Tan Kin Lian mungkin tidak layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden secara automatik: Pengamat

Gambar: Facebook/Tan Kin Lian
Pada Ahad (30 Jul), Encik Tan mengumumkan hasratnya untuk bertanding menerusi satu kenyataan media. Beliau mendedahkan bahawa beliau sudah menyerahkan permohonan bagi Sijil Kelayakan pada 11 Julai lalu.
"Dalam kalangan empat bakal calon, saya percaya Encik Tharman Shanmugaratnam dan saya memenuhi syarat-syarat penuh yang ditetapkan dalam Perlembagaan itu," jelas Encik Tan.
Encik Tan, 75 tahun, merupakan mantan ketua pegawai eksekutif NTUC Income. Di lamannya, beliau menyatakan bahawa beliau telah diambil bekerja untuk NTUC Income pada 1977 dan sudah berkhidmat selama 30 tahun di sana.
Beliau menambah bahawa beliau telah memenuhi kriteria "sepenuhnya" untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut sebagai Ketua Eksekutif sebuah firma dengan ekuiti pemegang saham NTUC Income yang menjangkaui S$500 juta sepanjang tiga tahun terakhir perkhidmatannya di sana.
Sekalipun Encik Tan diluluskan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) untuk bertanding bagi pilihan raya tersebut pada 2011, kriteria kelayakan telah berubah sejak itu.
Sungguhpun demikian, kelayakannya 12 tahun yang lalu "tidak semestinya" menjaminkan kelayakannya kali ini - sama ada di bawah laluan automatik atau pertimbangan - kata profesor undang-undang Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
Dr Tan menambah bahawa jika perangkaan yang diberikan oleh Encik Tan adalah benar, kelayakannya mungkin boleh dipertimbangkan dengan baik.
Profesor Sains Politik Chong Ja Ian dari Universiti Nasional Singapura (NUS) juga bersetuju, sambil berkata: "Sama ada Encik Tan layak di bawah laluan pertimbangan bagi sektor awam terpulang kepada PEC, yang keputusannya tidak tertakluk kepada semakan, termasuk di mahkamah."
Dr Gillian Koh, felo penyelidik kanan di Institut Kajian Dasar, menarik perhatian bahawa meskipun Encik Tan mendakwa bahawa beliau layak, hanya PEC boleh mengesahkan demikian.
Beliau malah, berharap agar jawatankuasa tersebut dapat menyediakan laporan yang lebih terperinci mengenai penilaian mereka terhadap calon-calon tersebut kali ini.
Encik Tan sebelum ini berkata dalam satu hantaran di lamannya pada Selasa (1 Ogos): "Saya menjawab panggilan daripada rakan-rakan saya untuk bertanding dalam pilihan raya itu dan mengelak berlakunya kemenangan tanpa bertanding, sekiranya calon-calon lain hilang kelayakan."
Dua lagi bakal calon, yang telah mengumumkan hasrat untuk bertanding, tidak mempunyai kelayakan secara automatik. Ahli perniagaan George Goh, 66 tahun, boleh mendapat kelayakan di bawah laluan pertimbangan bagi sektor swasta, manakala Encik Ng Kok Song, 75 tahun, mantan ketua pelaburan GIC, sedang bergantung kepada laluan pertimbangan bagi sektor awam.
Pada 2011, Encik Tan menduduki tempat terakhir berbanding tiga calon lain. Beliau hanya berjaya memperolehi 104,095 atau 4.91 peratus daripada jumlah keseluruhan undian. Lantaran itu, beliau hilang wang deposit sebanyak $48,000 kerana gagal meraih lebih daripada satu perlapan undi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.