Skip to main content

Singapura

Tan Cheng Bock tidak nafi kemungkinan sertai pilihan raya akan datang

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dengan mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran melepaskan jawatannya di GRC West Coast, pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) Tan Cheng Bok berharap ia dapat meningkatkan peluang parti beliau dalam pilihan raya akan datang.

"Sudah tentu, kami harap ia dapat membantu kami, namun saya fikir ia bergantung kepada pengundi, bagaimana prestasi kami," kata Dr Tan kepada wartawan di Pasar West Coast pada Sabtu (27 Jan), di mana anggota parti tersebut bertemu dengan penduduk.

Anggota politik veteran 83 tahun itu menambah bahawa PSP berharap untuk meraih lebih banyak kerusi di parlimen, supaya warga Singapura boleh "menilai" prestasinya.

"Kami harus menunjukkan kepada warga Singapura bahawa kami mempunyai individu yang berkelayakan di Dewan," tambahnya.

Encik Iswaran, yang mengetuai GRC West Coast, melepaskan jawatan dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), dan jawatannya dalam pemerintah pada 16 Januari di tengah-tengah siasatan rasuah terhadapnya.

Beliau didakwa pada 18 Januari, di mana beiau dituduh menerima rasuah lebih S$166,000 dalam bentuk penerbangan, penginapan di hotel, dan tiket acara sebagai pertukaran untuk mendahulukan kepentingan perniagaan hartawan hartanah Ong Beng Seng, selain dakwaan lain.

Pada Pilihan Raya 2020, pasukan PSP diketuai Dr Tan memberikan persaingan yang sengit di GRC West Coast, di mana PAP meraih kemenangan 51.9 peratus undian.

PSP akan meningkatkan lawatannya di GRC West Coast daripada sebulan sekali kepada seminggu sekali, kata setiausaha agung Leong Mun Wan. Namun parti itu menyatakan bahawa faktor Encik Iswaran tidak mengubah tumpuannya.

"Tumpuan kami adalah untuk berkhidmat kepada rakyat," kata Encik Leong, seorang Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).

Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya akan datang, Dr Tan berkata: "Jika anda percaya dalam penuaan aktif, saya tidak harus bersara, betul? Jika anda fikir bahawa usia bukan satu masalah, saya akan tetap berada dalam politik."

Ketika pihak media menggesa untuk mendapatkan pengesahan sama ada beliau akan bertanding, Dr Tan menjawab: "Saya tidak kata tidak."

Apabila ditanya mengenai sama ada pasukan PSP bagi GRC West Coast akan berubah, Dr Tan berkata parti itu akan mendedahkan perkara tersebut menjelang pilihan raya akan datang.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita