Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tambahan kuota Haji: GSA mula terima pendaftaran jemaah; giat buat persiapan saat akhir termasuk kursus haji

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ejen-ejen khidmat haji yang diluluskan (GSA) sudah mula menerima pendaftaran dari jemaah yang ditawarkan tempat tambahan tahun ini.

Ini menyusuli kenyataan MUIS pada 20 Jun bahawa Singapura diberi tambahan kuota melebihi 407 tempat yang diperuntukkan pada April lalu.

Sehubungan itu, Presiden Ejen-ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS), Ustaz Tengku Mohd Fouzy turut memberitahu BERITAMediacorp bahawa kuota untuk jemaah Haji Singapura tahun ini digenapkan menjadi 900, yang merupakan kuota rasmi negara sebelum ini.

Sejak itu, GSA giat membuat persiapan untuk menerima jemaah tambahan.

Ini termasuk Ketua Ejen Penjualan Konsortium (CGSA), Jalaluddin Travel & Services, yang sudah menerima lebih 50 pendaftaran sehingga tengahari tadi (21 Jun). 

Menurut Pengarah Jalaluddin Travel & Services itu, Noor Faizah Mustaffa, mereka sudah mendapat panggilan sejak pengumuman itu dibuat, sehingga terpaksa membuka pejabat sehigga lewat malam semalam (20 Jun) untuk menerima panggilan dan soalan-soalan dari para jemaah Haji yang mendapat tawaran pada saat-saat akhir. 

"(Ada) kesuntukan waktu untuk jemaah belajar dari segi manasik mereka dan persiapan tetapi Insya Allah dari pihak Jalaluddin Travel, kami berusaha untuk menyediakan kursus Haji pada masa yang terdekat ini. Kami sedang membuat persiapan untuk tempah bilik darjah dan juga menyusun jadual asatizah kami untuk menyiapkan para jemaah Haji ini," kongsi Cik Faizah. 

TIADA PENAMBAHAN HARGA UNTUK TEMPAT TAMBAHAN YANG DITAWARKAN

Namun, menurut beliau, tiada penambahan harga untuk slot-slot tambahan ini. 

"Kami cuba mengekalkan harga yang kita sedia ada. Dari segi pakej pula, masih ada dua pakej - yang singkat iaitu 19 hari dan yang panjang iaitu 26 hari," ujar Cik Faizah.

"Kita belum mengesahkan penerbangannya dan saya fikir kebanyakan GSA pun masih lagi mencari penerbangan yang ada kerana pihak penerbangan pun belum memberi kata putus. Kami masih mencari Insya Allah dan di masa terdekat ini, kita akan memastikannya," tambah beliau. 

Antara jemaah yang ditawarkan tempat tambahan untuk menunaikan Haji kali ini ialah Encik Isa Busra, 57 tahun. 

Ini merupakan kali pertama beliau dan isteri menunaikan Haji selepas 10 tahun menanti giliran mereka. 

"Kita sudahpun menunggu untuk menjalankan Haji buat sekian lama dan memandangkan dua tahun lepas tidak dapat mengerjakan Haji jadi kita khuatir kerana tak tahu apa akan terjadi pada masa akan datang," kongsi Encik Isa. 

"Jadi memandangkan, (kami) sudah diberikan peluang, jadi kami harus rasa gembira untuk mengambilnya," tambahnya lagi. 

HAGEL TRAVEL & TOURS HARAP DAPAT BAWA LAGI 40 JEMAAH KE HAJI 

Bagi satu lagi anggota CGSA, iaitu Hagel Travel & Tours, ia berharap dapat membawa lagi 40 jemaah untuk menunaikan Haji, tambahan kepada 40 jemaah yang mereka sudah ada setakat ini. 

Dari jam 10.00 pagi lagi, ramai jemaah yang sudah bertali arus datang ke pejabat itu dan buat masa ini, ia sudah mempunyai lebih 20 jemaah yang sudah mendaftar. 

"Mengikut tempoh yang kami diberikan pihak MUIS tadi, kalau boleh selewat-lewatnya hari ini kita sudah perlu memuktamadkan, kerana kita kesuntukan masa. Ini adalah untuk memasukkan segala (dalam) kontrak," ujar Pengarah Hagel Travel & Tours, Encik Syed Agil S Hamid Alkaff. 

"Setiap kontrak yang kita buat dalam sistem Haj ini, harus membuat pembayaran. Jadi setelah pembayaran dibuat dan setelah kontrak dimasukkan ke dalam sistem tersebut, barulah proses visa itu akan bergerak," tambahnya lagi. 

Beliau juga menambah, pihaknya menyasarkan tarikh keberangkatan antara 3 hingga 6 Julai bagi para jemaah tambahan ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan