Skip to main content

Singapura

Tanah runtuh Ulu Pandan: Sesetengah penduduk Sunset Way tidak terganggu risiko banjir

Anggaran Waktu Membaca:
Tanah runtuh Ulu Pandan: Sesetengah penduduk Sunset Way tidak terganggu risiko banjir

Anggota kakitangan PUB bercakap dengan seorang penduduk di Sunset Way pada 6 September 2022. (Gambar: TODAY)

SINGAPURA: Beberapa penduduk yang menetap di Sunset Way, terletak berhampiran dengan kawasan kejiranan Clementi dan Ulu Pandan - tidak begitu bimbang akan hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat. Sesetengah daripada mereka malah memutuskan untuk tidak mengambil peralatan boleh kembung dan penghadang banjir seperti guni pasir yang disediakan oleh agensi air negara PUB.

PUB memberitahu Mediacorp ia sudahpun mendampingi para penduduk dari 50 rumah di Sunset Way dan "sekitar separuh daripada mereka menerima tawaran peralatan banjir kami".

Seorang penduduk berusia 70 tahun, yang ingin dikenali sebagai Cik Yeo, berkata beliau mendapati guni pasir itu sebagai "tidak berguna".

"Saya tidak berasa terancam oleh kenaikan pada curahan air hujan. Walaupun air boleh melimpahi longkang-longkang tatkala cuaca hujan, saya tidak pernah mengalami air hujan mengalir ke halaman rumah saya sebelum ini."

Pesara itu sudah tinggal di hartanah berhalamannya selama lebih 30 tahun.

PUB mengagih-agihkan beg boleh kembung bagi banjir dan penghadang banjir yang mudah alih ke rumah-rumah di Sunset Way serta Sunset Drive dari petang Isnin (5 Sep) sebagai langkah berjaga-jaga. Ini berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak binaan berhampiran bagi sebuah projek perumahan awam, pada Jumaat lalu.
“Dengan cuaca hujan diramalkan bagi separuh pertama Septemeber, kawasan di hulu saluran yang tersumbat mungkin mengalami risiko banjir yang lebih tinggi sekiranya hujan lebat," menurut PUB.

Peralatan perlindungan banjir itu boleh dipasang dengan cepat sewaktu hujan lebat bagi mencegah air bah daripada memasuki rumah, tambahnya.

Peralatan itu meliputi panel-panel tunggal ringan yang boleh dihubungkan dan digunakan dengan pantas untuk mengalihkan aliran air bah, manakala beg banjir akan kembung jika ada kontak dengan air serta boleh ditimbunkan untuk menjadikan penghadang.

Seorang lagi penduduk yang memperkenalkan dirinya sebagai Cik Daman, 51 tahun, juga berasa beliau tidak memerlukan penghadang banjir.

Pemilik perniagaan itu, yang menetap di Sunset Way antara dua hingga tiga tahun, menambah memandangkan rumahnya berada pada kedudukan yang condong, air hujan akan mengalir turun dari halaman rumahnya dan bukan sebaliknya.

Seperti Cik Daman, beberapa pemilih rumah menarik perhatian bahawa meskipun hujan lebat mengalir di jalan-jalan raya yang menghadap rumah mereka, terdapat langkah perlindungan seperti sistem perparitan sedia ada serta kawasan melandai antara pagar dengan pintu rumah mereka yang membantu mencegah air daripada memasuki kediaman.

Bagi mereka yang mengambil langkah pencegahan, ia dilakukan kerana sebelum ini, air hujan hampir mengalir ke rumah mereka.

Seorang pesara berusia 55 tahun, yang enggan mendedahkan namanya, menantikan pengagihan penghadang serta beg boleh kembung itu daripada PUB.

Beliau sudah tinggal di rumah yang terletak di sudut Sunset Way selama 16 tahun. Ia terletak betul-betul bersebelahan persimpangan silang di dua jalan raya yang diapit cerun tinggi. Air hujan "mengalir deras di sepanjang dua jalan tersebut", katanya, lantas meningkatkan pengaliran air di hadapan pintu pagar rumahnya.

Sistem perparitan PUB yang kerap menjalani kerja-kerja naif taraf sudah membantu sepanjang tahun-tahun lalu, dengan longkang kini "lebih dalam dan lebih luas", tambah beliau.

Bagaimanapun, air tetap mengalir masuk ke kediamannya sewaktu musim hujan lebat apabila perkara itu "tidak sepatutnya berlaku".

Sebagai sebahagian daripada usaha pendampingannya, PUB juga mendampingi pemilik bangunan di kawasan tersebut untuk membantu mereka dengan persediaan bagi perlindungan banjir.

Apabila dihampiri, kedai-kedai dan premis yang terletak di Sunset Way memberitahu Mediacorp ia tidak menjangkakan sebarang kemungkinan banjir menjejas perniagaan.

Seorang pengurus kafe aiskrim berkata: "Banjir belum pernah berlaku di sini. Cuma insiden air bertakung di tempat letak kenderaan di belakang kedai sewaktu hujan lebat."

Seorang pekerja di pusat jagaan kanak-kanak pula berkata tiada rancangan untuk mempersiapkan pusat itu bagi sebarang banjir. Beliau, yang enggan mendedahkan namanya, menambah "pihak berkuasa belum membuat lawatan atau memberi sebarang amaran supaya bersedia" bagi berdepan senario seumpama itu.
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita