Skip to main content

Singapura

Tambahan 24,000 ruang solat disediakan bagi Solat Aidilfitri, 30% lebih banyak berbanding tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih banyak ruang solat bagi solat Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan disediakan di 49 lokasi tambahan termasuk yang dikendalikan oleh kumpulan Qaryah.

Tambahan sebanyak 24,000 ruang solat iaitu sekitar 30 peratus lebih banyak berbanding tahun lalu, dijangka dapat memberi kemudahan buat jemaah lanjut usia dan juga mereka yang mempunyai kesukaran untuk bergerak.

Ini dengan menyediakan mereka akses kepada ruang solat yang berhampiran dengan kediaman mereka.

Masjid-masjid serata negara pula akan menyediakan sebanyak 240,000 ruang solat merentasi sehingga tiga sesi solat, termasuk ruang khas untuk jemaah wanita, bagi Solat Aidilfitri tahun ini.

Tempahan tidak diperlukan kecuali bagi sesi pertama di Masjid Darul Ghufran.

Para jemaah yang mahu solat di masjid tersebut pada sesi pertama boleh membuat tempahan slot melalui book.masjids.sg mula Selasa, 17 Mac 2026 pada jam 10.00 pagi.

Dalam satu video di media sosial, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menggalakkan para jemaah untuk membuat perancangan bagi mengelak kesesakan.

"Sedang pihak masjid dan kumpulan Qaryah membuat persiapan untuk menyambut para jemaah bagi solat Hari Raya, saya menggalakkan mereka yang ada kelapangan untuk mempertimbangkan menghadiri sesi kedua atau ketiga, atau menunaikan solat di lokasi yang kurang sesak. Ini akan membantu memastikan semua jemaah dapat menunaikan solat dengan selesa," kata Dr Faishal.

"Setinggi-tinggi penghargaan saya kepada MUIS, komuniti masjid, para pegawai dan sukarelawan, serta para pemimpin Qaryah dan sukarelawan mereka yang telah menjayakan segala persiapan ini," tambahnya lagi.

Para jemaah boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai pengaturan solat Hari Raya Aidilfitri, termasuk ruang untuk Muslimah dan bahasa khutbah di go.gov.sg/rayaprayer (masjid-masjid) dan go.gov.sg/rayaprayersupp (lokasi tambahan).

Para jemaah juga boleh melayari maps.gov.sg/raya-prayer untuk mencari lokasi solat yang berdekatan dan sesuai.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita