Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tampines Changkat antara yang pertama mula kumpul baju raya bagi golongan memerlukan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kurang sebulan sebelum bermulanya Ramadan, inisiatif mengumpul baju raya untuk golongan memerlukan sudahpun giat dijalankan di beberapa kawasan kejiranan. 

Di Tampines misalnya, 12 relawan dari Rangkaian Penduduk Zon 5 Tampines Changkat sibuk menjalankan inisiatif sebegitu sejak Selasa lalu (1 Mac). Pengumpulan dijalankan dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari di sebuah pusat yang terletak di kolong Blok 124 Tampines Street 11

Semasa BERITAmediacorp berkunjung ke pusat pengumpulan itu pada Ahad (6 Mac), hampir setiap sudut premis berkenaan sudah penuh dengan baju-baju yang disumbangkan para penderma. 

"Dalam beberapa hari ini kita sudah terima lebih 5,000 pakaian daripada penderma dari merata Singapura. Ada yang datang dari Woodlands, Jurong - bukan hanya dari Tampines atau Pasir Ris yang dekat-dekat," kata Cik Suzana Ahmad Dawan selaku Pengerusi Projek Kutipan dan Agihan Baju Kurung Tampines Changkat.

ADA BAJU YANG DITERIMA 'MASIH BARU'

Baju-baju raya yang diterima pula banyak yang cantik-cantik belaka dan masih kelihatan sangat baru.

Semua itu ingin dihadiahkan kepada 200 keluarga kurang bernasib baik pada minggu ketiga bulan Ramadan nanti atau 23 April 2022.

Rancangannya, baju-baju itu akan disusun dan dibungkus rapi agar para penerima dapat merasakan seolah-olah sedang membeli-belah, sekali gus merasakan kemeriahan menjelang Syawal.

"Harapannya (dapat melihat) penerima menyambut Hari Raya dan tidak berasa sedih (kerana) orang lain dapat pakai baju lawa tetapi mereka tidak ada," tambah Cik Suzana.

Sebenarnya, Rangkaian Penduduk Zon 5 Tampines Changkat menganjurkan inisiatif ini setiap tahun sejak 2013. Ia cuma tidak dapat dijalankan pada 2020, iaitu ketika Singapura menguatkuasakan 'circuit breaker'. 

Tahun lalu pula, baju raya yang dikumpul dapat diberikan kepada sekitar 500 keluarga memerlukan. Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini. 

Ini kerana, jelas Cik Suzana, pengagihan tahun ini cuma dapat dilakukan dari satu lokasi sahaja. Apa pun, pihak penganjur bersedia menyambut sesiapa sahaja yang memerlukan untuk mendapatkan baju raya percuma dari mereka pada April nanti. 

USAHA DITERUSKAN MESKI MENCABAR. SEBABNYA... 

Yang pasti, menjalankan inisiatif ini bukanlah sesuatu yang mudah dengan jumlah relawan perlu dihadkan kepada lima orang sahaja pada setiap masa. Cik Suzana bagaimanapun percaya usaha murni ini harus diteruskan juga. 

"Ramai yang memerlukan. Kita tahu mereka betul-betul menghargai baju-baju yang kita beri kepada mereka," luahnya. 

"Kalau anda bersama kami tahun lalu atau sebelumnya, anda boleh lihat mereka cium baju-baju ini," kata Cik Suzana lagi yang sempat tidak dapat menahan sebak semasa menceritakan pengalamannya kepada BERITAmediacorp. 

Datuk Bandar Daerah Timur Laut Desmond Choo turut berkongsi betapa usaha ini sangat bermakna. Ia bukan sahaja sekadar tentang memberi baju percuma kepada golongan kurang bernasib baik, kata beliau. 

(Gambar: Tampines Changkat Zone 5 RN)

"Anda tidak akan hanya lihat semangat dermawan yang terserlah tetapi juga semangat saling prihatin dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah. Ada yang akhirnya jadi sukarelawan kami. Inilah semangat yang menonjol daripada usaha ini sedang kami membantu yang lain," kata Encik Choo.

Orang ramai masih boleh mendermakan baju-baju mereka untuk usaha ini sehingga 20 Mac. Encik Choo juga mengalu-alukan sumbangan korporat. 

MAEC CHENG SAN PUN DAPAT KUMPUL 4,000 PASANG BAJU 

BERITAmediacorp difahamkan, usaha mengumpul baju raya untuk golongan memerlukan juga dijalankan sekurang-kurangnya dua pertubuhan masyarakat lain. Antaranya adalah Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat (CC) Cheng San yang memulakan inisiatifnya pada Isnin (28 Feb).

(Gambar: Cheng San CC MAEC/Facebook)

Sambutannya cukup menggalakkan sehingga mereka hampir-hampir ingin menghentikan pengumpulan baju sehari lebih awal, iaitu pada Sabtu (5 Mac). 

"Alhamdullilah, sambutan kali ini amat menggalakkan dan di luar jangkaan kami. Sebenarnya kami sudah tutup pada hari Sabtu tetapi memandangkan orang masih menghantar, kami masih menerima. Kami telah mengumpul lebih 4,000 pasang pakaian lelaki, perempuan dan juga kanak-kanak. Ini jangkaan kami," kongsi Pengerusi MAEC Cheng San CC, Encik Roselan Pane Anwar.

Baju-baju raya yang dikumpul MAEC Cheng San CC ingin diagihkan sekitar seminggu sebelum bermulanya Ramadan kepada 400 penerima bantuan seperti mereka yang kurang upaya.   

Menurut Encik Roselan, baju-baju mungkin akan dihantar langsung ke rumah-rumah mereka yang khususnya merupakan warga emas dan kurang upaya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan