Skip to main content

Singapura

Tambang pengangkutan awam penumpang dewasa naik 10 hingga 11 sen setiap perjalanan mulai 23 Dis

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Sep 2023 06:48PM Dikemas Kini : 18 Sep 2023 11:52PM
SINGAPURA: Kenaikan terbaharu tambang bas dan kereta api adalah lebih seganda berbanding peningkatan tahun lalu. Ini bermakna penumpang dewasa akan membayar tambahan 10 hingga 11 sen bagi setiap perjalanan.

Demikian menurut Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Isnin (18 Sep).

PTC, yang merupakan pengawal selia Singapura bagi tambang pengangkutan awam, mengumumkan kenaikan tambang keseluruhan sebanyak 7 peratus berikutan satu semakan semula yang dijalankan baru-baru ini. Kenaikan tambang tersebut akan berkuat kuasa pada 23 Disember nanti.

Trend kenaikan yang lebih ketara berpotensi berterusan, dengan PTC sekali lagi menangguhkan sebahagian besar kuantum penyelarasan tambang kepada semakan tambang pada masa depan.

Semakan tambang tahun ini adalah yang pertama di bawah formula baharu yang diumumkan April lalu. Ia sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan turun naik tambang pengangkutan dan memastikan harga kekal dalam kemampuan para penumpang.

Sebagai sebahagian daripada semakan semula itu - yang dilaksanakan setiap lima tahun - formula tambang disesuaikan untuk melibatkan dua komponen tetap bagi mengurangkan naik turun dalam tambang.

Tambang kad dewasa akan naik sebanyak 10 sen bagi perjalanan sehingga 4.2 kilometer, dan 11 sen bagi perjalanan melebihi 4.2 kilometer. Tambang bas yang dibayar secara tunai pula akan meningkat sebanyak 20 sen. Harga pas perjalanan bulanan bagi dewasa akan kekal pada harga S$128.

Kenaikan sebanyak 11 sen adalah yang tertinggi, menurut PTC, yang menarik perhatian bahawa tahun 2019 juga menyaksikan peningkatan sebanyak 7 peratus dalam tambang, tetapi dari asas yang lebih rendah.

Kenaikan lebih rendah akan dikuatkuasakan bagi tambang kad konsensi bagi golongan warga emas, pelajar, pekerja berpendapatan rendah dan golongan kurang upaya.Tambang pengangkutan bagi kategori ini akan meningkat antara empat hingga lima sen setiap perjalanan, berdasarkan jarak perjalanan mereka. Tambang tunai konsesi untuk perjalanan bas akan meningkat sebanyak 10 sen.

Secara keseluruhan, para penumpang dengan konsensi membentuk sekitar dua juta, atau separuh daripada warga Singapura.

Penumpang yang kerap menggunakan pengangkutan awam dan tergolong dalam kumpulan konsensi, seperti pelajar, warga emas, dan anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa, akan menyaksikan harga pas konsensi bulanan hibrid dikurangkan sebanyak 10 peratus.

Harga pas konsesi bulanan bagi orang kurang upaya akan dikurangkan daripada S$64 kepada S$58, sama seperti warga emas.

Pekerja bergaji rendah pula boleh menggunakan pas konsesi bulanan hibrid pengangkutan tambang kerja baharu berharga S$96.

BAKI PENYESUAIAN TAMBANG DITANGGUH KEPADA SEMAKAN MASA DEPAN

Kenaikan tambang bagi semakan semula tambang 2022 adalah 2.9 peratus, dengan tambang kad dewasa meningkat sebanyak 4 hingga 5 peratus setiap perjalanan.

Kenaikan 7 peratus tahun ini hanya sebahagian daripada kuantum penyesuaian tambang maksimum yang dibenarkan sebanyak 22.6 peratus, yang terdiri daripada kenaikan yang ditanggunkan tahun lepas sebanyak 10.6 peratus, dan 12 peratus tahun ini.

 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita