Tan Chuan-Jin jadi Speaker Parlimen, Josephine Teo wanita pertama jadi Menteri di MHA
Dalam satu perubahan kepada barisan anggota Kabinet, Encik Tan Chuan-Jin akan menjadi Speaker Parlimen, dan Cik Josephine Teo pula akan mencatat sejarah menjadi wanita pertama menyandang jawatan Menteri Kedua di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Gambar fail Encik Tan Chuan-Jin.
SINGAPURA: Dalam satu perubahan kepada barisan anggota Kabinet, Encik Tan Chuan-Jin akan menjadi Speaker Parlimen, dan Cik Josephine Teo pula akan mencatat sejarah menjadi wanita pertama menyandang jawatan Menteri Kedua di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Encik Tan, yang merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sekarang ini, akan melepaskan jawatannya.
Beliau akan dilantik menjadi Speaker Parlimen mulai 11 September ini, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cik Halimah Yacob, yang melepaskan jawatan berkenaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.
Demikian diumumkan Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam satu kenyataan yang diedarkan pada 5.00 petang tadi.
JOSEPHINE TEO JADI MENTERI MHA
Semestinya satu perkembangan menarik dalam perubahan kali ini ialah pelantikan melibatkan Cik Josephine Teo.
Beliau akan mengambil alih portfolio Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri (MHA) yang akan dilepaskan oleh Encik Desmond Lee.
Ini merupakan kali pertama seorang Menteri wanita ditugaskan ke MHA di negara ini.
Dalam pada itu, Encik Desmond juga akan melepaskan portfolio Menteri di Pejabat Perdana Menteri. Sebaliknya, beliau akan menggantikan Encik Tan sebagai Menteri di MSF.
Bagi Cik Teo pula, beliau akan melepaskan jawatan Menteri Kedua Ehwal Luar (MFA). Namun akan terus memegang jawatan Menteri Kedua Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Encik Desmond Lee pula akan terus memegang portfolio Menteri Kedua Pembangunan Negara.
Kenyataan PMO itu menyebut, semua pelantikan tersebut akan berkuatkuasa pada 11 September nanti.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan mencalonkan Encik Tan selaku Speaker apabila Parlimen bersidang pada 11 September.
PM Lee juga mendedahkan bahawa beliau sudah memberi taklimat kepada para Anggota Parlimen PAP mengenai perubahan-perubahan tersebut dan mendapat sokongan penuh mereka.
KOMEN LANJUT DARI PM LEE
Menjelaskan lebih banyak perincian mengenai perubahan tersebut di Facebook beliau, PM Lee menyatakan bahawa beliau kali pertama berbincang dengan Encik Tan Chuan-Jin mengenai pelantikan Speaker itu setelah Cik Halimah memberitahu beliau tentang hasratnya untuk meletak jawatan.
"Walaupun Chuan-Jin adalah pilihan terbaik, ia suatu keputusan sangat sukar untuk mencalonkan beliau, kerana ia bermakna kehilangan seorang Menteri yang berkesan dan bersikap 'aktivis' di MSF," dedah PM Lee.
MASIH "ANGGOTA PENTING" PASUKAN PM LEE
Perdana Menteri menambah, Encik Tan kekal menjadi salah seorang anggota penting dalam pasukannya, walaupun dalam peranan yang berbeza.
"Saya sudah meminta beliau mengekalkan minatnya dalam isu-isu sekitaran dan sosial, dan keprihatinannya bagi golongan memerlukan dan kurang bernasib baik. Saya gembira beliau bersetuju untuk terus memberi nasihat kepada MND dalam isu-isu tersebut dan menyelia SG Cares selepas beliau menjadi Speaker," tambah PM Lee lagi.
Selain itu, Encik Tan Chuan-Jin akan juga terus memimpin GRC Marine Parade dan akan dilantik menjadi Penasihat kepada Majlis Kebangsaan bagi Khidmat Sosial (NCSS).
TAN CHUAN-JIN GEMBIRA TERIMA PENCALONAN
Dalam ulasan beliau sendiri menerusi Facebook, Encik Tan berkata beliau "gembira untuk menerima pencalonan PM (bagi jawatan Speaker) dan berharap rakan-rakan Parlimen akan menyokongnya".
Beliau juga megucapkan terima kasih kepada PM Lee dan rakan-rakan kabinet sejak enam tahun lalu. Encik Tan juga berharap dapat bekerjasama dengan mereka dan semua rakan-rakan Parlimen lainnya dalam tugas baru beliau nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.