Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tambang pengangkutan awam tidak harus dikait dengan tahap dan gangguan khidmat: Chee Hong Tat

Anggaran Waktu Membaca:
 Tambang pengangkutan awam tidak harus dikait dengan tahap dan gangguan khidmat: Chee Hong Tat

(Gambar fail: CNA/Wallace Woon)

SINGAPURA: Tahap perkhidmatan pengangkutan awam dan gangguan khidmat harus dipisahkan daripada cara tambang ditetapkan.

Demikian menurut Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat pada Selasa (15 Okt).

Berucap semasa menyampaikan kenyataan menteri berhubung gangguan khidmat kereta api di Laluan Timur-Barat yang berlaku pada 25 September hingga 30 September, Encik Chee menjawab pertanyaan daripada Anggota Parlimen Gerald Giam (WP-Aljunied) tentang sama ada insiden itu dan tahap perkhidmatan boleh dipertimbangkan dalam proses semakan tambang yang dijalankan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC).

Para AP memfailkan 31 soalan parlimen mengenai gangguan tersebut, yang mana khidmat kereta api terhenti antara stesen Jurong East dengan Buona Vista selama enam hari.

PTC sebelum ini sudah mengkaji sama ada semakan tambang harus dikaitkan dengan tahap khidmat dan gangguan, kata Encik Chee.

PTC kemudian memutuskan untuk tidak mengambil pendekatan sedemikian kerana terdapat langkah-langkah lain yang ditetapkan untuk memastikan standard khidmat dipenuhi, tambah beliau.

Bagi gangguan khidmat, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menentukan punca gangguan dan kebertanggungjawaban, kata menteri pengangkutan itu.

Apabila pengendali kereta api tidak memenuhi sasaran keandalan, mereka juga tidak menerima bayaran di bawah skim insentif pemerintah.

Proses semakan tambang yang dilakukan setiap tahun itu memastikan tambang mengikuti rentak perubahan dari segi kos operasi supaya sistem pengangkutan awam kekal mampan dari segi kewangan, kata Encik Chee, sambil menambah PTC mengikut formula tambang.

Misalnya, kenaikan maksimum yang dibolehkan tahun ini adalah 18.9 peratus, disebabkan 15.6 peratusan mata yang dibawa dari tahun lalu. PTC, bagaimanapun, memutuskan untuk menangguhkan kebanyakan daripada jumlah itu dan menaikkan tambang sebanyak enam peratus untuk memastikan ia boleh dimampui, kata Encik Chee.

"Jika tambang kita tidak disesuaikan untuk mencerminkan kenaikan kos operasi, kekurangan yang berterusan akan membawa kesan buruk ke atas mutu khidmat dan keandalannya dari masa ke semasa.

"Atau jika kita mahu terus menokok kekurangan itu menerusi subsidi pemerintah, ini bermakna para pembayar cukai harus menanggung bil lebih tinggi."

Encik Chee juga menjawab beberapa soalan tentang bagaimana kos gangguan tersebut akan ditanggung.

Tidak kira apa pun dapatan siasatan, SMRT akan menanggung kos khidmat bas penyambung perjalanan percuma dan bas biasa, kerugian pendapatan semasa gangguan dan kerja-kerja pembaikan, ujar beliau.

Syarat ini tertakluk kepada kedua-dua pengendali kereta api - SMRT dan SBS Transit - jika syarikat-syarikat tersebut mengalami gangguan di laluan kereta api masing-masing, kata beliau.

KESELAMATAN

Selepas gangguan, boleh difahami bahawa rakyat Singapura prihatin tentang apakah makna insiden tersebut terhadap keselamatan, keandalan dan daya tahan sistem MRT, kata Encik Chee.

Sistem itu mempunyai beberapa lapisan kawalan keselamatan, tambah beliau. LTA mengenakan standard ketat keselamatan, dan para pengendali yang tidak memenuhinya akan dikenakan denda, dan apabila perlu, juga dikenakan syarat-syarat tambahan bagi kawal selia dan pemantau.

LTA juga mengenakan standard pretasi penyenggaraan ke atas pemegang lesen pengendali, yang menetapkan syarat-syarat penyenggaraan yang mesti dipenuhi pengendali.

Menjawab pertanyaan tentang regim penyenggaraan bagi kereta api, Encik Chee berkata penyenggaraan berkala terikat pada masa tertentu dan juga bergantung kepada jarak perjalanan.

"Ini boleh terdiri daripada pemeriksaan visual berkala hingga kegiatan mengganti komponen yang lebih rumit. Kerja-kerja penyenggaraan ad-hoc juga dijalankan jika terdapat tanda-tanda kejanggalan yang dikesan antara tempoh penyenggaraan berkala," tambah beliau.

Parta pengendali juga sudah memasang sistem pemantauan keadaan pada landasan dan kereta api untuk mengesan kerosakan yang mungkin berlaku, kata Encik Chee, menjawab soalan mengenai kerja-kerja penyenggaraan yang boleh dijangkakan.

Kenderaan-kenderaan khas juga digunakan untuk mengimbas landasan untuk mengesan sebarang isu, dan memperbaikinya adalah keutamaan, tambah beliau.

Komponen pendua juga dipasang pada sistem di mana boleh untuk memastikan sekiranya insiden berlaku, akan ada proses-proses untuk memberi respons kepadanya, kata Encik Chee.

Contohnya, kuasa kereta api dijana oleh rel ketiga, dan sumber-sumber kuasa sokongan membekalkan kuasa kepada rel ketiga.

"Jika rel ketiga rosak dan kereta api tidak boleh bergerak, sistem bateri dalam kereta api akan mengekalkan lampu kecemasan, kipas pengalih udara dan sistem pembesar suara awam," kata beliau.

Semasa berlaku gangguan, yang mana kerosakan itu tidak boleh segera atau dengan mudah diperbaiki, keutamaannya adalah untuk memastikan para penumpang meninggalkan kereta api demi keselamatan mereka, kata Encik Chee.

KEANDALAN DAN DAYA TAHAN

Pada 2012, purata kilometer antara kegagalan bagi rangkaian MRT Singapura adalah 67,000 km-kereta api, kata Encik Chee.

Singapura mencapai sasaran bagi sekurang-kurangnya 1 juta km-kereta api pada 2019, dan mengekalkannya bagi semua laluan MRT, kata beliau, sambil menambah ini setanding dengan kebanyakan sistem kereta api luar negara.

Laluan MRT berbeza mempunyai purata berbeza kilometer antara perangkaan kegagalan kerana masing-masing ada ciri tersendiri. Ini termasuk usia, sama ada ia bergerak di bawah tanah atau di atas dan bila ia mula dikerahkan atau diperbaharui, kata Encik Chee.

"LTA dan pengendali kami memandang keandalan kereta api dengan serius. Meskipun kita sudah mencatat kemajuan ketara dalam tempoh sedekad lalu, ia terus menjadi kerja yang berterusan, dan di mana kami boleh melakukan lebih baik lagi, kami akan bekerjasama dengan rakan perikatan tiga pihak untuk melaksanakan peningkatan," tambah beliau.

Menjawab soalan tambaha daripada Encik Louis Chua (WP-Sengkang) mengenai standard prestasi baharu, Encik menarik perhatian bahawa pemerintah perlu mencari keseimbangan antara mengekalkan standard tinggi dengan kos yang perlu ditanggung untuk mengekalkan standard tersebut.

"Anda boleh katakan mengapa tidak 2 juta (purata kilometer antara kegagalan), mengapa bukan 4, 5 juta? Tiada apa yang menahan anda daripada menetapkan sasaran itu," tambah beliau.

Mencapai sasaran tersebut bermakna kos bagi penumpang dan pembayar cukai, ujar Encik Chee.

Semasa gangguan khidmat, masa perjalanan akan lebih panjang, kata beliau, memohon para penumpang faham mengenainya.

"Namun, kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan jumlah gangguan adalah minimum dan menawarkan pilihan alternatif apabila boleh," tambah beliau.

Dengan enam laluan MRT dan jumlah "besar" bas yang ada, sistem pengangkutan awam Singapura kini boleh menangani gangguan dengan lebih baik, kata Encik Chee.

Perancangan peluasan rangkaian kereta api Singapura dalam dekad akan datang ini akan meningkatkan kapasitinya untuk memenuhi permintaan perjalanan harian penumpang, menyediakan lebih banyak pilihan pengangkutan dan meningkatkan lagi daya tahan kereta api, tambah beliau.

Misalnya, apabila Peringkat 6 Laluan Circle siap pada 2026, para penumpang di barat akan ada satu lagi laluan untuk ke kawasan pusat bandar.

Menjelang awal 2030, Laluan Rentas Pulau akan meningkatkan ketersambungan antara daerah barat, timur dan timur laut, dengan hampir separuh stesennya merupakan pusat pertukaran MRT dan bas, kata Encik Chee.

Rangkaian bas awam juga memainkan peranan penting, menyediakan ketersambungan awal dan akhir perjalanan dalam bandar, ujar beliau.

"Ia menyediakan daya tahan dan laluan alternatif semasa gangguan kereta api. Lantaran itu, walaupun kami perlu menjadikan khidmat bas lebih cekap dan berkesan, kami mengekalkan sekurang-kurangnya satu laluan utama yang bergerak selari dengan laluan MRT."

Namun bas-bas tidak boleh menggantikan sepenuhnya kapasiti kereta api jika terdapat gangguan kereta api, walaupun khidmat bas penyambung perjalanan ditambah, kata beliau.

Kereta api enam gerabak di laluan Timur-Barat boleh membawa lebih 1,000 penumpang dan bergerak dengan jarak antara dua hingga tiga minit semasa waktu sibuk pada kelajuan sehingga 80 kilometer sejam, manakala bas dua tingkat membawa sehingga 120 penumpang dan kelajuannya biasanya lebih rendah bergantung kepada keadaan trafik.

"Oleh itu, meskipun dengan sehingga 80 bas penyambung perjalanan dua tingklat disediakan setiap hari, ia tidak akan dapat menyamai kapasiti penuh laluan Timur-Barat, kata Encik Chee, merujuk kepada gangguan pada September.

Sedekad yang lalu, Singapura berdepan cabaran-cabaran besar dari segi mutu dan keandalan khidmat MRT, kata Encik Chee, sambil menambah keseluruhan sektor pengangkutan awam "bekerja keras" untuk memperbaikinya.

"Kami bertekad untuk mengekalkan tahap tinggi keandalan, keselamatan dan mutu khidmat," tambah beliau.

Sebaik sahaja skala gangguan di laluan Timur-Barat dinilai, LTA dan pengendali pengangkutan awam segera mengaktifkan perancangan mereka, ujar Encik Chee.

"Keselamatan penumpang penting, dan oleh itu kami mengambil masa yang diperlukan untuk menyelesaikan kerja-kerja pembaikan dan menjalankan ujian teliti sebelum menyambung semula khidmat secara selamat."

Hasil siasatan ke atas gangguan tersebut akan dikongsi secara umum, kata beliau.

"Kami akan belajar daripada episod ini, kekal berwaspada dan bekerjasama dengan rakan perikatan tiga pihak kami untuk terus mempertingkat sistem pengangkutan awam kita," kata beliau.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan