Skip to main content

Singapura

Tampines bandar pertama SG dipasang sistem pendinginan mampan

Tampines menjadi bandar pertama di Singapura yang dipasang rangkaian pendinginan daerah, iaitu huraian pendinginan mampan yang direka untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Anggaran Waktu Membaca:
Tampines bandar pertama SG dipasang sistem pendinginan mampan

Sistem pendinginan daerah yang dipasang di Tampines. (Gambar: CNA/Charmaine Jacob)

Diterbitkan : 14 Mar 2025 03:29PM Dikemas Kini : 14 Mar 2025 03:30PM
SINGAPURA: Tampines menjadi bandar pertama di Singapura yang dipasang rangkaian pendinginan daerah, iaitu huraian pendinginan mampan yang direka untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Dibangunkan SP Group, rangkaian pendinginan tersebut menghubungkan tujuh bangunan sedia ada di bandar Tampines: Century Square, Bangunan CPF Tampines, Income At Tampines Junction, OCBC Tampines Centre 2, Hab Tampines Kita, Tampines Mall dan Tampines 1.

Rangkaian itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon Tampines sebanyak 1,000 tan setiap tahun – setara dengan pengurangan sekitar 910 kereta dari jalan raya – dan mencapai penjimatan tenaga lebih daripada 2,300,000 kilowatt-jam (kWh) setahun, yang cukup untuk membekalkan tenaga kepada 710 flat tiga bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) setiap tahun.

Berucap di acara pelancarannya di Hab Tampines Kita (OTH) pada Jumaat (14 Mac), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga serta Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines Masagos Zulkifli, menggambarkan projek tersebut sebagai "revolusi dalam kemampanan bandar".

"Dengan perubahan iklim yang semakin memburuk, terdapat keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha kemampanan negara kita bagi menghadapi cabaran alam sekitar yang tidak dapat dielakkan dalam tahun-tahun mendatang.

"Oleh itu, projek pendinginan daerah ini akan menyediakan asas penting untuk Singapura melaksanakan lebih banyak huraian tenaga mampan di bandar-bandar sedia ada," kata Encik Masagos.

Rangkaian pendinginan tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam pelan induk bandar eko Tampines, yang tertumpu untuk mengubah Tampines menjadi bandar yang lebih mesra alam, tambah beliau.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri empat lagi penasihat kepada pertubuhan akar umbi GRC Tampines: Anggota Parlimen Koh Poh Koon, Desmond Choo dan Baey Yam Keng, serta wajah baharu Parti Tindakan Rakyat (PAP), ahli akademik Charlene Chen.

BAGAIMANA RANGKAIAN PENDINGINAN BERFUNGSI

Berbeza daripada sistem pendinginan biasa di mana setiap bangunan mengendalikan pendinginnya sendiri, rangkaian pendinginan daerah ini menyatukan proses pendinginan dengan menggunakan nod suntikan – bangunan yang mempunyai kapasiti pendinginan berlebihan dan kecekapan tenaga lebih baik – untuk mengedarkan air sejuk melalui rangkaian paip tertutup.

Dalam sistem ini, Century Square, Hab Tampines Kita dan Tampines 1 berfungsi sebagai nod suntikan, membekalkan air sejuk ke bangunan-bangunan lain yang terhubung dan menghapuskan keperluan bagi loji pendingin berasingan.

Dengan memaksimumkan kapasiti pendinginan yang dipasang dan memastikan kecekapan maksimum, rangkaian itu mengurangkan kos peralatan dan membuka lebih banyak ruang untuk kegunaan komersil.

Rangkaian itu direka untuk kegunaan pembangunan semula kawasan dalam menyediakan keselesaan pendinginan sambil meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Ia merupakan sistem pendinginan berskala besar pertama di dunia yang dipasang semula pada bangunan-bangunan sedia ada dalam kawasan bandar yang padat, kata Encik Masagos.

Bagi fasa seterusnya, SP Group sedang berusaha untuk menambah lebih banyak bangunan di Tampines ke dalam rangkaian tersebut.

Dengan lebih 80 peratus landskap Singapura terdiri daripada pembangunan jenis 'brownfield' atau kawasan dibangunkan semula, inisiatif sedemikian sejajar dengan Pelan Hijau Singapura 2030 dan sasaran negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, katanya.

Laluan baharu untuk menyokong matlamat iklim negara dan mendorong daya tahan jangka panjang boleh diwujudkan dengan memikirkan semula bagaimana huraian pendinginan dapat dilaksanakan dalam persekitaran bandar yang sedia ada, kata Ketua Pegawai Eksekutif SP Group, Stanley Huang.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita