Skip to main content

Singapura

Tan Cheng Bock fail permohonan tubuh parti politik baru

Mantan calon presiden Tan Cheng Bock pada Jumaat (18 Jan) mengumumkan beliau akan kembali ke dunia politik dan menubuhkan sebuah parti politik baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Tan Cheng Bock fail permohonan tubuh parti politik baru

Mantan calon presiden Tan Cheng Bock. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 18 Jan 2019 12:23PM Dikemas Kini : 19 Jan 2019 12:14AM

SINGAPURA: Mantan calon presiden Tan Cheng Bock pada Jumaat (18 Jan) mengumumkan beliau akan kembali ke dunia politik dan menubuhkan sebuah parti politik baru.

Dr Tan memimpin sebuah pasukan dianggotai 12 "rakyat Singapura prihatin, termasuk beberapa mantan anggota PAP", yang pada Rabu (16 Jan) memfailkan permohonan untuk menubuhkan sebuah parti politik dengan Pendaftar Persatuan, kata Encik Tan, 78 tahun, dalam kenyataan medianya.

Bagaimanapun nama 11 pemohon lain tidak disebutkan. Mediacorp sudah menghubungi pasukan perhubungan media Dr Tan untuk mendapatkan identiti mereka.

Parti itu akan dipanggil Progress Singapore Party dan bertujuan menjadi "satu lagi suara rakyat di Parlimen".

"Selama beberapa tahun ini, sekumpulan kami bertemu ramai rakyat Singapura dari latar belakang berbeza-beza," kata Dr Tan. "Kami berbincang dengan ramai, mendengar keprihatinan dan masalah mereka.

"Kami rasa ia tanggungjawab kami untuk tampil dan mengemukakan isu-isu ini di platform lebih rasmi seperti di Parlimen. Jadi kami memutuskan untuk menubuhkan sebuah parti politik untuk menjadi satu lagi suara tambahan di Parlimen."

Keputusan ini bukanlah keputusan mudah, tambah Dr Tan dalam catatan Facebook beliau.

Dr Tan menambah, beliau sudah menimbangkan pilihan-pilihan lain bersama pasukannya, termasuk bergabung tenaga dengan parti pembangkang sedia ada, mengambil alih sebuah parti pembangkang dan beroperasi secara bebas.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membuat tawaran," kata beliau. "Saya sudah menimbangkan semua pilihan-pilihan yang ada dengan serius dan ia bukan keputusan yang mudah, tetapi saya rasa ia suatu keputusan yang betul."

"Meskipun kami menubuhkan parti baru, kami mengalu-alukan untuk bekerjasama dengan pihak pembangkang lain yang benar-benar ingin mendahulukan rakyat - sebelum parti atau diri sendiri.

Dr Tan menambah, pada usia 78 tahun, beliau "tidak mempunyai banyak masa" dan beliau ingin memanfaatkan masanya sebaik-baiknya untuk menjadi seorang mentor kepada ahli-ahli parlimen masa depan yang akan "memperjuang kebaikan negara kita".

"Kami ingin membangunkan Singapura yang benar-benar demokratik dan penyayang di mana nilai-nilai baik dan rakyat diutamakan," katanya. "Kebebasan memilih dan bersuara tanpa rasa takut harus dipertahankan."

Dr Tan berkata beliau dan pasukannya sedang menunggu kelulusan daripada Pendaftar Persatuan. Sebaik sahaja kelulusan diberikan, satu sidang media akan diadakan untuk memberikan butiran tentang matlamat, visi dan misi parti.

Dr Tan, yang menjadi seorang Anggota Parlimen selama 26 tahun, gagal dalam Pilihan Raya Presiden pada 2011. Pada Mac 2016, beliau mengumumkan niatnya untuk bertanding sekali lagi, tetapi pindaan Perlembagaan menjadikan beliau tidak layak untuk bertanding.

Dr Tan mengemukakan rayuan untuk mencabar keputusan Pemerintah memperuntukkan Pilihan Raya Presiden hanya bagi calon Melayu. Mahkamah Rayuan bagaimanapun menolak rayuannya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita