Skip to main content

Singapura

Tanah jerlus Tanjong Katong: Keadaan tanah stabil dan air sedang dikeluarkan, kata AP Goh Pei Ming

Keadaan tanah di lokasi tanah jerlus di Tanjong Katong Road South adalah stabil dan pihak berkuasa sedang menjalankan kerja-kerja untuk mengeluarkan air dari dalam lubang tersebut bagi mengeluarkan kenderaan yang terperangkap, menurut Anggota Parlimen (AP) Goh Pei Ming pada Ahad (27 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jul 2025 01:26PM Dikemas Kini : 27 Jul 2025 08:59PM
SINGAPURA: Keadaan tanah di lokasi tanah jerlus di Tanjong Katong Road South adalah stabil dan pihak berkuasa sedang menjalankan kerja-kerja untuk mengeluarkan air dari dalam lubang tersebut bagi mengeluarkan kenderaan yang terperangkap, menurut Anggota Parlimen (AP) Goh Pei Ming pada Ahad (27 Jul).

“Mereka sedang mengeluarkan semua air dari lubang itu ketika ini, dan kita perlu lakukannya secara perlahan-lahan supaya kita dapat menilai bagaimana keadaan tanah bertindak balas apabila air dikeluarkan,” kata Encik Goh kepada media di lokasi tersebut pada pukul 10.34 pagi.

Dalam kenyataan berasingan pada Ahad, agensi air negara PUB memaklumkan bahawa pemandu kenderaan tersebut berada dalam keadaan boleh berjalan dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut. PUB turut menyatakan bahawa pihaknya sedang berhubung dengan wanita tersebut untuk memberikan “sokongan yang diperlukan”.

PUB juga menghargai tindakan pantas para pekerja di lokasi yang menarik keluar wanita itu dari lubang tersebut. Sebelum ini, pihak berkuasa menyatakan bahawa penyelamatan dilakukan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Tanah jerlus tersebut muncul di sepanjang Tanjong Katong Road South pada Sabtu, menyebabkan sebuah kenderaan terjatuh ke dalam lubang yang dipenuhi air.

Pemandu wanita itu berjaya diselamatkan oleh para pekerja dan dibawa dalam keadaan sedar ke Hospital Raffles.

Dalam satu catatan di Facebook pada Ahad, Cik Gho Sze Kee memaklumkan bahawa tekanan dan bekalan air para penduduk di kawasan sekitar yang terjejas sudah pulih sepenuhnya pada pukul 2.30 pagi.

Sebilangan penduduk turut mengalami gangguan bekalan air susulan kejadian tersebut.

Tanjong Katong Road South terletak di sempadan antara Kawasan Undi Perseorangan Mountbatten, di mana Cik Gho merupakan seorang anggota parlimen, dan kawasan Encik Goh dalam Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade-Braddell Heights.

Encik Goh, yang juga Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, berkata bahawa sebaik sahaja paras air menurun — dijangka dalam tempoh satu hingga dua jam — pihak berkuasa akan menilai sama ada selamat untuk mengeluarkan kenderaan tersebut.

“Mereka memahami dan turut ingin memastikan bahawa kerja-kerja pembaikan jalan dapat dilakukan dengan segera dan keadaan kembali normal di kawasan ini,” katanya, khususnya bagi para penduduk yang perlu berulang-alik ke tempat kerja esok.

Beliau menambah bahawa maklumat lanjut akan dikongsi dalam masa terdekat.

Dalam catatan Facebooknya, Cik Gho berkata: “Setakat ini, dengan kerja-kerja masih dijalankan tanpa henti, kita belum mempunyai kepastian mengenai garis masa untuk keadaan pulih sepenuhnya.”

Beliau turut memaklumkan bahawa wanita yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan baik, kecuali mengalami kesakitan di bahagian bahu.

PUB dalam kenyataan keduanya pada pagi Ahad menyatakan bahawa bekalan air terganggu selama lebih empat jam selepas kejadian berlaku.

Agensi itu menerima maklum balas daripada kira-kira 18 isi rumah di kawasan terjejas. Lori bekalan air sudah dikerahkan dan beg air turut diedarkan kepada penduduk yang terjejas.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita