Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tambang bas, kereta api naik hingga 5 sen kerana kenaikan kos tenaga

Anggaran Waktu Membaca:
Tambang bas, kereta api naik hingga 5 sen kerana kenaikan kos tenaga

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 12 Oct 2022 05:54PM Dikemas Kini : 12 Oct 2022 05:56PM

SINGAPURA: Tambang bas dan kereta api di Singapura akan naik sehingga lima sen mulai 26 Disember disebabkan peningkatan harga tenaga, umum Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Rabu (12 Okt) berikutan penilaian semula tambang yang diadakan secara tahunan.

Tambang kad dewasa akan naik sehingga empat sen bagi perjalanan sehingga 8.2 kilometer dan lima sen bagi perjalanan lebih jauh daripada 8.2 kilometer.

Ini bermakna perjalanan MRT daripada Boon Lay hingga ke Clementi, yang jaraknya adalah 8.2 kilometer, akan berharga S$1.45 bagi penumpang dewasa, naik berbanding S$1.41 sekarang.

Perjalanan MRT daripada HarbourFront sehingga Paya Lebar pula, yang jaraknya adalah 11.5 kilometer, akan berharga S$1.64, naik daripada S$1.59.

Berdasarkan data perjalanan, jarak bagi sekitar 54 peratus perjalanan dewasa kurang 8.2 kilometer, menurut PTC.

Peningkatan tambang kad konsesi akan dihadkan pada satu sen bagi setiap perjalanan untuk memastikan kosnya lebih rendah bagi pelajar, warga emas, pekerja berpendapatan rendah dan golongan kurang upaya, menurut PTC lagi.

Harga pas konsesi bulanan dan pas perjalanan bulanan bagi penumpang dewasa akan kekal sama.

Tambang bas yang dibayar secara tunai juga akan kekal sama buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2019.

Untuk membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana - mereka yang mempunyai pendapatan keluarga bulanan sehingga S$1,600 setiap seorang - Pemerintah akan mengagihkan 600,000 baucar pengangkutan awam bernilai S$30 setiap satu, yang boleh digunakan untuk menokok nilai kad tambang atau membeli pas konsesi bulanan.

KOS TENAGA, PEKERJA KIAN MENINGKAT

Kenaikan tambang itu perlu bagi memenuhi kos tenaga yang semakin meningkat, yang melonjak 117 peratus tahun lalu, menurut PTC.

Ditambah dengan kenaikan kos tenaga kerja dan inflasi, kuantum maksimum penyesuaian tambang yang dibenarkan adalah 13.5 peratus berdasarkan formula penyesuaian tambang PTC. Ini adalah nilai kuantum tertinggi yang dihasilkan oleh formula tambang sejak ia diguna pakai pada 2005.

Namun, PTC menyatakan ia membenarkan pengendali pengangkutan awam untuk menaikkan tambang hanya sebanyak 2.9 peratus disebabkan keprihatinan berhubung kenaikan kos sara hidup. Baki 10.6 peratus akan dianjak ke penilaian tambang akan datang.

Sekitar 1.8 peratus pendapatan isi rumah digunakan untuk pengangkutan awam bagi penumpang biasa, menurut penunjuk kemampuan pengangkutan awam, yang berdasarkan data Jabatan Statistik.

Dengan peningkatan tambang tahun ini, dan mengambil kira kenaikan purata pendapatan, PTC menyatakan perbelanjaan pengangkutan awam bulanan bagi keluarga-keluarga berkenaan dijangka kekal pada tahap yang sama.

Berucap sewaktu sidang media pada Rabu (12 Okt), Pengerusi PTC Janet Ang berkata, majlis itu mengambil kira kedua-dua situasi ekonomi dan kenaikan peratusan yang dihasilkan formula tambang tersebut.

"Kita akan mengatasinya sebagai satu masyarakat," tambah Cik Ang.

Setakat bulan lalu, jumlah penumpang pengangkutan awam sudah pulih kepada sekitar 80 paras sebelum pandemik, menurut PTC.

Pada tahun lalu, tambang bas dan kereta api di Singapura naik sehingga empat sen. Ini setelah majlis itu memutuskan untuk menetapkan kuantum maksimum penyesuaian tambang sebanyak 2.2 peratus untuk membantu pengendali mengatasi kos mengendalikan khidmat pengangkutan awam.

Ini berlaku di tengah-tengah kenaikan kos pengendalian dan kemerosotan jumlah penumpang disebabkan pandemik COVID-19.

Ia merupakan kenaikan tambang yang pertama sejak 2019, apabila tambang dinaikkan tujuh peratus, atau sembilan sen bagi setiap perjalanan, untuk penumpang dewasa yang menggunakan kad pengangkutan.

Semasa latihan semakan tambang 2020, PTC membuat keputusan untuk tidak meningkatkan tambang pengangkutan awam disebabkan krisis COVID-19 dan kesannya terhadap ekonomi.

MENGIRA PENYESUAIAN TAMBANG

Pada Ogos, PTC mengumumkan bahawa ia sedang mengkaji semula cara penyesuaian tambang bas dan kereta api dikira.

Semakan formula dan mekanisme penyesuaian tambang pengangkutan awam dijangka selesai pada separuh pertama 2023.

Sebarang penyesuaian akan diguna pakai mulai penilaian 2023.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan