Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tampines Unite ajak penduduk teguhkan komitmen terhadap usaha pertingkat keamanan & keselamatan SG

Anggaran Waktu Membaca:
Tampines Unite ajak penduduk teguhkan komitmen terhadap usaha pertingkat keamanan & keselamatan SG
Diterbitkan : 27 Oct 2024 11:59AM Dikemas Kini : 27 Oct 2024 12:11PM
SINGAPURA: Para penduduk Tampines berhimpun di N8@WEST pada Ahad (27 Okt) untuk mengikrarkan komitmen mereka terhadap keamanan dan keselamatan di Tampines dan seluruh Singapura.

Banyak program dan inisiatif telah diusahakan selama bertahun-tahun untuk memupuk dan mengukuhkan kepercayaan dan persefahaman dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

"Kepercayaan yang dikongsi bersama ini akan menjadi benteng dan perisai masyarakat kita terhadap sesiapa sahaja yang cuba memecahbelahkan kita. Ia juga menjadi asas untuk kita menjalin hubungan yang lebih baik, mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat dan membina masa depan kita. Semua ini telah membantu kita bersatu padu sebagai sebuah masyarakat dan menjadikan Singapura sebagai sebuah negara yang unik," tegas Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli yang juga Anggota Parlimen GRC Tampines semasa menyampaikan ucapannya di acara Tampines Unite pada Ahad (27 Okt).
 
Tampines Unite diadakan di N8@WEST yang terletak antara Blok 826 dan Blok 828 Tampines West Street 81, iaitu lokasi di mana seorang remaja berusia 17 tahun merancang untuk melakukan serangan terhadap orang bukan Islam di di Tampines baru-baru ini.

Remaja itu menjadi radikal selepas membaca bahan-bahan online yang mengandungi unsur-unsur fahaman tegar.

Menurut Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, sebahagian besar ancaman yang menggugat perpaduan masyarakat dan keselamatan rakyat Singapura adalah dari anasir-anasir luar.

"Mujur, agensi-agensi keselamatan kita berjaya mengesan ancaman tersebut dan dia (remaja itu) telah diberkas sebelum dia boleh melakukan serangannya," kata Encik Masagos.

"Sekalipun kita berjaya mengelakkan satu tragedi dan mungkin juga kehilangan nyawa, kita sama sekali tidak terlepas daripada kesan kejadian ini," menurut Encik Masagos.

 
Sesetengah penduduk mungkin tidak percaya bahawa perkara seperti itu boleh berlaku di Singapura.

Rakyat Singapura mungkin tertanya-tanya bagaimana dan mengapa seorang warga tempatan sanggup merencanakan serangan ke atas jiran dan warga negaranya sendiri.

"Kita mungkin tertanya-tanya bagaimana seorang rakyat Singapura tergamak melancarkan serangan ke atas jiran dan rakan senegaranya."

"Kita juga mungkin tertanya-tanya sama ada kita selamat, dan jika kita boleh mempercayai orang lain dalam masyarakat kita, terutama sekali terhadap mereka yang bukan dari kaum atau agama yang sama dengan kita," ujar Encik Masagos selanjutnya.

Lantaran itu, "kita tidak boleh membiarkan kejadian seperti ini menggugat perpaduan dan kepercayaan yang telah kita bina di Singapura dan dalam masyarakat kita di Tampines selama ini," kata Encik Masagos.

 
Encik Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan menyeru rakyat Singapura, khususnya para penduduk di Tampines, supaya terus memupuk dan mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan terhadap satu sama lain.

Insiden sebegini diharap akan mengingatkan rakyat Singapura tentang cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menjaga keamanan dan keselamatan di Singapura dan mengingatkan kita semua bahawa kita tidak boleh memandang ringan terhadap ancaman sedemikian.

Ini kerana radikalisasi dan pengganasan tidak mengenal kaum, budaya atau agama. Sebaliknya, ia boleh menjejaskan individu daripada pelbagai latar belakang.

Dalam insiden baru-baru ini, remaja yang menjadi radikal itu adalah seorang Muslim. Sungguhpun demikian, kita telah melihat individu dari agama lain merancang untuk melakukan serangan ke atas masyarakat lain.

Pada 2020, sempena ulang tahun kedua serangan pengganas di Christchurch, seorang remaja beragama Kristian telah merancang serangan ke atas umat Islam di dua masjid tempatan.

Remaja itu juga telah diberkas sebelum dia sempat melakukan serangannya.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan