Skip to main content

Singapura

Tan Chuan-Jin, Cheng Li Hui teruskan "hubungan tidak wajar" meski sudah dinasihati, dedah PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Tan Chuan-Jin, Cheng Li Hui teruskan "hubungan tidak wajar" meski sudah dinasihati,  dedah PM Lee

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 17 Jul 2023 06:03PM Dikemas Kini : 17 Jul 2023 11:43PM
SINGAPRUA: Mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin mempunyai "hubungan tidak wajar" bersama Anggota Parlimen (AP) Cheng Li Hui yang juga anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP). Hubungan mereka itu diteruskan meskipun sudah diminta untuk menghentikannya, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (17 Jul).

Encik Tan dan Cik Cheng meletak jawatan daripada parlimen serta PAP pada Isnin (17 Jul).

Dalam satu sidang media yang diadakan pada hari yang sama, Encik Lee berkata beliau telah bercakap dengan Encik Tan mengenai hubungan mereka, yang terakhir pada Februari lalu. Encik Tan mengaku kesilapannya dan menawarkan untuk meletak jawatan ketika itu.

"Saya terima peletakan jawatannya", kata Encik Lee.

"Namun, saya memberitahunya pertama, saya harus memastikan penduduk Kembangan-Chai Chee dan Marine Parade terus dijaga.

"Dalam masa yang sama, hubungannya dengan Cik Cheng harus dihentikan."

Namun, "baru-baru ini", Encik Lee menerima maklumat yang "mencadangkan dengan kuat" bahawa hubungan Encik Tan dan Cik Lee masih diteruskan.

"Saya memutuskan Encik Tan harus meletak jawatan dengan segera, sama ada atau tidak aturan sudah dibuat. Perkara itu tidak boleh ditangguhkan lagi.

Ketika itu juga, Encik Tan telah menjadi sasaran berhubung komen yang dibuatnya dan didengar melalui mikrofon semasa sidang Parlimen.

"Saya minta untuk berjumpa dengannya," kata Encik Lee.

"Semasa perbincangan kami, beliau setuju untuk meletak jawatan serta merta - atas kelakuannya di parlimen serta hubungan yang tidak wajar bersama Cik Cheng. Beliau memberitahu saya akan putuskan hubungan tetapi tidak berbuat demikian.

Hubungan tidak wajar itu adalah "satu perkara lebih serius" daripada bahasa tidak sesuai yang digunakan Encik Tan di parlimen kerana beliau adalah Speaker Parlimen dan Cik Cheng pula Anggota Parlimen, kata Encik Lee.

"Hubungan tersebut tidak sepatutnya berlaku," tambahnya.

Ketika menjawab soalan tentang garis masa insiden itu, Encik Lee berkata beliau dimaklumkan tentang hubungan Encik Tan dan Cik Cheng selepas pilihan raya umum pada 2020.

"Saya tidak tahu bila ia bermula, namun mereka sudah dinasihat, diberi kaunseling."

Cik Cheng juga sudah dinasihati oleh Encik Lee pada Februari, "namun ... meneruskan hubungan itu bersama Encik Tan".

Encik Lee berkata beliau akan melantik seorang Speaker baharu dan akan membuat kenyataan menteri di sidang parlimen seterusnya pada 1 Ogos.

Sementara itu, Timbalan Speaker Parlimen Jessica Tan akan menjadi Pemangku Speaker.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong akan menjaga penduduk di kawasan Kembangan-Chai Chee di kawasan undi Marine Parade Encik Tan, manakala Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli akan menjaga penduduk Tampines, kata Encik Lee.

Dalam surat peletakan jawatannya, Encik tan berkata insiden melibatkan penggunaan bahasa tidak sesuai di parlimen di Dewan menambah kepada kekecewaan terhadap keluarganya.

"Saya telah mengecewakan mereka," tulisnya dalam surat kepada Perdana Menteri, pada 17 Julai.

Encik Tan, 54 tahun, mempunyai isteri dan dua orang anak manakala Cik Cheng, 47 tahun, masih lagi bujang.

Cik Cheng, menjadi AP Tampines sejak menyertai politik dalam pilihan raya umum 2015 di GRC Tampines.

Dalam suratnya kepada Perdana Menteri beliau mengatakan rasa "sangat kecewa untuk meletak jawatan dalam keadaan demikian".

Encik Lee pada sidang media pada Isnin berkata bahawa beliau sedih "kedua-dua AP PAP tersebut gagal mencapai standard tatasusila dan tingkah laku peribadi tinggi yang diharapkan bagi kesemua AP PAP".

"Apabila perkara seperti ini terjadi, ia adalah tanggungjawab saya sebagai Setiausaha Agung parti ini untuk menangani masalah tersebut dan membetulkan keadaan. Ini termasuk untuk menasihati, membetulkan, menegur, dan akhirnya, jika perlu, memecat AP tersebut dari parti dan parlimen," kata Encik Lee.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita