Skip to main content

Singapura

Tan Kin Lian lancar kempen jadi presiden, tekankan calon harus bebas dari kaitan dengan 'perkhidmatan awam

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Aug 2023 07:27PM Dikemas Kini : 11 Aug 2023 10:55PM


SINGAPURA: Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTUC Income Tan Kin Lian mengumumkan pada Jumaat (11 Ogos) hasratnya untuk bertanding bagi Pilihan Raya Presiden. Beliau menekankan bahawa beliau percaya kepada peri pentingnya memberi warga Singapura peluang untuk mengundi bagi, apa yang disifatkannya sebagai seorang calon bebas.

Memandangkan bakal calon presiden George Goh juga merupakan seorang "individu bebas", Encik Tan berkata bahawa beliau memutuskan masuk gelanggang untuk bertanding atas komen dan nasihat pasukannya bahawa Encik Goh mungkin tidak memenuhi kriteria kelayakan. Ini sekali gus mencetus kemungkinan bahawa hanya dua bakal calon dapat bertanding, iaitu mantan ketua pegawai pelaburan GIC Ng Kok Song dan mantan menteri kanan Tharman Shanmugaratnam.

"Saya percaya hanya saya sahaja calon yang tiada kaitan dengan perkhidmatan awam," tambah Encik Tan, 75 tahun.

Berucap di satu sidang media di mana beliau melancarkan kempen Pilihan Raya Presiden beliau, Encik Tan menambah bahawa beliau pada mulanya bersedia untuk "tidak melibatkan diri" apabila Encik Goh menyuarakan keinginannya untuk bertanding.

"Saya mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadapnya, saya mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap semangatnya serta pasukannya," ujar Encik Tan mengenai Encik Goh.

"Kami tidak mahu berlakunya pertandingan antara dua calon dari perkhidmatan awam, dan ia akan kelihatan sangat tidak wajar... kerana warga Singapura akan bersikap ragu-ragu," tambah Encik Tan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai sama ada beliau akan meneruskan hasrat untuk bertanding jika Encik Goh layak, Encik Tan berkata bahawa beliau tidak mahu membahagikan undian antara calon bukan dari perkhidmatan awam.

"Saya betul-betul mahu memastikan hanya ada satu calon bukan dari perkhidmatan awam sahaja, kami tidak akan membahagikan undian... Bagaimana ia akan dijalankan bergantung kepada siapa dan apa sahaja keadaannya, kami akan tahu mengenai(nya) apabila tiba masanya," jelas Encik Tan.

Encik Goh, yang merupakan pengasas Harvey Norman Ossia, mengulas keraguan berhubung kelayakannya pada Jumaat lalu dengan membentangkan perincian daripada rumusan permohonannya yang diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC).

Encik Tan menyerahkan permohonan bagi Sijil Kelayakan untuk bertanding bagi Pilihan Raya Presiden pada 11 Julai lalu. Beliau sebelum ini menyatakan bahawa beliau akan menunggu keputusan PEC berhubung senarai muktamad calon yang diluluskan bagi memutuskan sama ada beliau akan menghantar kertas penamaannya.

PEC belum lagi mengeluarkan sebarang Sijil Kelayakan setakat ini.

Selain Encik Tan, tiga lagi bakal calon presiden - Encik Goh, Encik Ng dan Encik Tharman - juga telah menyerahkan permohonan bagi Sijil Kelayakan dan mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding.

Encik Tharman adalah satu-satunya calon yang jelas memenuhi kelayakan untuk bertanding bagi Pilihan Raya Presiden itu.

MEMPENGARUHI DASAR PEMERINTAH

Encik Tan menekankan pentingnya melaburkan rizab negara dengan sewajarnya untuk menghasilkan pulangan yang baik bagi jangka panjang, di samping tidak terdedah kepada risiko tinggi.


Sebagai presiden, beliau menarik perhatian bahawa beliau akan "menekankan strategi pelaburan keseluruhan ini kepada pengurus pelaburan profesional".

Di Singapura, Presiden mempunyai bidang kuasa sebagai penjaga rizab negara dan dalam pelantikan pemegang jawatan politik penting. Presiden harus berunding dengan Majlis Penasihat Presiden bagi aspek-aspek tersebut.

Beliau turut menegaskan hasratnya untuk "menggunakan pejabat Presiden untuk mempengaruhi dasar", dengan memberi tumpuan untuk mengurangkan kos sara hidup, memastikan perumahan kekal dimampui dan pekerjaan yang stabil.


Pilihan Raya Presiden akan diadakan pada 1 September 2023, jika ada lebih seorang calon yang layak bertanding. Hari Penamaan Calon pula jatuh pada 22 Ogos.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita