Tambang teksi, kereta sewa privet dijangka meningkat susuli kenaikan harga petrol
Para penumpang mungkin berdepan tambang teksi dan kereta sewa privet lebih tinggi menyusuli kenaikan harga bahan api di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah.
Para penumpang mungkin berdepan tambang teksi dan kereta sewa privet yang lebih tinggi akibat kenaikan harga bahan api di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
This audio is generated by an AI tool.
Syarikat-syarikat khidmat kereta sewa privet sudah pun memperkenalkan langkah-langkah untuk membantu para pemandu menangani kenaikan kos bahan api.
Namun, para pemerhati memberi amaran bahawa jika konflik itu berterusan, perniagaan mungkin terpaksa mengambil langkah lanjut.
TEKANAN KOS BAHAN API MENINGKAT
Pengendali teksi ComfortDelGro menyatakan pada Selasa (17 Mac) ia akan mengenakan “yuran pemandu” sementara bagi tempahan yang dibuat melalui aplikasi CDG Zig sedang harga bahan api terus meningkat.
Langkah itu bertujuan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh para pemandu, menurut syarikat pengangkutan tersebut.
Para penganalisis menyatakan syarikat pengangkutan boleh meneroka pelbagai langkah untuk membantu para pemandu mengimbangi kenaikan kos bahan api.
Profesor Madya Walter Theseira dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) berkata para pengguna berkemungkinan akan berdepan kenaikan tambang.
“Tiada peraturan yang menetapkan bahawa satu-satunya cara untuk menangani masalah ini adalah dengan melaksanakan caj tambahan tertentu ke atas tambang,” kata beliau.
“Anda juga boleh menaikkan tambang asas secara keseluruhan, atau membiarkan harga lonjakan serta faktor penawaran dan permintaan memainkan peranan,” tambah beliau.
“Jadi terdapat pelbagai cara untuk menanganinya, tetapi saya menjangkakan hasil bagi pengguna adalah kenaikan tambang."
Platform khidmat kereta sewa privet Grab menyatakan ia akan terus menyediakan diskaun bahan api kepada para pemandu melalui kerjasama dengan stesen-stesen minyak bagi membantu mereka menguruskan kos.
“Kami memahami bahawa kenaikan harga bahan api memberi kesan terhadap mata pencarian rakan-rakan pemandu dan penghantar kami,” kata seorang jurucakap Grab.
“Kami terus berunding secara rapat dengan kesatuan dan rakan industri untuk memantau keadaan serta meneroka langkah lanjut untuk menyokong komuniti rakan kongsi kami.”
Bagi pengendali teksi Strides Premier, kios bahan api dalaman syarikat itu akan menawarkan harga sehingga 35 peratus lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa.
“Inisiatif ini melengkapi skim sewaan sedia ada kami, sebahagiannya sudah menyediakan kredit bahan api untuk membantu mengimbangi kos operasi pemandu,” kata pengurus besar pengendali teksi Strides Premier, Khoo Gui Ju.
“Secara keseluruhan, langkah-langkah ini direka untuk mengurangkan tekanan kos dan menyokong mata pencarian rakan pemandu kami.”
Perkhidmatan perkongsian kereta GetGo menaikkan kadar perbatuan (mileage) sebanyak lima sen bagi setiap kilometer untuk kenderaan bukan elektrik, dengan menyatakan berlakunya “peningkatan ketara kos” disebabkan oleh harga bahan api global yang lebih tinggi.
“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan melakukan yang terbaik untuk menyokong para pengguna kami,” katanya.
Sementara itu, platform khidmat kereta sewa TADA berkata ia sentiasa mencari cara untuk menyokong para pemandu serta meningkatkan pendapatan mereka, termasuk langkah-langkah untuk menambah baik kebajikan dan pendapatan harian, dengan butiran lanjut akan dikongsi pada masa yang sesuai.
LEBIH BANYAK LANGKAH DIJANGKA
Profesor Madya Theseira berkata perniagaan mungkin akan meningkatkan lagi langkah-langkah yang diambil apabila mereka menyedari kenaikan harga bahan api berkemungkinan berlarutan lebih lama daripada dijangkakan.
“Platform perlu bersikap proaktif dalam hal ini. Mereka perlu melakukan sesuatu untuk memulihkan pendapatan pemandu,” kata beliau.
“Jika tidak, pemandu akan mula meninggalkan industri ini atau beralih ke platform lain yang telah mengambil langkah untuk menaikkan tambang.”
Dengan harga khidmat kereta sewa dijangka meningkat, para penumpang memberitahu Mediacorp bahawa pilihan pengangkutan mereka sebahagian besarnya akan bergantung kepada keperluan.
“Biasanya, saya hanya menaiki Grab apabila terlewat untuk ke tempat kerja atau perlu bergegas ke sesuatu tempat. Jika tidak, saya akan cuba menaiki pengangkutan awam,” kata seorang penumpang.
“Kebelakangan ini, harga semakin meningkat, jadi ia menjadi kurang dimampui.”
Para pemandu juga sedang mencari cara untuk mengurangkan kos bahan api.
Jenama stesen minyak tempatan Cnergy menyaksikan barisan-barisan panjang sejak beberapa hari kebelakangan ini, kerana harganya lebih rendah berbanding pesaing.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Singapura (CASE) menggesa syarikat-syarikat bahan api supaya berhemah dan telus dalam menyelaraskan harga.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.