Tanda jalan, papan tanda baharu ERP 2 diperkenal mulai Okt 2026
Para pemandu tidak lama lagi akan melihat simbol baharu Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) berbentuk bujur berwarna biru yang dicat di jalan raya dan ekspreswe tertentu, serta papan tanda baharu yang menunjukkan bahawa mereka sedang memasuki "zon bayaran", sedang Singapura bersiap sedia untuk beralih daripada penggunaan gantri fizikal ERP.
Tanda jalan yang diuji sebelum ini di zon bayaran ERP di PIE selepas Kallang Bahru, di jejambat Woodsville. (Gambar fail: CNA/Justin Ong)
- LTA akan memperkenalkan simbol ERP bujur biru dan papan tanda Zon Bayaran ERP mulai Oktober di jalan raya serta ekspreswe Singapura.
- Langkah ini menyokong ERP 2 berasaskan satelit yang bermula 1 Januari 2027, dengan OBU mengesan lokasi bayaran dan caj.
- Tiada perubahan pada rangka bayaran kesesakan, manakala 33 lokasi ERP aktif akan dipasang tanda baharu sebelum peralihan sistem.
- Gantri ERP ditanggalkan bertahap hingga Jun 2027, sementara ERP 2 turut membantu pengurusan trafik dan penguatkuasaan kesalahan kenderaan.
Tanda jalan dan papan tanda baharu tersebut akan diperkenalkan secara berperingkat mulai Oktober, menjelang pelancaran sistem ERP 2 pada Januari 2027, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (28 Sep).
Sistem ERP 2 menggunakan teknologi Sistem Satelit Navigasi Global, sekali gus menghapuskan keperluan bagi gantri fizikal di jalan raya Singapura. Gantri-gantri tersebut akan dilupuskan secara bertahap-tahap di seluruh Singapura mulai Oktober.
Dengan peralihan kepada sistem ERP 2, semua kenderaan berdaftar di Singapura mesti dilengkapi unit dalam kenderaan (OBU) ERP 2 untuk digunakan di jalan raya negara ini. Setakat ini, lebih 98 peratus kenderaan yang layak sudah dipasang dengan OBU, menurut LTA.
OBU akan mengesan apabila sesebuah kenderaan melalui lokasi bayaran ERP dan mengira bayaran yang dikenakan.
Tanda jalan dan papan tanda baharu akan melengkapi pemberitahuan yang dipaparkan oleh OBU untuk memberi amaran kepada para pemandu sebelum mereka memasuki lokasi bayaran ERP, memaklumkan kadar ERP semasa dan menunjukkan jumlah yang dikenakan apabila para pemandu melalui lokasi berkenaan.
Bagi memastikan tanda jalan dapat dilihat dengan jelas, dua simbol "ERP" berbentuk bujur berwarna biru akan dicat pada setiap lorong di jalan utama dan jalan susur. Ekspreswe pula akan mempunyai sebanyak tiga simbol pada setiap lorong.
Sebelum setiap lokasi bayaran ERP, papan tanda jalan baharu "Zon Bayaran ERP" juga akan dipasang sebagai petunjuk visual tambahan bagi para pemandu.
Tiada perubahan dilakukan pada rangka kerja bayaran kesesakan trafik sedia ada. Kadar ERP disemak pada setiap suku tahun dan semakan seterusnya akan dijalankan pada pertengahan November.
Bagi menentukan reka bentuk tanda jalan dan papan tanda baharu, LTA menjalankan kajian pengalaman pengguna dalam dua fasa dari Mac hingga Julai untuk menilai keberkesanan pelbagai reka bentuk tanda jalan dan papan tanda.
"Simbol ERP berbentuk bujur berwarna biru muncul sebagai pilihan utama kerana ia mudah dilihat dalam pelbagai keadaan trafik dan cuaca, selain mudah difahami para pemandu sebagai petunjuk visual bagi lokasi bayaran ERP," menurut LTA.
LTA menambah bahawa pemasangan tanda jalan dan papan tanda baharu di kesemua 33 lokasi ERP yang sedang beroperasi akan diselesaikan sebelum peralihan kepada ERP 2 pada 1 Januari 2027.
Gantri fizikal ERP akan ditanggalkan dalam dua fasa, bermula dengan 62 gantri yang tidak lagi beroperasi. Baki 33 gantri yang masih beroperasi akan ditanggalkan selepas sistem bayaran ERP berasaskan gantri dihentikan pada 31 Disember.
Struktur gantri ERP mungkin dikekalkan dan digunakan semula dengan pemasangan unit tepi jalan (RSU) di sesetengah lokasi bagi menyokong sambungan satelit, menurut LTA.
Kesemua 95 gantri ERP dijangka diubah suai atau ditanggalkan sepenuhnya menjelang Jun 2027.
PENGUATKUASAAN TERHADAP KESALAHAN BERKAITAN KENDERAAN
Meskipun sistem ERP 2 direka terutamanya untuk mengutip dan mengenakan bayaran, ia juga akan meningkatkan keupayaan LTA untuk mengurus aliran trafik di seluruh Singapura serta mengesan dan mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan kenderaan, menurut LTA.
Pada masa ini, LTA menggunakan rekod gantri ERP 1 untuk mengesan kenderaan yang tidak sepatutnya digunakan di jalan raya Singapura, seperti kenderaan yang sudah dibatalkan pendaftarannya.
"Kami akan terus menggunakan ERP 2 untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan kenderaan, seperti penyediaan khidmat teksi rentas sempadan secara haram, demi memastikan jalan raya lebih selamat untuk semua pengguna," kata LTA.
LTA menambah bahawa ERP 2 juga berpotensi digunakan untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan kesalahan memandu melebihi had laju, tetapi penambahbaikan lanjut diperlukan sebelum ia dapat digunakan bagi tujuan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.