik Mizzuan yang sebelum itu melelong barangan elektronik di gudangnya di Yishun.

DARI HOTEL KE PASAR

Encik Mizzuan bekerja sebagai pengurus jamuan selama 13 tahun di hotel-hotel lima bintang, apabila beliau memutuskan untuk beralih ke bidang pekerjaan lain kerana inginkan cabaran yang baru.

h
Sambil mencari pekerjaan lain, bapa dua orang anak ini turut mengisi masanya dengan menjadi penghantar makanan FoodPanda.

“Saya nampak perniagaan mana yang mampu berdaya tahan dan perniagaan mana yang tidak boleh bertahan. Setiap hari sebagai penghantar makanan FoodPanda, kami perlu ambil makanan serta pesanan barangan dari FoodPanda Mart seperti ikan dan daging. Bila mengambil pesanan saya mendapat idea untuk menjual ikan. Saya cuba sampai sekarang,” jelas Encik Mizzuan yang mula menjual ikan sejak 2020.

Ketika itu Encik Mizzuan turut menjual barangan elektronik secara online ddi Facebook untuk mendapat pendapatan sampingan.

p

"Dulu saya sewa gudang di Yishun. Kawan saya ini warga Cina, dia yang beri saya idea untuk jual ikan. Jadi saya cuba. Kita beli di Pelabuhan Perikanan Jurong pada waktu malam danpada sebelah pagi kita menjual ikan secara online dari pejabat saya di Yishun. Dari sana, saya dapat maklum balas bahawa terdapat permintaan untuk ikan-ikan segar. Waktu itu pun, ramai yang menjual ikan online. Namun untuk makanan laut, jarang ada orang Melayu jual. Dari situlah, saya dapat sewa satu gerai di pasar Yuhua,” kongsi Encik Mizzuan.

Enam bulan selepas berniaga di Pasar Yuhua, Encik Mizzuan menerima tawaran untuk menjaja ikan di Pelabuhan Perikanan Jurong.

CABARAN BERNIAGA SEBAGAI BANGSA MINORITI

Pada bulan pertama beliau di Pelabuhan Perikanan Jurong, perniagaan Encik Mizzuan dilanda pelbagai cabaran.

Ibarat seperti ikan kecil di dalam kolam besar, Encik Mizzuan tidak dikenali ramai orang di pusat tersebut. Disebabkan itu, beliau mengalami kerugian yang besar.

“Bila orang tidak kenal, mereka tidak akan beli. Apa-apa tawaran yang kami berikan, orang hanya beli sedikit sahaja,”

“Untuk bulan pertama, saya hilang banyak duit. Buat seketika, saya agak berputus asa. Tetapi kawan saya menggalakkan saya untuk mencuba lagi,” ujarnya.

Ada pelanggan yang juga ragu-ragu tentang kesegaran ikannya apabila beliau mulai berniaga di Pelabuhan Perikanan Jurong.


i
“Bukan senang kita nak jual kerana ramai orang tidak kenal kita. Lagi-lagi saya Melayu. Ramai yang persoal sama ada ikan saya segar. Mereka siap ambil ikan dan campak balik pada kita. Saya dah kena,”kata Encik Mizzuan ketika mengenang semula pengalamannya itu.

Bak jatuh ditimpa tangga, ketika COVID-19 berlaku, Pelabuhan Perikanan Jurong terpaksa ditutup kepada orang awam, menyebabkan penjualan ikan terjejas.

Dengan itu, Encik Mizzuan mencari jalan keluar untuk mengekalkan perniagaannya, lantas tercetus perniagannya di wadah online.

JUALAN IKAN ONLINE

Disebabkan orang ramai tidak boleh keluar rumah ketika pandemik, Encik Mizzuan menjalankan penjualan makanan lautnya menggunakan media sosial.

Sehingga ke hari ini, pelanggan beliau masih membeli makanan lautnya menerusi laman Facebook Chiongster.co.

o

“Orang sekarang tidak mahu potong ikan sendiri. Jadi kami siang dan memotong ikan untuk pelanggan-pelanggan kami. Mahu potong filet, potong hiris, potong lurus, kami boleh membuat semuanya.

“Sebab itu ramai pelanggan kami lebih suka beli secara online,” tambah Encik Mizzuan.

INGIN BUKA KELONG SENDIRI

Meskipun tidak ada pengalaman dalam bidang perniagaan, Encik Mizzuan berkata beliau belajar daripada setiap perjalanan beliau.

Matlamat masa depannya ialah untuk membuka kelongnya sendiri.

“Saya fikir kalau ada rezeki lebih, saya akan buka kelong saya sendiri. Itu matlamat saya lima tahun dari sekarang,” kongsi beliau kepada BERITA Mediacorp.

Menurut Encik Mizzuan, projek itu memerlukan pelaburan wang yang banyak dan persiapan yang teliti. Namun, beliau tetap gigih untuk mencari rezeki demi masa depan anak-anaknya.

“Walaupun tangan kita kotor, bau busuk tangan ini, inilah tangan yang membawa rezeki,” ujarnya sebagai menutup perbualan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan