Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tan Cheng Bock sangkal dakwaan sukarelawan PSP tampar, tarik baju; segala bukti diserah kepada polis, kata Low Yen Ling

Anggaran Waktu Membaca:
Tan Cheng Bock sangkal dakwaan sukarelawan PSP tampar, tarik baju; segala bukti diserah kepada polis, kata Low Yen Ling

(Gambar: Facebook/Tan Cheng Bock, Low Yen Ling)

Diterbitkan : 11 Jan 2025 07:29AM Dikemas Kini : 11 Jan 2025 10:12AM
SINGAPURA: Dua anggota kanan parti pembangkang Parti Kemajuan Singapura (PSP) mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kelakuan agresif oleh sukarelawan parti tersebut, dalam perkembangan terkini berkaitan perbalahan antara PSP dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas kelakuan sukarelawan mereka.

Dalam satu catatan di Facebook pada Jumaat (10 Jan), Pengerusi PSP, Tan Cheng Bok memberi keterangan berkaitan video yang tular Khamis, oleh seorang sukarelawan PAP, yang mendakwa sukarelawan PSP menampar mukanya ketika melakukan lawatan temui penduduk di Bukit Gombak.

Dr Tan menarik perhatian kepada video tersebut, di mana "tiada bukti sukarelawannya menampar muka sukarelawan PAP, hanya sari kata yang mendakwa perbuatan tersebut".

Dr Tan menambah bahawa beliau juga "tidak melihat sebarang bukti baju ditarik seperti apa yang didakwa", merujuk kepada dakwaan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Cik Low Yen Ling, yang berkata baju satu lagi sukarelawan PAP ditarik sukarelawan PSP.

Dr Tan menggesa Cik Low untuk memberi bukti terhadap dakwaan tersebut.

Dalam respons melalui catatan Facebook pada Jumaat, Cik Low berkata perkara tersebut diserahkan kepada polis dan sukarelawannya akan menyerahkan segala bukti kepada pihak berkuasa.
Dr Tan berkata beliau "terkejut" dengan dakwaan itu, sambil menambah bahawa PSP "segera" mengadakan mesyuarat pada Rabu (8 Jan) untuk mendengar daripada sukarelawan partinya dan meneliti dakwaan yang dibuat dalam catatan Cik Low.

"Semua sukarelawan lelaki yang terlibat dalam lawatan rumah pada 4 Januari di Goodview Gardens berkata mereka tidak menampar sesiapa, dan menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar," kata Dr Tan.

Beliau menambah bahawa seorang sukarelawan PSP "cuba mengambil gambar dengan seorang lelaki yang merakamnya, tetapi tidak menariknya dengan bajunya" seperti yang didakwa dalam catatan Cik Low.

"Sukarelawan kami juga berkata bahawa mereka mula merakam video hanya selepas mereka dirakam, yang bertentangan dengan penjelasan diberikan dalam catatan (Facebook) Cik Low," kata Dr Tan.

"Jika mana-mana sukarelawan kami bertindak agresif, kami akan mengambil tindakan tatatertib. Jika mereka dituduh secara palsu, maka kami akan melawan dakwaan itu habis-habisan bersama."

Dr Tan menambah bahawa PSP "tidak membenarkan sebarang bentuk keganasan, dan juga tidak ingin melihat rakyat kita terbelah disebabkan politik".

INSIDEN SERUPA BERLAKU PADA NOVEMBER, KATA HAZEL POA

Dalam catatan DI Facebook pada Jumaat, Setiausaha Agung PSP Hazel Poa juga menyangkal dakwaan PAP, dan berkongsi insiden serupa sebelum ini yang dikatakannya berlaku pada 9 November tahun lalu, ketika beliau menjalakan lawatan rumah ke rumah di Hillview Estate di Choa Chu Kang bersama sukarelawannya.

Cik Poa berkata beberapa anggota PAP mengikuti mereka semasa lawatan tersebut, dan mengambil gambar serta video mereka walaupun diberitahu untuk tidak melakukan demikian.

Beliau menambah bahawa anggota PSP mengambil gambar sukarelawan PAP sebagai tindak balas terhadap tindakan mereka, dan beliau bersedia untuk berkongsi gambar itu dengan Cik Low, sekiranya beliau ingin menyiasat perkara tersebut.

Walau bagaimanapun, Cik Poa mengulangi bahawa insiden pertama itu adalah "pertemuan yang tidak menyenangkan" pertamanya dengan sukarelawan PAP.

"Pada masa lalu, setiap kali kami bertemu semasa melakukan lawatan, kedua-dua pihak sentiasa senyum dan memberi ucapan antara satu sama lain, yang menunjukkan rasa hormat antara satu sama lain. Saya berharap supaya kita dapat mengekalkannya pada masa depan."

Bercakap mengenai kes terbaharu, Cik Poa berkata: "Walaupun ada kemungkinan beberapa sukarelawan kami berkelakuan agak tidak wajar, ia boleh difahami jika mereka diusik."

BUKTI AKAN DISERAHKAN KEPADA POLIS: LOW YEN LING

Menjawab kenyataan Dr Tan dan Cik Poa, Cik Low berkata pada Jumaat bahawa polis sudah dimaklumkan berkaitan kejadian itu dan sukarelawannya akan menyerahkan segala bukti kepada mereka.

Cik Poa menambah beliau bersetuju dengan Dr Tan bahawa sebarang keganasan tidak perlu dilibatkan dalam aktiviti politik.

"Insiden baru-baru ini adalah satu lagi peringatan untuk kita semua, tidak kira parti yang kita wakili, untuk berpegang teguh kepada nilai-nilai keprihatinan dan hormat."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan