Skip to main content

Singapura

Taman orkid, kemudahan mesra keluarga antara ciri diusul bagi Taman Istana yang diperluas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Aug 2026 12:14PM Dikemas Kini : 30 Aug 2026 09:52PM
  • Lembaga Taman Negara (NParks) mengumumkan cadangan peluasan Taman Istana dengan ciri baharu seperti taman orkid, taman permainan alam semula jadi dan galeri warisan.
  • Projek ini melibatkan gabungan Taman Istana dengan Dhoby Ghaut Green, Penang Road Open Space serta sebahagian Orchard Road, menjadikan kawasan lebih tiga kali ganda saiz asal.
  • Antara tujuan utama ialah memperbaharui Orchard Road agar lebih hijau, mesra keluarga, serta memperkukuh hubungan dengan pembangunan komersial dan pintu masuk Istana.
  • Cadangan turut merangkumi taman menghargai wanita Singapura, laluan istiadat baharu, serta ruang fleksibel untuk pelbagai aktiviti, berdasarkan maklum balas lebih 1,500 orang awam.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebuah taman dan plaza khusus untuk orkid tempatan serta taman permainan berkonsep alam semula jadi adalah antara ciri yang dicadangkan bagi Taman Istana yang diperluas, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) pada Rabu (12 Ogos).

Bagi mengekalkan kepentingan Taman Istana sebagai laluan istiadat menuju ke Istana, sebuah laluan istiadat baharu turut sedang dikaji.

Tarikan dalam bangunan seperti galeri yang mempamerkan warisan berbilang budaya Singapura juga antara yang dicadangkan.

Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara Alvin Tan berkata rancangan pemerintah merangkumi usaha meremajakan kawasan Dhoby Ghaut, dengan Taman Istana yang diperbaharui menjadi terasnya.

"Kawasan ini akan menjadi nadi hijau Orchard Road yang diperbaharui - lebih menghijau, lebih bertenaga dan lebih mesra keluarga," kata Encik Alvin Tan semasa rancangan bagi Taman Istana yang diperbaharui diumumkan.
Related article image
Ilustrasi artis kawasan menghijau di Orchard Road. (Gambar: NParks)
NParks turut mengkaji daya maju sebuah jambatan penghubung bertingkat yang menghubungkan Dhoby Ghaut Green dengan Taman Fort Canning bagi menyediakan akses lebih baik ke tarikan lain di kawasan tersebut.

Sebelum ini, diumumkan bahawa Taman Istana akan diubah menjadi sebuah taman baharu yang lebih tiga kali ganda saiznya sekarang.

Ia akan digabungkan dengan Dhoby Ghaut Green dan Penang Road Open Space yang sedia ada, serta jalan sepanjang 500 meter di Orchard Road antara Buyong Road dengan Handy Road.

"Ruang yang jauh lebih besar akan membolehkan kawasan ini diperbaharui dengan tarikan dan kemudahan baharu, yang mungkin merangkumi lebih banyak ciri mesra keluarga, kawasan menghijau serta ruang fleksibel bagi kegiatan dan program," menurut NParks.

Taman Istana yang diperbaharui juga akan memperkukuh hubungan dengan pintu masuk Istana serta meningkatkan integrasi dengan pembangunan komersial di kawasan sekitarnya.

NParks menyatakan butiran lanjut mengenai garis masa pembangunan Taman Istana dan Dhoby Ghaut akan dikongsi apabila tersedia.

Rancangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperbaharui kawasan beli-belah Orchard Road.

Projek Pembangunan Semula Orchard Road diumumkan pada 2019 oleh NParks, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Rancangan yang dicadangkan dibangunkan menyusuli pameran awam dan sesi perundingan yang menyaksikan lebih 1,500 orang memberi maklum balas.

Ramai daripada mereka mencadangkan lebih banyak kawasan hijau dan kemudahan mesra keluarga di sepanjang Orchard Road.
Related article image
Ilustrasi artis taman permainan berkonsep alam semula jadi di Dhoby Ghaut Green. (Gambar: NParks)
CIRI-CIRI BAHARU

Kawasan yang diperbaharui itu akan dibahagikan kepada tiga bahagian utama - Taman Orchid dan Orchid Plaza, Taman Istana serta Dhoby Ghaut Green.

Taman Orchid dan Orchid Plaza dirancang sebagai ruang untuk mempamerkan kepelbagaian orkid tempatan dalam pelbagai habitat, daripada pokok hingga kawasan tanah lembap.

NParks turut mengkaji penggunaan penyelesaian berasaskan alam semula jadi bagi menangani isu daya tahan dan kepelbagaian bio.

Ini termasuk taman air pelbagai fungsi untuk menguruskan aliran air hujan serta struktur yang menyokong kepelbagaian bio di taman tersebut.

Taman Istana yang dibangunkan semula akan mengekalkan kepentingannya sebagai laluan istiadat menuju ke Istana.

Sebahagian Orchard Road yang dijadikan laluan pejalan kaki mungkin diubah menjadi laluan istiadat baharu, dengan tiang bendera dan pokok matang di kedua-dua sisinya menuju terus ke pintu utama Istana.

Laluan istiadat baharu itu mungkin menggantikan gerbang perayaan Taman Istana yang sedia ada.

Tarikan baharu dalam bangunan, termasuk galeri yang mempamerkan warisan berbilang budaya Singapura, turut dipertimbangkan.
Related article image
Ilustrasi artis laluan istiadat yang dicadangkan menuju ke Istana. (Gambar: NParks)
TAMAN HARGAI SUMBANGAN WANITA SG

Dhoby Ghaut Green pula mungkin menempatkan sebuah taman bagi menghargai wanita Singapura, yang pertama kali dicadangkan dalam Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura pada 2022.

"Taman ini akan meraikan semangat perintis dan sumbangan wanita Singapura," menurut NParks.

Ciri-ciri taman itu masih tertakluk kepada kajian lanjut.

Jalan Orchard Road antara Buyong Road dengan Handy Road pula dijangka diubah menjadi laluan kegiatan untuk pejalan kaki yang boleh digunakan bagi pelbagai tujuan.

Ia boleh menjadi lokasi bagi kegiatan seni di luar, persembahan awam, pasar jalanan dan festival masyarakat.

Sebuah taman permainan berkonsep alam semula jadi turut dicadangkan di Dhoby Ghaut Green, dengan ruang riadah terbuka yang disepadukan dengan alam sekitar.

Menurut NParks, kemudahan itu boleh meningkatkan kesejahteraan mental kanak-kanak selain menawarkan manfaat fizikal, mental dan emosi.

NParks juga merancang mewujudkan dua taman kecil di Handy Road dan Somerset yang menyediakan ruang tambahan untuk berehat di sepanjang kawasan beli-belah itu.

Taman tersebut dirancang sebagai ruang mesra keluarga untuk dinikmati semua, termasuk kawasan rehat yang teduh.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita