Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tanah negara ditaksir berdasarkan nilai sejarah bagi HDB 'tidak bawa manfaat', kata Desmond Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Tanah negara ditaksir berdasarkan nilai sejarah bagi HDB 'tidak bawa manfaat', kata Desmond Lee

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berucap di Parlimen pada 10 Jan 2023. (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Meletakkan nilai pada tanah pemerintah yang dikhususkan untuk membina flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berdasarkan nilai sejarah semata-mata tidak akan membawa apa-apa manfaat, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Selasa (10 Jan).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan di Parlimen tentang bagaimana tanah yang digunakan untuk membangunkan estet-estet HDB ditaksirkan, dan untuk membalas komen-komen yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai (PSP) berhubung nilai sejarah tanah.

Dalam beberapa catatan di Facebook pada bulan lalu, Encik Leong menggesa agar HDB tidak diwajibkan membayar kos tanah agar flat-flat dapat dijual pada harga lebih murah. Anggota parlimen dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) itu mendakwa bahawa kebanyakan tanah yang diperuntukkan untuk membina flat "diserahkan" oleh generasi-generasi terdahulu rakyat Singapura bagi "jumlah yang agak sederhana".

Menjawab dakwaan tersebut dan ulasan lain oleh Encik Leong berhubung isu harga tanah, Encik Lee berkata: "Saranan Encik Leong untuk mentaksir harga tanah negara bagi HDB berdasarkan nilai sejarah tidak mungkin dapat dilakukan.

"Apabila Encik Leong menggesa agar tanah dijual pada berdasarkan nilai sejarah, anda mengetahui bahawa beliau menyeru agar ia dijual pada harga di bawah taksiran - di bawah nilai sebenar tanah hari ini."

 
Encik Lee berkata saranan untuk mentaksir harga tanah berdasarkan nilai sejarah adalah "sangat bermasalah" dan kebanyakan orang memahami mengapa ia "salah".

"Jika tanah itu diperoleh Pemerintah pada 1960an, HDB membayar harganya pada 1960an. Jika tanah itu baru diperoleh, katakan pada 2015, HDB membayar harga 2015. Mana satu yang jauh lebih tinggi?" Encik Lee bertanya kepada Dewan.

"Dan jika tanah itu merupakan tanah negara sejak sekian lama, dan tidak pernah diperoleh daripada sesiapa? Adakah nilai tanah negara berdasarkan nilai sejarah berada pada kadar sifar? HDB membayar sifar? Atau adakah kami akan kembali ke 1819, atau jauh ke belakang, untuk mencari urus niaga yang pernah dijalankan?"

Urus niaga perlu berdasarkan pada nilai hartanah di pasaran hari ini, tambah Encik Lee.

Sebagai contoh, generasi-generasi terdahulu rakyat Singapura yang membeli flat pada harga jauh lebih rendah tidak sepatutnya diwajibkan untuk menjual flat mereka pada harga yang dibayar beberapa dekad lalu, kata Encik Lee.

"Kami sedia maklum bahawa Encik Leong mengemukakan cadangan yang kelihatan menarik pada zahirnya, tetapi kami mengetahui bahawa ia cadangan yang tidak adil, tidak masuk akal, dan pada dasarnya melanggar prinsip-prinsip taksiran yang sudah ditetapkan sejak sekian lama dan diterima ramai," ujar Encik Lee.

Beliau juga menyifatkan pendekatan Encik Leong sebagai "berbahaya" dan satu percubaan untuk "menyerbu" Rizab Negara Singapura.

Menjelaskan bagaimana hasil penjualan tanah negara ditokok kepada rizab negara, Encik Lee berkata: "Apabila tanah negara dijual kepada HDB, HDB perlu memulangkan nilai pasaran tanah berkenaan kepada rizab.

"Kembalikan tanah kepada nilainya yang setimpal dalam bentuk wang. Jadi rizab tidak menanggung kerugian."

Jika cadangan Encik Leong dituruti, hasil yang dipulangkan ke rizab negara akan merosot dan sumber bagi generasi-generasi masa depan rakyat Singapura juga akan berkurangan

Ketika beliau bangkit untuk berucap, Encik Leong berkata: "Saya tidak pasti bila saya pernah mengatakan bahawa harga HDB sepatutnya berdasarkan nilai sejarah tanah? Saya rasa saya tidak pernah berkata sedemikian."

Encik Lee merujuk kepada pertukaran antara Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sim Ann dengan Encik Leong pada tahun lalu, serta catatan-catatan media sosial NCMP itu.

Encik Lee berkata: "Saya rasa kita biarkannya untuk dibahas. Jika anggota tersebut memberitahu kita bahawa beliau tidak rasa Pemerintah sepatutnya mengenakan HDB dengan nilai sejarah, saya fikir ia melanjutkan perbincangan."

Bercakap tentang isu harga flat jualan semula yang melonjak, Encik Lee berkata MND sedang memantau pasaran hartanah dengan teliti dan melaksanakan langkah-langkah bagi meredakan pasaran untuk mengawal permintaan.

"Ada laporan-laporan yang menyatakan bahawa pasaran hartanah kian stabil. Ia mungkin terlalu awal untuk membuat kesimpulan muktamad tetapi matlamat utama kami adalah untuk memastikan kestabilan pasaran hartanah supaya ia tidak melanggar prinsip-prinsip teras ekonomi," kata Encik Lee.
Sumber : CNA/ZN/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan