Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tambang kereta sewa privet lonjak sedang ramai kembali ke tempat kerja

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cik Chen Huiyi kini perlu membayar tambang lebih tinggi apabila menempah kereta sewa privet dari rumahnya di Bedok ke pejabat beliau di Marina Bay. 

Ketika pandemik, beliau perlu bayar harga tambang sebanyak S$14 hingga S$18. Namun, sejak beberapa bulan kebelakangan ia naik sekitar seganda kepada S$30 atau lebih. 

Cik Chen, 41 tahun, yang bekerja dalam bidang perhubungan juga mendapati masa menunggu untuk mendapat tempahan juga lebih lama sejak sekatan COVID-19 dilonggarkan. 

Penumpang yang ditemu bual Mediacorp juga berkongsi rintihan Cik Chen, dengan ramai yang berkata tambang kenderaan sewa privet naik secara ketara sejak kebelakangan ini. 

Menurut pakar industri pengangkutan, meskipun lonjakan tambang itu mungkin berpunca daripada kenaikan mendadak harga petrol baru-baru ini, namun sebab utamanya adalah permintaan yang semakin naik dengan lebih ramai pekerja kembali ke pejabat. 

Memandangkan firma-firma kereta sewa mengikuti model penentuan harga mengikut permintaan, tambang akan naik apabila permintaan semakin tinggi.

Satu lagi sebab tambah pakar ialah pasaran buruh yang semakin ketat, dengan sesetengah pemandu meninggalkan industri tersebut untuk pekerjaan yang membayar gaji lebih, sekali gus menyebabkan jumlah kenderaan kereta sewa privet yang ada tidak cukup untuk memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat. Ada juga pemandu yang memilih untuk bekerja  lebih singkat. 

Namun, kenaikan harga petrol juga memainkan peranan kerana pengendali platform kereta sewa privet ini sudahpun menaikkan tambang untuk membantu pemandu menampung kenaikan harga tersebut. 

Pemandu kereta sewa privet dan pemandu teksi memberitahu Mediacorp bahawa kos petrol yang lebih tinggi menjejas pendapatan mereka. Ada yang sudah meninggalkan industri itu manakala ada bilangan yang merancang untuk berbuat sedemikian. 

Encik Andy Guan, 40 tahun, yang sudah menjadi pemandu teksi selama 10 tahun, meninggalkan pekerjaannya itu dua minggu lalu disebabkan tekanan kenaikan kos. Beliau berkata, pendapatannya jatuh 40 peratus sejak harga petrol naik pada Februari. 

"Apa yang saya tahu ialah 40 peratus kawan saya berubah kerja menjadi penghantar makanan. Ramai yang sudah berbuat begitu dan henti memandu." 

Pemandu Grab Alan Chee, 59 tahun, bersetuju dan menambah bahawa yuran pemandu 50 sen yang diperkenalkan Grab tidak cukup untuk menampung kenaikan kos minyak. 

"Satu perjalanan diberi 50 sen, jadi bagi 10 perjalanan, S$5. Ini tidak dapat menampung kos petrol yang lebih tinggi," katanya. 

Cik Yeo Wan Ling, penasihat bagi Persatuan Teksi Nasional dan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional, berkata perniagaan bagi pemandu kembali kepada sekitar 80 peratus tahap sebelum pandemik disebabkan pelonggaran sekatan COVID-19. 

Beliau menarik perhatian bahawa terdapat pelbagai langkah kewangan yang diperkenalkan platform-platform tersebut sejauh ini, namun memandangkan harga minyak yang terus meningkat, beliau menggesa firma-firma untuk mengambil langkah lanjutan untuk mengurangkan tekanan kewangan bagi  pemandu. 

SESETENGAH PENUMPANG PILIH NAIK PENGANGKUTAN AWAM

Seperti Cik Chen, Encik Andrew Wilfred juga menyaksikan tambang kereta privet sewa melonjak pada lewat April dan awal Mei dan ini berlaku terutamanya pada hari-hari bekerja sebelah pagi dan waktu malam pada hujung minggu. 

Kakitangan awam berusia 36 tahun itu berkata beliau selalunya mengambil kereta sewa privet pada waktu pagi dari Seletar ke kawasan pusat bandar (CBD). Menurutnya harga tambang yang dibayar naik sekitar 50 peratus, daripada kira-kira S$16 pada awal tahun ini kepada S$23 sekarang. 

Oleh itu, Encik Wilfred kini memilih untuk menggunakan pengangkutan awam apabila pulang dari kerja. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan