Tambang teksi ComfortDelGro naik mulai Mac; kadar teksi biasa naik 20 sen

SINGAPURA: Mulai Mac, para penumpang yang menggunakan khidmat teksi ComfortDelGro perlu membayar lebih tinggi bagi tambang teksi biasa serta kadar mengikut jarak dan masa menunggu.
Tambang bagi teksi biasa ComfortDelGro akan naik 20 sen dan kadar baru ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Mac, pukul 6.00 pagi.
Ini bermakna tambang bagi teksi biasa Hyundai i-40 akan meningkat daripada S$3.70 kepada S$3.90.
Tambang teksi biasa Toyota Prius, Hyundai Ioniq, Kona serta LimoCab dan MaxiCabs pula akan naik daripada S$3.90 kepada S$4.10, menurut ComfortDelGro.
Kenaikan harga ini, yang merupakan perubahan pertama dalam sedekad, "diperlukan" untuk menolong para pemandu teksi menampung kos-kos operasi yang lebih tinggi, menurut ComfortDelGro dalam satu kenyataan media.
"Dalam tempoh enam bulan yang lalu, harga minyak sudah naik hampir 10 peratus secara purata, sejajar dengan harga minyak yang semakin naik merata dunia, sedang ekonomi sedunia semakin pulih daripada pandemik. Inflasi juga semakin meningkat," menurut syarikat teksi tersebut.
Selain kenaikan dalam tambang teksi biasa, kadar tambang mengikuti jarak perjalanan dan masa menunggu juga akan dinaikkan.
Untuk kadar mengikuti jarak perjalanan, harga bagi setiap 400 meter akan dinaikkan, daripada S$0.22 kepada S$0.24 untuk teksi biasa, manakala kenaikan tiga sen bagi teksi limusin, daripada S$0.30 kepada S$0.33.
Harga yang dikenakan bagi tambang-tambang lain kekal sama.
Dengan perubahan itu, tambang bagi satu perjalanan teksi dengan jarak 10 kilometer pada masa tidak sibuk dijangkakan akan meningkat 7.7 peratus, ataupun sebanyak S$0.84, daripada S$10.98 kepada S$11.82.
Tambang teksi kali terakhir diubah ialah pada 12 Disember 2011, menurut ComfortDelGro.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.