Tan Chong Meng pengerusi baharu NUHS
Encik Tan Chong Meng akan mengambil alih daripada Encik Hsieh Fu Hua sebagai pengerusi Lembaga Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (26 Dis).
Encik Tan Chong Meng (kiri) akan mengambil alih sebagai pengerusi NUHS dari Encik Hsieh Fu Hua. (Gambar: NUHS)
Encik Tan ialah pengerusi JTC Corporation dan telah menjadi anggota Lembaga NUHS sejak 2011, berkhidmat sebagai timbalan pengerusi sejak 2022.
Penggal beliau sebagai pengerusi akan bermula dari 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027.
NUHS ialah salah satu daripada tiga kelompok jagaan kesihatan awam di Singapura dan mengendalikan institusi-institusi jagaan kesihatan seperti Hospital Universiti Nasional (NUH), Hospital Alexandra dan poliklinik.
"Encik Tan ialah seorang pemimpin perniagaan yang cemerlang dengan pengalaman luas dalam strategi dan pengurusan merentasi pelbagai peranan dalam sektor swasta dan awam, termasuk sebagai pengarah semasa lembaga Temasek Holdings dan sebelum ini sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan PSA International," menurut MOH dalam kenyataan medianya.
"Sebagai pengerusi NUHS, Encik Tan akan memberikan kepimpinan strategik dan bimbingan kepada NUHS sedang ia terus mengubah sistem kesihatan, pedagogi dan tenaga kerjanya untuk memacu kecemerlangan klinikal melalui penyelidikan dan inovasi, serta menyediakan penjagaan yang selamat dan berkualiti untuk pesakit sambil memastikan kemampanan jangka panjang."
Encik Tan juga pengerusi bersama Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Kukuh, sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh pemerintah semasa pandemik COVID-19 untuk membimbing pemulihan Singapura.
Beliau juga telah dianugerahi Pingat Jasa Gemilang (COVID-19) pada 2022 dan menerima Pingat Kepujian (Emas) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 2023.
"Encik Tan juga akan memainkan peranan penting dalam menerajui NUHS melalui projek infrastruktur utama seperti pembangunan Hospital Besar Tengah dan Hospital Masyarakat Tengah yang baharu, dan pembangunan semula kampus Hospital Alexandra (AH) dan kampus Hospital Universiti Nasional (NUH)," menurut MOH.
"DEDIKASI UNTUK MEMACU PENJAGAAN KESIHATAN"
MOH mengucapkan terima kepada Encik Hsieh atas perkhidmatannya, setelah menerajui NUHS sebagai pengerusi sejak 2019.
"Semasa menjadi pengerusi NUHS, Encik Hsieh memimpin NUHS bangkit daripada pandemik COVID-19 sebagai sistem jagaan kesihatan dan akademik terkemuka di Singapura, dengan pencapaian ketara dalam usaha meningkatkan tadbir urus korporat, transformasi penjagaan, inovasi dan pembangunan bakat," kata MOH.
"Beliau memperjuangkan kesejahteraan dan kebajikan mental kakitangan, terlibat secara aktif dengan pemimpin klinikal dan pentadbiran di semua institusi jagaan kesihatan dalam NUHS."
Sepanjang perkhidmatan beliau, Encik Hsieh menyelia transformasi besar dalam NUHS, termasuk penggabungan institusi-institusi JurongHealth, Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Masyarakat Jurong dengan NUHS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.