Tanah jerlus Tanjong Katong: 7 pekerja hijrahan bantu selamatkan pemandu diundang ke Istana
Tujuh pekerja hijrahan yang menyelamatkan seorang pemandu dari tanah jerlus Tanjong Katong dan bangunan Istana. (Gambar: Facebook/Dinesh Vasu Dash, CNA/Howard Law)
Pejabat Presiden memaklumkan kepada Mediacorp bahawa pekerja hijrahan yang terlibat dalam operasi menyelamat itu, bersama tetamu lain, diundang ke rumah terbuka Istana pada Ahad ini (3 Ogos).
Mereka terdiri daripada Pitchai Udaiyappan Subbiah, 47 tahun, dan rakan sekerjanya Velmurugan Muthusamy, 27 tahun, Poomalai Saravanan, 28 tahun, Ganesan Veerasekar, 32 tahun, Bose Ajithkumar, 26 tahun, Narayanasamy Mayakrishnan, 25 tahun, dan Sathapillai Rajendran, 56 tahun.
"Akan ada peluang untuk tetamu - termasuk pekerja hijrahan - berinteraksi dengan presiden semasa rumah terbuka Istana," tambah Pejabat Presiden.
Tapak di mana tanah jerlus itu berlaku terletak bersebelahan dengan tapak kerja PUB yang sedang aktif, membabitkan pembinaan terowong sedalam 16 meter bagi menyambung tiga saluran pembetung sedia ada.
Menurut agensi air negara, komponen konkrit dalam terowong itu "gagal berfungsi" sekitar pukul 5.50 petang Sabtu lalu.
Pada waktu yang sama, tanah jerlus berlaku di jalan raya berhampiran, menyebabkan sebuah kereta terhumban ke dalamnya.
Tindakan pantas Encik Subbiah dan rakan-rakannya berjaya menarik keluar wanita berkenaan menggunakan tali dalam beberapa minit.
Tindakan mereka menerima pujian meluas, termasuk daripada Presiden Tharman.
“Syabas! Terima kasih kepada para pekerja migran yang diketuai oleh penyelia Pitchai Udaiyappan Subbiah. Mereka bertindak pantas dan penuh keberanian,” kata beliau dalam catatannya di laman Facebook pada Ahad malam.
Pada Ahad malam, ketujuh-tujuh pekerja tersebut diiktiraf dengan syiling penghargaan “Friends of ACE” oleh Menteri Negara Tenaga Manusia, Dinesh Vasu Dash.
Syiling itu dinamakan sempena kumpulan 'Assurance, Care and Engagement' (ACE) di bawah Kementerian Tenaga Manusia (MOM), yang menyokong kebajikan pekerja hijrahan.
Ia merupakan “tanda penghargaan” kepada sukarelawan dan rakan kongsi pekerja hijrahan yang memberikan sumbangan bermakna.
"Ia juga diberikan kepada pekerja hijrahan yang menunjukkan keberanian, inisiatif atau semangat kesukarelawanan awam semasa saat memerlukan," tambah kementerian itu.
Walaupun terdapat perbincangan di media sosial mengenai sama ada pemberian syiling itu memadai bagi menghargai tindakan berani para pekerja itu, MOM menyatakan pihaknya “mengalu-alukan” maklum balas yang mencadangkan bentuk penghargaan yang lebih menyeluruh.
Pertubuhan kebajikan dan sokongan pekerja hijrahan ItsRainingRaincoats turut mengumumkan pada Rabu bahawa pihaknya mencapai sasaran kutipan dana sebanyak S$70,000 untuk ketujuh-tujuh pekerja tersebut.
“Terima kasih rakyat Singapura atas kebaikan dan sifat murah hari anda terhadap wira pekerja hijrahan menyelamatkan mangsa tanah jerlus ini!” menurut kenyataan di laman Facebooknya.
Dana tersebut akan dibahagikan sama rata kepada kesemua pekerja dan dipindahkan terus ke akaun bank mereka.
Menurut halaman kempen itu, jumlah sebenar yang dikumpul adalah sebanyak S$72,241 daripada 1,639 penyumbang.
“Kami akan menganjurkan sesi pertemuan bersama pekerja ini secepat mungkin setelah urusan dapat diatur,” tambah ItsRainingRaincoats.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.