Skip to main content

Singapura

Tan Kin Lian ulangi hasrat 'pengaruhi dasar pemerintah' jika dipilih sebagai Presiden

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Beberapa hari selepas Encik Tan Kin Lian berkata bahawa beliau akan membantu membentuk dasar pemerintah jika beliau dipilih sebagai presiden - pandangan yang disifatkan oleh para penganalisis sebagai tidak realistik dan mengelirukan - Encik Tan sekali lagi menyentuh isu tersebut.

Dalam responsnya terhadap pandangan para pakar politik, Encik Tan berkata dalam catatan blognya pada Sabtu (5 Ogos) bahawa para pakar mengambil "pandangan yang sempit" tentang peranan Presiden.

Dalam respons kepada pakar politik, Encik Tan berkata dalam satu hantaran blog pada Sabtu (5 Ogos) bahawa mereka mengambil "pandangan yang sempit" tentang peranan Presiden itu.

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income itu berkata dalam melaksanakan dua peranan utama Presiden – menggunakan kuasa veto berkaitan rizab Singapura atau pelantikan pemegang jawatan utama – Presiden harus "membincangkan perkara itu dengan rapat bersama para menteri yang relevan".

“Saya tidak menjangkakan Presiden akan memberi kelulusan secara membuta tuli atau tanpa penelitian yang rapi,” katanya.

"Dalam proses ini, Presiden akan lebih memahami pemikiran menteri-menteri pemerintah dan boleh membimbing mereka untuk membuat keputusan yang lebih baik."

Encik Tan menambah bahawa keputusan sedemikian harus bermatlamat untuk "memperbaiki kehidupan rakyat", termasuk menurunkan kos sara hidup, menjadikan rumah dimampui, dan menyediakan pekerjaan yang mantap dan menawarkan gaji yang baik.

MATLAMAT ENCIK TAN

Encik Tan menarik perhatian pada Khamis bahawa beliau akan "bekerjasama" dengan pemerintah dan "mempengaruhi" dasar jika dipilih sebagai presiden, satu sentimen yang diulanginya dalam catatan blognya pada Sabtu.

Seorang penganalisis menyifatkannya sebagai "idealistik dan tidak realistik".

"Itu bukan peranan Presiden. Presiden tidak menentukan dasar. Itu peranan pemerintah," menurut penganalisis politik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Felix Tan kepada Mediacorp pada Khamis.

"MENYAHUT CABARAN"

Encik Tan, yang mengumumkan seminggu lalu bahawa beliau sudah mengemukakan permohonannya untuk mendapatkan sijil kelayakan, sambil menambah pada Sabtu bahawa beliau mahu bertanding bagi jawatan presiden sebagai cara untuk "menyahut seruan rakyat".

Dalam catatan blog yang berasingan, beliau berkata rakan-rakannya turut menggesa beliau supaya bertanding kerana mereka berkata terdapat risiko bahawa pilihan raya akan menjadi kemenangan tanpa bertanding atau "pertandingan antara dua calon yang pro-pemerintah".

Encik Tan adalah individu keempat yang menyatakan hasrat mereka untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang. Yang lain adalah mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, tokoh perniagaan George Goh dan mantan ketua pegawai pelaburan GIC Ng Kok Song.

Tarikh pilihan raya belum diumumkan. Penggal Presiden Halimah Yacob akan berakhir pada 13 Sep.

SIAPA TAN KIN LIAN?

Encik Tan menyandang jawatan ketua pegawai eksekutif NTUC Income pada 1977, memegang jawatan itu selama 30 tahun sehingga beliau melepaskannya pada 2007.

Selepas meninggalkan NTUC Income, beliau memulakan perniagaan dalam perisian komputer dan juga kerap melakukan perjalanan untuk menyediakan khidmat runding cara insurans di Indonesia.

Beliau adalah anggota PAP dari tahun 1970-an hingga 2008. Pada tahun 1979, beliau menjadi pengerusi Balai Rakyat Marine Parade.

Encik Tan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2011 tetapi menduduki tempat terakhir dalam kalangan empat calon, memperoleh 4.91 peratus daripada lebih 2.27 juta undi.

Lantaran itu, beliau hilang wang cengkeram sebanyak S$48,000 kerana gagal meraih lebih daripada satu perlapan undi.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita