Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tan Chuan-Jin ingatkan para AP peraturan di Parlimen gara-gara catatan FB Leong Mun Wai

Anggaran Waktu Membaca:
Tan Chuan-Jin ingatkan para AP peraturan di Parlimen gara-gara catatan FB Leong Mun Wai

Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin semasa berucap di Parlimen pada 7 Mac 2022.

SINGAPURA: Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin mengingatkan para Anggota Parlimen (AP) pada Isnin (7 Mac) cara prosiding dikendalikan, setelah seorang Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) memuat naik di Facebook bahawa "Speaker tidak langsung memberi saya peluang" untuk berucap di Parlimen. 

NCMP Leong Mun Wai (PSP) menyatakan menerusi komen di akaun Facebooknya: "Sekarang saya berada di perbahasan Belanjawan untuk Kementerian Tenaga Manusia (MOM). Menyusuli komen "mengelirukan" Menteri Tan See Leng pada Jumaat lalu, saya ingin membuat beberapa penjelasan. Namun, Speaker tidak langsung memberi saya peluang. Saya akan tunjukkan rakaman video nanti apabila sukarelawan sudah menyediakannya untuk saya." 

Tambahnya lagi: "Sangat tidak masuk akal!" 

Encik Leong merujuk kepada ucapan pada hujung Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MOM pada Isnin (7 Mac) apabila meminta untuk bertanya lebih banyak soalan, namun diberitahu Speaker bahawa masanya sudah tamat. 

Perbahasan COS adalah apabila Parlimen mempertimbangkan permohonan setiap kementerian bagi dana dan membuat undian tentang pengaliran dana tersebut.

Selepas penjelasan daripada beberapa AP tentang ucapan COS MOM, Encik Tan meminta Encik Desmond Choo (PAP-Tampines) untuk memberikan kata-kata akhirnya. 

Encik Leong kemudian mencelah, dan berkata: "Pengerusi, saya ingin bertanya beberapa lagi soalan." 

Encik Tan berkata: "Masa sudah tamat. Teruskan, Encik Desmond Choo." 

Sekalipun demikian, Encik Leong tidak berundur dan berkata: "Pengerusi, saya berkata masih lagi terdapat soalan-soalan. Perbahasan tidak tamat sekiranya terdapat lagi soalan." 

Encik Tan membalas: "Encik Leong, kami akan teruskan." 

Selepas pertukaran itu berlaku, Encik Leong memuat naik komennya di Facebook. 

Parlimen meneruskan perbahasan COS Kementerian Pendidikan (MOE), disusuli dengan kenyataan Encik Tan. 

Beliau menarik perhatian kepada para AP bahawa terdapat masa yang ditetapkan bagi prosiding-prosiding di Parlimen dan mungkin tiada masa yang mencukupi bagi kesemua soalan dan penjelasan daripada anggota-anggota. 

"Saya pasti anggota-anggota faham bagaimana prosesnya. Saya bukan di sini untuk membuat spekulasi tujuan dan motif catatan beberapa anggota, tetapi saya berpendapat ia adalah masa untuk saya mengingatkan semua bagaimana prosesnya, dan kenapa," kata Encik Tan. 

Beliau menerangkan daripada masa yang diberikan kepada setiap kementerian sewaktu sesi COS, 40 peratus adalah untuk "potongan," yang lazimnya adalah S$100 daripada peruntukkan kementerian yang digunakan AP untuk mengemukakan keprihatinan mereka tentang rancangan dan program kementerian itu. 

Encik Tan berkata bahawa 50 peratus masa akan diperuntukkan untuk maklum balas daripada kementerian berkenaan dan 10 peratus pula diperuntukkan untuk penjelasan daripada para AP. 

Masa bagi setiap sesi COS dimaklumkan sebelum persidangan Parlimen dan masa tamat perbahasan bagi setiap kementerian dipanggil "masa pangkas bahas". 


Speaker itu berkata bahawa perbahasan setiap kementerian akan berakhir apabila sudah sampai masa pangkas bahas, supaya Parlimen dapat meneruskan dengan hal ehwal yang lain dan para anggota boleh memfailkan soalan parlimen jika mempunyai lebih banyak pertanyaan buat kementerian tersebut. 

Beliau berkata: "Saya tahu ramai daripada anda inginkan penjelasan dan kami tidak selalu akan memberikan masa untuknya. Ramai daripada anda juga menghubungi saya, bertanya sebab mengapa anda mempunyai soalan yang penting, namun tidak dapat bertanya. Saya harap anda semua memahami keadaan saya." 

Encik Tan juga menerangkan bahawa apabila masa untuk penjelasan sudah berakhir, pengerusi boleh melanjutkan perbahasan sehingga masa pangkas bahas, tertakluk kepada budi bicara pengerusi, iaitu apa yang terjadi semasa perbahasan MOM. 

Speaker itu berkata bahawa beliau cuba memberi peluang kepada AP pelbagai parti untuk berucap.

Menyenaraikan kesemua AP yang mengetengahkan penjelasan semasa COS MOM, Encik Tan menarik perhatian bahawa Encik Leong sahaja yang tidak dapat berucap sebelum masa pangkas bahas. 

Para AP lain, termasuk Encik Edward Chia (PAP-Holland-Bukit Timah), Encik Melvin Yong (PAP-Radin Mas) dan Encik Leon Perera (WP-Aljunied) dan juga NMP Cik Janet Ang juga tidak dapat mengemukakan soalan mereka. 

"Saya berpendapat bahawa ia berguna untuk saya kemukakan hal ini. Saya tidak akan berpura-pura ataupun membuat spekulasi mengenai sebab komen-komen itu dibuat, namun saya rasa mungkin berguna untuk mengingatkan kesemua anggota bagaimana proses ini dikendalikan." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan