Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman 'tabur' abu mayat di Choa Chu Kang terima 1,900 permohonan; tapak baru dibina jelang 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih 1,900 permohonan diterima bagi khidmat menabur abu mayat manusia di kemudahan kendalian pemerintah di darat, iaitu kemudahan pertama seumpamanya, setakat pertengahan September.

Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Rabu (28 Sep), sedang ia mengumumkan pembukaan satu lagi tapak sedemikian menjelang 2024.

"Setakat 13 September 2022, terdapat lebih 1,900 permohonan bagi khidmat menabur abu mayat manusia di darat di Garden of Peace @ Choa Chu Kang."

Taman untuk menabur abu mayat manusia di Kompleks Perkuburan Choa Chu Kang, yang dibuka pada Mei 2021, menerima kira-kira 900 permohonan pada 2021.

Tapak baru untuk menabur abu mayat manusia di Mandai dijangka beroperasi menjelang 2024, menurut NEA, memandangkan ia menjangkakan lebih banyak permintaan bagi kemudahan dan khidmat selepas kematian.

The Garden of Serenity akan diperkenalkan dengan Kompleks Krematorium Mandai yang baru, menurut NEA, sambil menambah bahawa lebih banyak tempat membakar mayat dan kelengkapan bangunan juga akan dipasang secara berperingkat "selaras dengan permintaan".

Kompleks baru itu, yang pada mulanya dijangka siap menjelang hujung 2022, ditangguhkan kerana kontraktor utama Greatearth Construction berdepan dengan masalah kewangan pada 2021.

KEMATIAN TAHUNAN DIJANGKA NAIK SEGANDA

Dengan penduduk Singapura yang semakin menua, jumlah kematian tahunan di negara ini diunjurkan meningkat seganda daripada kira-kira 20,000 pada 2016 kepada 40,000 pada 2040, menurut NEA dalam Laporan Kemampanan Bersepadu 2021/2022.

Unjuran berganda angka kematian tahunan itu akan meningkatkan jumlah permintaan bagi prasarana khidmat selepas kematian dan tenaga manusia industri.

"Oleh itu, keutamaan kami adalah untuk memastikan peruntukan kemudahan selepas kematian yang mencukupi di Singapura, dan untuk mempertingkat standard perkhidmatan industri persemadian," tambah NEA.

Selain merancang bagi bekalan kemudahan selepas kematian, NEA juga mengendalikan kemudahan awam selepas kematian di Singapura, dengan menyediakan khidmat pembakaran mayat, pengebumian, penyimpanan abu mayat dan penaburan abu mayat.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan