Tan Cheng Bock gesa semakan bebas atas kelemahan berhubung kes Parti Liyani
Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), Tan Cheng Bock pada Ahad (13 Sept) menggesa semakan bebas dijalankan untuk mengetahui sama ada terdapat "kelemahan sistemik sedia ada" berhubung kes pembantu rumah asing Parti Liyani.
SINGAPURA: Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), Tan Cheng Bock pada Ahad (13 Sept) menggesa semakan bebas dijalankan untuk mengetahui sama ada terdapat "kelemahan sistemik sedia ada" berhubung kes pembantu rumah asing Parti Liyani.
“Kebertanggungjawapan yang tepat memerlukan kita mencari punca berlakunya kelemahan ini. Bukan hanya sama ada ia kesilapan manusia. Menjadikan seseorang sebagai kambing hitam atau mencari individu untuk disalahkan tidak akan membawa kebaikan kepada semua,” tulis Dr Tan dalam catatan di Facebook, kali pertama beliau mengulas mengenai kes itu.
Tambah beliau, huraiannya harus lebih daripada sekadar menyalahkan atau memberhentikan pegawai terbabit.
"Kita harus periksa jika ada kelemahan sistemik sedia ada - sama ada kegagalan dalam proses keselamatan, protokol, periksa dan imbang. Jika tidak, kita berdepan risiko mengulangi kesilapan yang sama sekali lagi,” kata Dr Tan.
Cik Parti dibebaskan daripada semua tuduhan minggu lalu, selepas Mahkamah Tinggi menggugurkan sabitannya yang membawa hukuman penjara dua tahun dan dua bulan kerana mencuri barang bernilai sekitar S$34,000 daripada keluarga Liew.
Bekas majikan Cik Parti, Encik Liew Mun Leong, kemudian mengundurkan diri dari semua jawatannya di sektor awam dan privet.
DR TAN PERSOAL AGC, MHA SEMAK DIRI SENDIRI
Dengan kes itu menarik sorotan media sepanjang minggu lalu, Dr Tan berkata perhatian harus ditumpukan pada tingkah laku pegawai polis, pendakwa, saksi perbicaraan dan hakim daerah yang sebelumnya menjatuhkan hukuman ke atas Cik Parti bagi kes yang berlanjutan selama empat tahun itu.
Beliau menarik perhatian ulasan yang dibuat Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, yang berkata minggu lalu bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC), polis dan Kementerian Tenaga Manusia sudah berjanji untuk melihat jika ada langkah-langkah lebih lanjut yang perlu diambil susuli keputusan Mahkamah Tinggi.
Namun Dr Tan mempersoalkan sejauh mana semakan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan AGC itu boleh dianggap sebagai bebas.
“MHA dan AGC sedang mengkaji kelemahan mereka sendiri. Adakah mereka cukup bebas untuk bersikap objektif 100 peratus?
"Sebaliknya, Pemerintah seharusnya membentuk badan semakan bebas untuk menilai secara kritikal dan menyeluruh kenyataan-kenyataan MHA dan AGC berhubung kes itu, bagaimana ia boleh berlaku dan membuat usulan untuk mencegah berulangnya kesalahan yang sama," tulisnya, walaupun beliau tidak menjelaskan siapa yang harus duduk dalam panel sedemikian.
PERLU TANYA SOALAN YANG BERAT
Merujuk kepada garis masa kes Cik Parti, Dr Tan menambah: "Apa yang membimbangkan saya ... adalah gabungan kelemahan yang menyebabkan situasi malang melanda Parti Liyani."
Beliau menggesa panel itu supaya meneliti beberapa persoalan sukar mengenai bagaimana siasatan dijalankan dan perbicaraan yang menyusul, seperti mengapa polis mengambil keputusan untuk meninggalkan bukti dengan keluarga Liew selama lebih setahun setelah laporan dibuat, dengan mengambil bukti hanya beberapa hari sebelum perbicaraan bermula.
Beliau juga mempersoalkan sama ada anggota polis, pendakwa dan hakim daerah telah menerima "cukup bimbingan, latihan dan sumber" untuk melaksanakan tugas mereka dengan baik.
"Ini adalah soalan-soalan yang berat untuk dijawab. Tetapi jawapannya mesti diperolehi. Warga Singapura mahukan sistem keadilan jenayah yang berkesan dan adil untuk semua orang,” kata Dr Tan.
"Secara umum, pihak polis, pendakwaan dan sistem kehakiman kita telah menjalankan tugas pada tahap yang baik pada masa lalu. Kejadian ini mengingatkan kita bahawa keadaan boleh diperbaiki lagi, dan saranan untuk membentuk Badan Semakan Bebas adalah satu langkah ke arah yang betul."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.