Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman Warisan Melayu lancar pesta terakhir sebelum ditutup bagi kerja ubah elok

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pelbagai persembahan dan hiburan disajikan di Taman Warisan Melayu (MHC) pada 14 Oktober bagi pesta terakhirnya sebelum ditutup selama dua tahun untuk kerja-kerja ubah elok.

Dipanggil 'MHC ClosingFest', acara selama hampir da jam itu dibuka kepada orang awam.

Mereka dihiburkan dengan persembahan oleh artis tempatan seperti Azrin Abdullah, Alunada dan Orkestra Melayu Singapura.

Menariknya, mereka seolah-olah dibawa kembali ke zaman dahulu dengan persembahan yang menampilkan gaya tarian joget bagi memberi penghormatan kepada artis-artis yang mempopularkannya termasuk Siput Sarawak dan Hamzah Dolmat.



Persembahan itu juga sedikit sebanyak memberi gambaran tentang galeri-galeri yang akan diubah suai.

Apabila dibuka semula nanti, ia bakal memaparkan naratif budaya popular dan pusat hiburan dalam era selepas perang di Singapura.

"Kami akan menggunakan masa sewaktu kami tutup ini untuk mengadakan kajian, dan kurator-kurator kami akan melakarkan naratif-naratif yang baru untuk galeri-galeri kami yang akan datang dan ianya akan lebih segar dan akan lebih bersesuaian untuk semua lapisan masyarakat dan generasi-generasi akan datang," kongsi Pengurus Besar MHC, Cik Asmah Alias.

Taman Warisan Melayu dijangka akan dibuka semula pada tahun 2025.

SUASANA "MERIAH, MACAM SUASANA KAMPUNG"

Selain dapat menyaksikan persembahan, orang ramai juga dijemput untuk menikmati juadah Melayu, termasuk sate, mi rebus dan roti kirai.

Malah, pesta itu juga berjaya menarik pengunjung dari pelbagai kaum.



"Tadi saya datang, belum boleh masuk, tetapi bila dengar lagu-lagunya itu macam tak sabar nak masuk," kongsi Cik Ramlah, yang datang bersama anak-anaknya.

"Alhamdulillah dapat juga tengok persembahan anak dan suasananya meriah macam suasana kampung dengan pakaian-pakaiannya," tambahnya lagi.

Ada juga yang pada mulanya datang ke kawasan Kampong Gelam untuk makan tetapi memutuskan untuk menyertai pesta itu dan nikmati kemeriahannya.



"Saya rasa bahawa acara ini dapat melestarikan bahasa dan budaya Melayu dan untuk saya, saya rasa ini agak penting dalam kalangan belia dan juga kalangan muda dan saya rasa acara ini dapat memartabatkan dan juga meningkatkan kesayangan dan kecintaan terhadap budaya Melayu," ujar seorang lagi pengunjung, Danial Jamil.

Dalam pada itu, Danial berharap lebih banyak acara sebegini dapat dianjurkan agar golongan muda dapat "menunjukkan penghargaan terhadap budaya Melayu".

USAHA LESTARIKAN BUDAYA & WARISAN MELAYU AKAN DITERUSKAN

Walaupun MHC ditutup buat dua tahun, ia tidak bermakna usaha untuk melestarikan budaya dan warisan Melayu juga akan terhenti seketika.



Usaha itu menurut Cik Asmah akan diteruskan menerusi kegiatan dalam talian, di sekolah, di tempat awam seperti perpustakaan serta bersama rakan-rakan di kawasan Kampong Gelam.

"Kami akan mengadakan beberapa persembahan dan juga pameran bergerak jadi kami akan meneruskan aktiviti-aktiviti kami walaupun kami ditutup," kongsi Cik Asmah.

PESTA INI RAIKAN PENCAPAIAN MUZIUM SEPANJANG BEBERAPA DEKAD

Hadir untuk melancarkan pesta itu ialah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Acara hari ini adalah penting bagi MHC kerana ia menandakan pesta terakhir di sini sebelum ia ditutup buat dua tahun bagi kerja ubah suai akhir bulan ini," ucap Dr Faishal.



"Pesta ini istimewa dalam beberapa cara kerana ia meraikan pencapaian muzium ini dalam beberapa dekad ini dan memberi penghormatan kepada rakan kongsi dan pihak-pihak yang dihargai - dalam negara dan dalam rantau ini yang sudah mengikuti muzium ini sepanjang tahun," tambahnya lagi.

Selain memuji usaha-usaha MHC sejauh ini, Dr Faishal turut berkongsi tentang rancangan baru oleh Perikatan Kampong Gelam (KGA) dalam masa terdekat ini untuk pembangunan Kampong Gelam sebagai pusat masyarakat, budaya, warisan dan perusahaan.

"Saya ingin menyeru kepada MHC dan MHF untuk mengambil peluang dengan pelan yang kita ada itu iaitu 'Place Plan' yang sedang KGA lakarkan untuk membangunkan Kampung Gelam sebagai sebuah kawasan yang relevan, berdaya tahan dan dekat di hati ramai di kalangan masyarakat dan warga kita," menurut Dr Faishal.

Di bawah 'MHC ClosingFest' ini juga, orang ramai boleh menikmati pelbagai kegiatan menarik termasuk Bazaar Nusantara dan persembahan oleh artis-artis tempatan dan dari luar negara sebelum MHC ditutup pada penghujung Oktober ini.

Taman Warisan Melayu dibuka secara rasmi pada Jun 2005 dan pernah menjalani kerja ubah elok dan dibuka semula kepada orang awam pada tahun 2012.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan