Skip to main content

Singapura

Tanah jerlus Tanjong Katong: Pekerja hijrahan diberi syiling penghargaan

Syiling yang diberikan kepada para pekerja hijrahan yang membantu menyelamatkan seorang pemandu dari lubang tanah jerlus di Tanjong Katong adalah satu "tanda penghargaan" bagi relawan dan pekerja hijrahan yang memberi sumbangan bermakna dalam menyokong dan menjaga kebajikan masyarakat tersebut, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (30 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Tanah jerlus Tanjong Katong: Pekerja hijrahan diberi syiling penghargaan

Menteri Negara Tenaga Manusia, Dinesh Vasu Dash, menyampaikan syiling penghargaan MOM kepada para pekerja di asrama mereka pada 27 Julai 2025. (Gambar: Facebook/Dinesh Vasu Dash)

SINGAPURA: Syiling yang diberikan kepada para pekerja hijrahan yang membantu menyelamatkan seorang pemandu dari lubang tanah jerlus di Tanjong Katong adalah satu "tanda penghargaan" bagi relawan dan pekerja hijrahan yang memberi sumbangan bermakna dalam menyokong dan menjaga kebajikan masyarakat tersebut, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (30 Jul).

"Ia juga diberikan kepada pekerja hijrahan yang menunjukkan keberanian, inisiatif atau semangat keprihatinan awam pada waktu yang memerlukan," tambah kementerian itu.

MOM memberikan penjelasan itu sebagai maklum balas kepada pertanyaan Mediacorp berhubung syiling tersebut, selepas ia menjadi topik perbincangan di media sosial, dengan segelintir pihak mempersoalkan sama ada ia adalah satu bentuk penghargaan yang wajar bagi tindakan berani para pekerja hijrahan tersebut.

Syiling berkenaan dikenali sebagai syiling Friends of ACE (FACE), dinamakan sempena kumpulan Assurance, Care and Engagement (ACE) di bawah naungan MOM, bahagian yang ditubuhkan untuk menyokong kesejahteraan pekerja hijrahan.

“Kami terdorong apabila menerima maklum balas yang menyeru agar lebih banyak bentuk penghargaan diberikan,” menurut MOM.

“MOM kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi dan pihak berkepentingan untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti pekerja hijrahan dan akan terus memperkukuh sokongan menerusi pelbagai dasar dan inisiatif,” tambah kementerian itu, sambil menekankan keperluan usaha "menyeluruh daripada masyarakat" dalam menjaga kebajikan komuniti pekerja hijrahan di Singapura.

Menurut MOM, pihaknya bekerjasama dengan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) dan rakan masyarakat sepanjang tahun untuk menghargai sumbangan para pekerja hijrahan dan menjaga kebajikan mereka.

Antara usaha tersebut termasuk menumpukan bulan Disember bagi pelbagai “inisiatif penghargaan”, yang berakhir dengan sambutan tahunan Hari Migran Antarabangsa (IMD), menurut MOM.

“Melalui IMD, kami berharap dapat memperdalam penghargaan orang ramai terhadap pekerja hijrahan dan mengeratkan hubungan antara penduduk tempatan dengan komuniti pekerja hijrahan,” ujar MOM.

“Harapan kami adalah agar penghargaan yang ikhlas dan spontan dapat diberikan kepada pekerja hijrahan dan pembantu rumah hijrahan apabila mereka menjalankan tugas dengan berdedikasi dan bermaruah, apatah lagi apabila mereka tampil menjangkaui tanggungjawab untuk memberi sumbangan.”

“Tindakan harian mereka yang penuh perhatian dan keberanian wajar diiktiraf dan diraikan sebagai sebahagian daripada nilai masyarakat kita.”

Tujuh pekerja hijrahan diberikan syiling tersebut selepas membantu menyelamatkan seorang pemandu kereta yang terperangkap dalam lubang tanah jerlus di Tanjong Katong pada Sabtu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita