Skip to main content

Singapura

Tan Cheng Bock, Paul Tambyah usul bahas pelan COVID-19 dengan PAP di TV

Calon-calon parti pembangkang Tan Cheng Bock dan Paul Tambyah pada Ahad (5 Julai) mencabar para pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) Chan Chun Sing dan Gan Kim Yong untuk mengadakan perbahasan di televisyen berhubung pengurusan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Tan Cheng Bock, Paul Tambyah usul bahas pelan COVID-19 dengan PAP di TV

(Gambar-gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 06 Jul 2020 12:28PM Dikemas Kini : 06 Jul 2020 12:31PM

SINGAPURA: Calon-calon parti pembangkang Tan Cheng Bock dan Paul Tambyah pada Ahad (5 Julai) mencabar para pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) Chan Chun Sing dan Gan Kim Yong untuk mengadakan perbahasan di televisyen berhubung pengurusan COVID-19.

Saranan itu diusulkan selepas Encik Chan berkata bahawa parti-parti pembangkang tidak mempunyai rancangan untuk memulihkan negara ini daripada kesan pandemik tersebut.

Menjawab di Facebook pada lewat Ahad, Encik Chan bagaimanapun tidak menerima mahupun menolak saranan tersebut, sebaliknya menggesa parti-parti pembangkang supaya membentangkan rancangan pemulihan mereka secara terbuka kepada para pengundi menjelang Pilihan Raya Umum pada 10 Jul.

"Mengapa tidak membentangkan rancangan mereka kepada para penugndi sekarang tentang bagaimana mereka merancang untuk membantu Singapura dan rakyatnya mengharungi krisis kesihatan dan ekonomi yang paling serius ini sejak beberapa dekad yang lalu?" tulis Encik Chan di Facebook.

Dr Tambyah, pakar penyakit berjangkit yang juga pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP) memberitahu para wartawan pada Ahad bahawa beliau sudah menelefon ketua Parti Kemajuan Singapura (PSP) Tan Cheng Bock pada pagi Ahad untuk membincangkan usulan itu.

"(Dr Tan) berkata (Encik Chan) boleh mengundang Menteri Kesihatan (Encik Gan Kim Yong) dan beliau akan membawa saya dan ia akan menjadi perbahasan mengenai bagaimana untuk menangani COVID-19 selepas pilihan raya," kata Dr Tambyah, yang akan bertanding di SMC Bukit Panjang.

"Saya sebenarnya sudah menerbitkan pendekatan saintifik mengenai bagaimana untuk menangani COVID-19 dari sudut perubatan, dan secara bersama, (Dr Tan) dan saya sendiri, saya fikir kita akan dapat memberikan jawapan yang komprehensif dan format terbaik adalah perbahasan secara langsung di televisyen," kata beliau.

Dr Tambyah adalah seorang profesor perubatan di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan seorang konsultan kanan dalam divisyen penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Secara berasingan, Dr Tan, 80 tahun, mengesahkan dengan pihak media mengenai saranan untuk berdebat di televisyen semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pasar Basah dan Pusat Penjaja Chong Pang City pada Ahad.

"Saya akan menyertai Paul (Tambyah) dan kami (mahu) membahaskan perkara ini di televisyen dan melihat sama ada pihak pembangkang sama baik atau lebih baik daripada cara mereka menguruskan COVID-19," kata bekas doktor itu.

"Paul dan saya sudah berkawan baik ... Beliau seorang pakar penyakit berjangkit dan saya seorang doktor dengan banyak pengetahuan mengenai jangkitan," tambahnya. "Kami boleh mengongsi semua pengetahuan ini dengan mereka."

"Ingat, semua huraian bukan hanya datang dari satu sumber saja."

Encik Chan pada Sabtu memberitahu media bahawa terdapat perbezaan yang "sangat ketara" mengenai rancangan untuk mengatasi COVID-19 dalam kalangan pembangkang, sekalipun sudah sampai ke pertengahan kempen pilihan raya.

"Saya meneliti secara terperinci manifesto pelbagai parti dan banyak perkara telah diperkatakan ... Ada satu bahagian yang ketiadaannya sangat ketara: Bagaimana kita akan mengharungi krisis ini," kata Encik Chan, yang bertanding di GRC Tanjong Pagar.

Apabila ditanya jika beliau akan mendedahkan apakah isu-isu yang akan dibangkitkannya kepada Encik Chan dan Encik Gan, Dr Tan, yang bertanding di GRC West Coast, berkata beliau akan mendedahkannya semasa perbahasan di televisyen, sekiranya ia berlaku kelak.

"(Sekiranya perbahasan) tidak berlaku, maka kami akan memberikan jawapan kami kepada anda. (PAP) mesti memberikan respons, kerana bukan kami yang memulakannya, mereka yang memulakannya (dan) kami setakat menjawabnya, itu saja. "


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita