Skip to main content

Singapura

Taman Warisan Melayu bakal papar hampir 280 artifak baharu, koleksi terbesarnya apabila dibuka semula April ini

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hampir 280 artifak - itulah jumlah terbesar objek warisan yang akan dipamerkan di Taman Warisan Melayu (TWM) apabila ia dibuka semula kepada orang ramai pada 25 April 2026.

Ia mengiringi naratif baharu, Dari Rantau Ke Rumah, yang akan membawa pengunjung dalam perjalanan inspiratif, merentasi enam ruang bertema, menelusuri evolusi identiti Melayu Singapura dari Kesultanan Riau-Lingga abad ke-19 dan berkembang ke arah imaginasi spekulatif masa hadapan.

Ini, beserta penemuan baharu sewaktu kerja naik taraf bangunan Taman Warisan Melayu, yang dahulunya merupakan Istana Kampong Gelam.

Siang tadi (3 Feb), pihak media dibawa mengintai apa yang dapat dijangkakan di ruang pameran Taman Warisan Melayu yang telah diubah-suai.

PENEMUAN BAHARU BERI PERSPEKTIF SEGAR KEPADA SEJARAH BANGUNAN TAMAN WARISAN MELAYU
Related article image
Pas haji Allahyarhamha Hajjah Maimunah Haji Abdul Karim  (Gambar: Roslinda Rahmat)
Pada tahun 2023, sewaktu kerja memperkukuh struktur bangunan Taman Warisan Melayu (TWM) dan pengubahsuaian di pintu masuknya, para pekerja menemui sebuah papan tanda cat stensil, yang terletak di belakang sebuah papan tanda pameran.

Elemen pada papan tanda ini, bersama bukti luaran, menunjukkan bahawa tahun 1990 kemungkinan besar merupakan tarikh pemasangan oleh Pejabat Tanah.

Teks pada tanda stensil adalah:
"Crown Land Property, Chapter 382. This Land shall not be assignable or transferable or liable to be attached or sequestrated or levied upon for or in respect of any debt or claim whatsoever. Date – 23 Dec 1897. By Order, Court of Colony"

Dengan itu, pengurus besar TWM, Encik Hafiz Shariff mengulas, "Sejarah yang kita tahu selama ini adalah bangunan ini dibina pada tahun 1840an. Tetapi dengan penemuan artifak ini, ia telah menulis kembali sejarah itu daripada artikel yang kita jumpai yang mengatakan bahawa bangunan ini dibina pada tahun 1897".

Demikian antara penemuan baharu yang memberi naratif segar kepada sejarah bangunan tersebut.

Selepas kerja-kerja naik taraf dijalankan, tiada perubahan ketara pada bahagian luar bangunan, memandangkan bangunan TWM merupakan bangunan bersejarah.

Namun Encik Hafiz sempat berkongsi akan beberapa cabaran yang dihadapi sepanjang usaha memperkukuh struktur bangunan tersebut yang asalnya terletak berdekatan laut.

Beberapa perubahan hasil kerja-kerja ubah-suai hanya ketara pada kawasan dalaman bangunan TWM.

CONGKAK SEPANJANG 2 METER, PAS HAJI SHEIKH HAJI WANITA PERTAMA ANTARA PAPARAN ARTIFAK MENARIK
Related article image
Penolong Kurator TWM, Dr Hadi Osni dengan penemuan terbaharu sewaktu kerja ubah-suai TWM yang merubah sejarah sedia ada.  (Gambar: Roslinda Rahmat)
"Galeri kami akan mengetengahkan beberapa artifak yang menjadi
tunjang kepada kisah-kisah dinamik alam Melayu. Ini merupakan objek-objek yang membawa sejarah peribadi, kenangan masyarakat serta hubungan yang berkekalan yang merentasi dunia Melayu. Antara lain, ia menampilkan pameran terbesar jumlah artifak yang ditonjolkan," jelas Encik Hafiz.

"Galeri kami memaparkan sebanyak 279 artifak secara keseluruhan. Jadi antara artifak terbesar kami adalah Congkak Petalawati yang besarnya hampir 2 meter, yang menonjolkan unsur-unsur karyawan seni yang tradisional daripada Kelantan," celah Penolong Kurator Taman Warisan Melayu", Dr Hadi Osni.

"Artifak menarik lain yang kami tonjolkan adalah Pending yang dipakai oleh lelaki di pinggang sebagai sebahagian daripada busana mereka. Ia milik keluarga diraja Istana Kampong Gelam, melalui ujian gemologi yang kami telah jalankan. Kami mendapati bahawa ia adalah hiasan daripada tembaga berdasarkan emas dan isi dan dihias dengan nilam, delima, zamrud dan berlian daripada Kalimantan," jelas Dr Hadi.

Pengunjung juga dapat menyaksikan sendiri pas haji milik sheikh haji wanita pertama yakni Hajjah Maimunah Haji Abdul Karim.

Di bawah Ordinan Haji, ejen haji di Singapura dikehendaki memaparkan papan tanda menjelang abad ke-20.

Ini merasmikan peranan mereka sebagai perantara dalam menguruskan ibadah haji.

Hajjah Maimunah menyelaraskan perjalanan haji khas untuk wanita.

Inisiatif beliau mengorak langkah bagi lebih ramai wanita untuk menunaikan haji.

Satu lagi paparan menarik juga melestarikan hakikat bahawa Kampong Gelam merupakan pusat perdagangan yang rancak pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, dipacu oleh pelbagai jenis perniagaan.

Kampung Intan yang kini dikenali sebagai Baghdad Street, terkenal dengan perdagangan berlian yang diterajui oleh pedagang Banjar seperti Haji Ahmad Jamal, yang membekalkan barang kemas kepada pelanggan Arab dan Peranakan. Maka itu, alat-alat timbang berlian miliknya turut dipamerkan.

Selain itu, Nekara yakni gendang besar yang digunakan bagi mengesahkan kedaulatan sultan Melayu melalui regalia juga dipamerkan, iaitu set pusaka warisan.

Ini biasanya merangkumi tepak sireh, cogan dan nobat yakni ensembel alat muzik tiupan seperti serunai serta alat genderang termasuk nekara.

"Harapan saya ialah para pengunjung akan meninggalkan Taman Warisan Melayu dengan rasa bahawa ini adalah tempat mereka. Melalui kisah-kisah sejarah dan warisan yang hidup dalam keluarga-keluarga kita, mereka dapat melihat daripada mereka termasuk dalam naratif masyarakat Melayu Singapura yang terus berkembang.

"Jadi bagi saya sendiri, saya harap tempat ini adalah tempat bagi keluarga saya, isteri saya, anak-anak saya dan generasi yang akan datang akan merasa lebih terkait dengan galeri ini dan naratif yang kami pamerkan kerana galeri ini memberi ruang untuk mereka merenung dari mana mereka datang dan juga ke mana kita sedang menuju," luah Dr Hadi Osni.

"Penyegaran semula naratif sejarah di Galeri Taman Warisan Melayu akan menampilkan kepelbagaian dan evolusi alam Melayu. Ia akan menampilkan kumpulan subetnik Melayu yang pelbagai termasuk masyarakat Jawa, Bawean, Bugis, Banjar, Minangkabau dan juga orang Pulau.

"Seiring dengan naratif dan artifak-artifak baru ini, kami juga melakarkan ruang-ruang yang menonjolkan kisah-kisah masyarakat kita dalam usaha untuk membawa identiti dan cerita mereka dekat dengan pengunjung," tambah Encik Hafiz.

"Kami juga menampilkan ruang-ruang seni, ruang-ruang pembelajaran bagi kanak-kanak supaya terus dapat menarik minat mereka supaya mereka dapat lihat bahawa warisan ialah satu yang terus hidup," kongsi Encik Hafiz.

NARATIF BAHARU, PAMERAN AI & PROGRAM DORONG BELIA DEKATI WARISAN MELAYU
Sementara itu, perayaan pembukaan-semula TWM menjelang 25 April, turut mengambil kira usaha menarik minat golongan muda yang mungkin kurang merasa terhubung pada warisan Melayu.

Selain pameran imersif berasaskan AI dan teknologi canggih, pihak penganjur juga akan mengadakan satu program untuk menarik golongan belia.

"Ini adalah satu program yang akan bermula dari malam
hingga ke pagi. Dalam program ini, kami mengajak masyarakat ramai terutama sekali belia-belia untuk datang di mana kami akan juga menayangkan filem, program di galeri dan juga program seperti 'Supper Tour' untuk menjadikan Taman Warisan tapak yang boleh didatangi golongan belia, bukan sahaja untuk ke kafe-kafe di sini, tapi juga di Taman Warisan Melayu," luah Encik Hafiz Shariff.

Dengan pembaharuan ini, TWM berharap untuk mengajak orang ramai merenung bagaimana memori, nilai, dan pengalaman yang pelbagai membentuk identiti masa kini, dan membayangkan kemungkinan bagaimana masyarakat Melayu akan terus berkembang pada masa hadapan.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita