Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman Warisan Melayu anjur pameran bergerak untuk lebih ramai kenali cerita rakyat SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Orang ramai dan kanak-kanak khususnya boleh kenali pelbagai cerita rakyat Singapura melalui sebuah pameran bergerak “Pulau Kecil, Banyak Kisah” oleh Taman Warisan Melayu (MHC) sempena cuti sekolah ini.

Ini termasuk cerita ‘Badang’ dan ‘Singapura Dilanggar Todak’.

Selain dapat meraih maklumat daripada pameran yang menarik, para pengunjung juga dapat mengikuti sesi bercerita, lawatan berpandu ke Taman Rempah-ratus Fort Canning dan sesi kraftangan.

Ini juga sebahagian usaha untuk memperkenalkan kanak-kanak, dari umur lima hingga lapan tahun, kepada kisah legenda Melayu.

“Ianya juga merupakan salah satu cara untuk kita mendekati diri dengan asal-usul dan mungkin dapat menguatkan juga jati diri kita sebagai orang Melayu Singapura,” jelas Pengurus Besar Taman Warisan Melayu, Asmah Alias.

“Melalui program yang kami adakan ini, kami berharap yang ibu bapa dan juga anak-anak akan mendapat peluang untuk lebih menghargai bukan sahaja cerita-cerita rakyat tempatan, tetapi juga di rantau ini sebab ini merupakan warisan hidup yang sering diturunkan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain,” tambahnya.

Selain dapat menguatkan jati diri, kanak-kanak juga boleh teladani sifat-sifat dan nilai-nilai murni seperti rendah diri dan taat setia.

“Acara-acara seperti ini memberi peluang kepada kanak-kanak kami untuk mempelajari tentang kisah dan sejarah Melayu dan Singapura,” jelas salah seorang pengunjung pameran ini, Mohamed Siddiq Mohamed Taib.

GUNA BAHASA INGGERIS TARIK LEBIH RAMAI KENALI CERITA RAKYAT

Uniknya sesi bercerita kali ini, ia dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Penggunaan bahasa Inggeris diharap dapat mendedahkan lebih ramai lagi kanak-kanak tidak kira kaum atau bangsa untuk mengenali cerita-cerita rakyat tersebut.

“Kami mengadakan program ini dalam Bahasa Inggeris jadi kami dapat melibatkan ataupun memastikan yang mereka yang tidak berbahasa Melayu ataupun bukan orang Melayu juga dapat bersama-sama menyertai kami,” ujar Cik Asmah.

“Kami akan pastikan yang jalan ceritanya mengikut cerita asal tapi kadangkala penceritanya akan mengadakan sedikit adaptasi moden dalam komponen interaktif untuk memastikan yang ia lebih relevan kepada kanak-kanak dan juga keluarga pada masa ini,” kata Cik Asmah.

Tukang cerita ‘Badang’ misalnya menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami dan menggabungkan istilah-istilah seperti “jet lag” dan “bodyguard” untuk memberi gambaran yang lebih mudah difahami kanak-kanak kini.

TERUS ANJURKAN ACARA BAGI KEKAL TERJALIN DENGAN MASYARAKAT

Penganjuran acara sebegini juga bertujuan untuk membolehkan MHC kekal terhubung dengan masyarakat meskipun ia kini ditutup buat sementara waktu bagi kerja-kerja naik taraf sejak 30 Oktober 2022.

“Apabila kami tutup, kami akan bekerjasama dengan agensi-agensi yang lain dan meneruskan usaha kami dalam mengadakan sesi-sesi bercerita ini pada masa akan datang juga,” jelas Cik Asmah.

Beliau juga berkata bahawa kisah-kisah yang dipilih selalunya bergantung kepada lokasi dan tema.

Pada cuti sekolah Jun ini, pameran tersebut akan berlangsung hingga 25 Jun di Pusat Fort Canning.

Ia seterusnya akan berpindah ke Perpustakaan Daerah Punggol pada 27 Jun hingga 31 Julai dan seterusnya di Wisma Geylang Serai pada 5 Ogos hingga 9 September pula.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan