Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman Warisan Melayu buka 'Cerita' buat kali terakhir sebelum ditutup selama 2 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Taman Warisan Melayu (MHC) akan melancarkan pamerannya yang terkini pada Jumaat ini (28 Jan), tetapi ia juga yang terakhir bagi pusat tersebut sebelum ditutup selama dua tahun.

MHC ditutup bermula hujung tahun ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pengubahsuaian atau rombakan, sebelum pusat warisan itu dibuka semula kelak. 

Namun sebelum itu, orang ramai akan dapat menikmati pameran selama enam bulan, bertajuk 'Cerita', bermula Sabtu ini (29 Jan). 

"Pameran ‘Cerita’ ini merujuk kepada kisah-kisah sejak permulaan, pembukaan Taman Warisan Melayu. ‘Cerita’ merangkumi kisah-kisah yang telah diturunkan dari generasi ke generasi.

"Yang lebih penting juga, kami ingin menggalakkan perbincangan mengenai apakah identiti orang Melayu Singapura dan apakah sumbangan orang Melayu di persada budaya global kita," kongsi Pengurus Besar, MHC, Cik Asmah Alias. 

KOSTUM GARUDA SEBERAT 80KG

Antara bahan pameran yang pasti menagih perhatian ialah sebuah kostum burung Garuda setinggi 1.7 meter dan seberat 80 kilogram seperti dalam gambar di bawah ini. 

Inilah yang akan menyambut pengunjung ke MHC.

Dipakai semasa persembahan tarian klasik Jogjakarta dipanggil Tari Golek Menak ia 'diterbangkan' khas untuk pameran terakhir MHC itu. 

Sesuai untuk seisi keluarga, pameran ke-10 MHC sepanjang sedekad itu juga mahu menggerakkan perbualan di antara semua golongan usia, khususnya anak-anak muda.

"Kami mengajak orang ramai untuk datang melihat objek-objek ini. Apakah yang tersirat dan tersurat di sebalik objek ini? Apakah cerita yang mereka mungkin boleh bincangkan ataupun boleh tanyakan dengan atuk nenek ataupun ibu bapa," tambah Cik Asmah.

80 ARTIFAK DIPAMERKAN DARI KOLEKSI DALAM & LUAR NEGARA

Pameran itu menampilkan lebih 80 artifak yang dikumpulkan dari dalam dan luar negara. Ia terbahagi kepada dua galeri dengan dua tema berbeza - Kita (Galeri 1) dan Me-reka (Galeri 2). Kedua-duanya bertujuan memberi inspirasi dan perspektif baru mengenai warisan dan budaya Melayu, menurut MHC. 

Selain menggambarkan kehidupan penduduk awal kawasan Kampong Gelam, ia turut mencerminkan budaya dan gaya hidup masyarakat Melayu Nusantara melalui tekstil, barang kemas, makanan dan muzik.

Antara artifak tertua yang dipamerkan ialah duit-duit syilling emas daripada kerajaan Majapahit yang berasal dari abad ke-13. 

Artifak-artifak yang dipamerkan terdiri daripada koleksi negara, koleksi yang dipinjamkan dari institusi antarabangsa serta artifak yang dipinjamkan oleh pengumpul privet tempatan.

Ini termasuklah selendang unik milik balu Allahyarham Presiden Yusof Ishak, Puan Noor Aishah, serta piring hitam dan nota muzik asli lagu kebangsaan 'Majulah Singapura' milik Allahyarham Zubir Said.

PINJAMKAN ARTIFAK DEMI SOKONG USAHA MARTABATKAN BUDAYA MELAYU

Pengumpul privet barangan antik dan vintaj, Encik Rossman Ithnain, 58 tahun pula meminjamkan tiga artifak termasuk sebuah congkak yang cukup menawan dengan ukiran motif burung.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Saya fikir congkak ini agak lama, mungkin lebih daripada 80 tahun dan dibuat di Pantai Timur Malaysia. Yang kedua, gasing. Dan ketiga kendi basuh tangan (bekas basuh tangan). Kerana ianya mempunyai kaitan dengan kebudayaan Melayu di Singapura," kata Encik Rossman, yang mula mengumpul barangan antik sejak sekitar 12 tahun lalu. 

Lebih manis lagi, inilah pertama kali koleksinya dipinjamkan untuk pameran berskala besar sedemikian demi pendidikan dan penghargaan untuk budaya Melayu.

"Penting kita mengimbas kembali tentang tradisi dan cara kehidupan orang Melayu di Singapura, dan juga dalam konteks Melayu Nusantara," tambah Encik Rossman.

Pameran 'Cerita' berlangsung dari 29 Januari hingga 31 Julai 2022, bermula 10.00 pagi  hingga 6.00 petang setiap hari kecuali hari Isnin.

Menurut MHC, pihaknya merancang untuk bekerjasama dengan para pengumpul yang sudah meminjamkan barangan mereka serta dramatis untuk mengadakan sesi-sesi lawatan berpandu semasa musim cuti sekolah nanti.

PESTA BUDAYA MELAYU 2022 KEMBALI SECARA FIZIKAL; ONLINE SELAMA 3 HUJUNG MINGGU

Sementara itu bermula Sabtu ini juga (29 Jan), orang ramai boleh menjangkakan pelbagai lagi aktiviti lain di MHC menerusi Pesta Budaya Melayu 2022.

Acara tahunan anjuran MHC itu berlangsung selama tiga hujung minggu dan antara lain menampilkan sembilan acara fizikal dan online termasuk konsert, bengkel dan forum.

Satu persembahan khas yang menjejak kembali perjalanan seni kumpulan tarian Sri Warisan bersama MHC selama 20 tahun akan dipentaskan di auditorium MHC pada Sabtu ini.

Untuk keterangan lanjut, kunjungi laman Facebook Rasmi MHC di facebook.com/malayheritage

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan