Tampines pusat bandar pertama gunakan sistem penyejukan bandar
Tujuh bangunan sedia ada di serata pusat bandar Tampines akan disertakan dalam rangkaian penyejukan bandar berpusat DDC), umum SP Group dan Temasek dalam satu kenyataan bersama pada Isnin (18 Apr).
SINGAPURA: Tampines akan menjadi pusat bandar pertama di Singapura yang mempunyai sistem penyejukan bandar.
Tujuh bangunan sedia ada di serata pusat bandar Tampines akan disertakan dalam rangkaian penyejukan bandar berpusat DDC), umum SP Group dan Temasek dalam satu kenyataan bersama pada Isnin (18 Apr).
DDC akan siap beroperasi pada separuh pertama 2025.
Bangunan-bangunan tersebut ialah Century Square, Bangunan CPF Tampines, Income At Tampines Junction, Pusat Tampines 2 OCBC, Hab Tampines Kita, Pusat Beli-Belah Tampines dan Tampines One.
Sistem itu akan dipasang dan dikendalikan oleh SP Group, dengan sokongan daripada Temasek, GRC Tampines serta Kementerian Kemampanan dan Sekitaran.
DDC menggunakan sistem penyejukan sedia ada di bangunan-bangunan terpilih untuk menghasilkan air sejuk bagi disalurkan kepada bangunan serta premis di sekitarnya. Bangunan-bangunan tersebut saling terhubung menggunakan paip untuk menyalurkan dan mengedarkan air sejuk.
Satu perjanjian perbekalan ditandatangani di Hab Tampines Kita pada Isnin. Upacara pemeteraian itu disaksikan oleh penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi Tampines Masagos Zulkifli, yang juga merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Rangkaian penyejukan itu akan membantu pusat bandar Tampines untuk mengurangkan pelepasan karbonnya sebanyak 1,359 tan setiap tahun, menurut SP Group dan Temasek. Jumlah itu sama dengan mengurangkan 1,236 kereta dari jalan-jalan raya Singapura.
Rangkaian penyejukan itu juga akan menghasilkan penjimatan tenaga sebanyak lebih 2.8 juta kilowat sejam (kWh) setiap tahun, yang boleh membekalkan tenaga kepada lebih 905 flat HDB tiga bilik setahun.
"Projek ini menunjukkan bagaimana huraian mampan boleh disepadukan untuk mengubah perbandaran sedia ada," kata Encik Masagos.
"Dalam forum-forum antarabangsa, terdapat tekanan untuk menunjukkan dan membuktikan komitmen terhadap penyesuaian serta pengurangan bagi perubahan iklim. Lantas, projek ini genting buat Singapura memandangkan jumlah besar bangunan kita sekarang ini akan terus wujud pada 2050."
Rangkaian DDC akan menyediakan pemilik bangunan dengan gabungan manfaat ekonomi sehingga S$50.8 juta sepanjang 30 tahun, menurut SP Group dan Temasek.
'SUMBANGAN BESAR' KEPADA IKLIM
Rangkaian DDC direka khusus untuk pembangunan semula tapak yang telahpun dibangunkan - untuk menyediakan keselesaan penyejukan yang sama sambil menjimatkan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon pada masa yang sama.
Bagi pusat bandar Tampines, bangunan Century Square, Hab Tampines Kita dan Tampines One akan berkhidmat sebagai satu nadi penyaluran air sejuk.
SP juga menandatangani surat hasrat dengan Ascendas Reit untuk mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan sistem penyejukan itu yang ditempatkan di Telepark. Ini bermakna bangunan tersebut juga berpotensi menjadi nadi penyaluran bagi rangkaian tersebut pada masa hadapan.
Sistem penyejukan bangunan menyumbang kepada pelepasan karbon tahunan Singapura kerana penghawa dingin boleh menggunakan sehingga 50 peratus tenaga sesebuah bangunan.
"Dengan lebih 80 peratus landskap Singapura menjalani pembangunan semula, penggunaan lebih meluas huraian penyejukan mampan akan menyumbang kepada matlamat penggunaan daya tenaga di bawah Pelan Hijau dan sasaran iklim Singapura untuk mencapai sifar bersih menjelang atau sekitar pertengahan abad ini," menurut SP Group dan Temasek.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.