Tan Cheng Bock tolak kerusi NCMP; bertegas skim satu 'muslihat' tarik pengundi dari pembangkang
etiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP) Tan Cheng Bock berkata beliau tidak akan mengambil kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) sekiranya diberi peluang. Beliau menyifatkannya sebagai satu 'muslihat' untuk menarik para pengundi daripada parti-parti pembangkang.
SINGAPURA: Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP) Tan Cheng Bock berkata beliau tidak akan mengambil kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) sekiranya diberi peluang. Beliau menyifatkannya sebagai satu 'muslihat' untuk menarik para pengundi daripada parti-parti pembangkang.
Bercakap kepada para wartawan selepas mengunjungi sebuah pasar di Blok 628 Ang Mo Kio pada Khamis (2 Jul), di mana beliau mengadakan lawatan bertemu penduduk bersama calon SMC Yio Chu Kang Kayla Low, Dr Tan berkata beliau bersetuju dengan Parti Pekerja (WP) berhubung pandangan mereka terhadap skim NCMP.
“Saya tahu mereka (PAP) mengubah syarat-syaratnya dan semua NCMP sebenarnya bertindak seperti AP di Parlimen. Tetapi ada satu ciri yang hilang - tiada asas berhujah untuk dirinya," kata Dr Tan.
“Untuk kami menjadi pembangkang yang baik, kami mesti mempunyai pendirian kami sendiri... Saya melihatnya sebagai satu muslihat...bagi menarik anda untuk mengundi PAP kerana mereka menjaminkan anda 12 NCMP."
Skim NCMP, yang diperkenalkan untuk memastikan bilangan minimum anggota parlimen pembangkang sekalipun jika mereka tidak dipilih, adalah ibarat "senjata makan tuan" bagi parti-parti pembangkang, kata calon Parti Pekerja (WP) Dennis Tan pada Rabu.
Skim NCMP membolehkan "calon yang kalah dengan prestasi terbaik" daripada pihak pembangkang untuk memasuki Parlimen setelah Pilihan Raya Umum. Para anggota WP sudahpun pada masa lalu bersuara menentang skim itu yang sudah diperkenalkan selama 36 tahun.
Dr Tan berkata adalah penting bagi sesiapa yang memasuki Parlimen untuk mendapat mandat majoriti daripada orang ramai.
“Semua mesti dipilih... Hujahnya sekarang bahawa anda tidak perlu dipilih sebagai AP secara mutlak, akan ada seorang NCMP - terdapat sedikit perbezaan di sini," katanya.
Dr Tan menambah beliau tidak akan mengambil kerusi NCMP sekiranya peluang itu timbul tetapi tidak akan menafikan peluang itu buat para anggota partinya.
“Saya sudah berusia 80 tahun dan saya selalu berkata saya mahu ramai orang masuk ke dalam Parlimen untuk benar-benar mengalami suasana di Parlimen. Semua soalan yang ditanya dan jawapan para menteri... ia satu pengalaman yang mesti dilalui. Saya serahkan kepada mereka."
Dr Tan adalah AP bagi Ayer Rayah selama 26 tahun semasa beliau bersama dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Kawasan undi itu kini diserap menjadi sebahagian daripada GRC West Coast.
Semasa menjadi seorang AP dari 1980 hingga 2006, Dr Tan juga bersuara menentang skim Anggota Parlimen Dilantik (NMP).
Bersama-sama dengan para anggota PSP yang lain, Dr Tan dan Cik Low meluangkan masa sekitar 45 minit untuk beramah mesra dengan penduduk serta bergambar. Mereka juga bertembung dengan calon PAP bagi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) itu, Encik Yip Hon Weng.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.