Skip to main content

Singapura

Tambang penumpang dewasa MRT, bas naik 9 hingga 10 sen bagi setiap perjalanan mulai 27 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
Tambang penumpang dewasa MRT, bas naik 9 hingga 10 sen bagi setiap perjalanan mulai 27 Dis

Gambar fail kereta api SMRT. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 14 Oct 2025 06:42PM Dikemas Kini : 14 Oct 2025 07:53PM
SINGAPURA: Penumpang dewasa akan membayar tambang tambahan sebanyak 9 hingga 10 sen bagi setiap perjalanan menaiki pengangkutan bas dan MRT mulai 27 Disember, menurut Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Selasa (14 Okt).

Secara keseluruhan, tambang pengangkutan awam akan dinaikkan sebanyak 5 peratus, iaitu lebih rendah berbanding kenaikan 6 peratus pada tahun lalu.

Bagi perjalanan kad konsesi melebihi 3.2 kilometer, tambang akan dinaikkan sebanyak 3 hingga 4 sen - juga lebih rendah berbanding kenaikan 4 sen bagi setiap perjalanan pada tahun lalu.

Lebih sepertiga - kira-kira 450,000 - daripada perjalanan sedemikian adalah 3.2 kilometer atau lebih singkat, perjalanan ke sekolah, tempat kerja atau kemudahan berhampiran, menurut PTC dalam satu kenyataan media.

Tambang wang tunai juga akan dinaikkan sebanyak 5 sen bagi pelajar, 10 sen bagi warga emas dan golongan kurang upaya dan 20 sen bagi penumpang dewasa dan penumpang lain.

Ini mencerminkan kos operasi lebih tinggi untuk mengendalikan wang tunai, menurut PTC, sambil menambah kurang 1 peratus daripada kesemua perjalanan menggunakan pengangkutan awam dibayar menerusi wang tunai dan kali terakhir tambang tersebut dinaikkan adalah pada 2023.

Dalam satu sidang media pada Selasa, pengerusi PTC Janet Ang berkata walaupun majlis itu berusaha mengekalkan tambang yang berpatutan bagi lebih tujuh juta penumpang yang menggunakan pengangkutan awam setiap hari, terdapat pertimbangan lain yang perlu diambil kira.

Ini termasuk gaji pekerja pengangkutan awam, peningkatan kos operasi dan penyenggaraan rangkaian pengangkutan awam dan mempunyai sumber yang mencukupi untuk mengembangkan dan meningkatkan akses kepada rangkaian tersebut, katanya.

"PTC mengakui bahawa sebarang pelarasan yang adil boleh menjadi mencabar bagi pengguna pengangkutan awam dalam iklim ekonomi yang tidak menentu. Justeru, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seperti yang anda tahu, PTC tidak memberikan kuantum tambang maksimum yang dibenarkan," kata Cik Ang.

PTC juga mengumumkan ia akan mengubah tempoh masa yang diteliti untuk mengira kenaikan tambang tahunan - PTC sebelum ini meneliti data ekonomi dari Januari hingga Disember pada tahun sebelumnya.

Mulai semakan tambang seterusnya, PTC akan mengubah tempoh rujukan 12 bulan kepada tempoh mulai Julai tahun lalu hingga Jun tahun seterusnya.

Ini bagi mengurangkan jurang antara perubahan kos bagi pengendali dan pelarasan tambang sebanyak enam bulan, menurut PTC.

Perubahan tambang biasanya dilaksanakan pada Disember selepas semakan tambang tahunan, yang bermakna keputusan PTC berdasarkan data daripada sekurang-kurangnya setahun lalu.

Untuk memudahkan peralihan itu, semakan pada tahun ini akan mengambil kira tempoh 18 bulan mulai Januari 2024 hingga Jun tahun ini.

Ketua eksekutif PTC Leow Yew Chin berkata di sidang media itu bahawa majlis itu mengenal pasti isu kelewatan masa itu tiga tahun lalu.

"Kami boleh melakukannya lebih awal, tetapi kami masih mengkaji isu tersebut pada masa itu. Jadi saya rasa ini adalah masa yang lebih baik untuk melakukannya, sekarang selepas melihat data yang ada," katanya sebagai respons kepada soalan dari Mediacorp.

PERUBAHAN TAMBANG YANG LAIN

Buat kali pertama, caj tambahan bagi perkhidmatan bas ekspres akan dinaikkan.

Perkhidmatan itu menyediakan perjalanan lebih cepat kepada para penumpang dari kawasan kejiranan ke kawasan bandar dan pusat-pusat pekerjaan utama.

Disebabkan oleh kos lebih tinggi untuk mengendalikan perkhidmatan sedemikian dan untuk meningkatkan kemampanan kewangan, PTC menyatakan ia akan meningkatkan perbezaan tambang berbanding tambang bas dan MRT penumpang dewasa sebanyak S$0.40 bagi dewasa dan S$0.20 bagi kumpulan konsesi, untuk pembayaran menerusi kad.

Bagi pembayaran tunai bagi khidmat itu, tambang akan dinaikkan sebanyak S$0.60.

Perbezaan tambang antara perkhidmatan bas ekspres dan asas tidak pernah diselaraskan sejak 2010.

Selain itu, harga pas bulanan bagi dewasa dan warga emas akan turun sehingga 5 peratus, manakala pemerintah juga akan mengurangkan harga bagi pemegang kad Skim Konsesi Pengangkutan Daya Kerja dan golongan kurang upaya, di mana ia akan memanfaatkan sekitar 155,000 penumpang.

Penumpang dewasa dan pemegang kad konsesi yang kerap menaiki pengangkutan awam harus menimbangkan untuk membeli pas bulanan bagi mengehadkan perbelanjaan pengangkutan awam dan mengurangkan kes daripada kenaikan tambang, menurut PTC.

Isi rumah berpendapatan rendah juga akan menerima Baucar Pengangkutan Awam sebanyak S$60, yang kekal tidak berubah daripada tahun lalu.

PTC menyatakan pengendali pengangkutan SBS Transit Rail dan SMRT Trains akan menyalurkan 20 peratus daripada jangkaan peningkatan pendapatan mereka - sebanyak S$10.65 juta - kepada Dana Pengangkutan Awam yang membiayai baucar-baucar tersebut.
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita