Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman Merlion dibanjiri pengunjung ghairah saksikan Perbarisan Hari Kebangsaan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Walaupun bukan dalam kalangan 25,000 penonton bertuah untuk menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan di Pentas Terapung Marina Bay, ia tidak sekalipun mematahkan semangat Encik Salim Ismail sekeluarga daripada sama-sama meraikan ulang tahun Singapura di sekitar kawasan Marina Bay.

Ini meskipun terpaksa berjemuran di bawah terik matahari petang tadi.

Bak kata pepatah, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Seawal pukul 2.00 petang tadi (9 Ogos), keluarga besar seramai sembilan orang itu berpakat untuk datang awal bagi mendapatkan tempat paling strategik dekat Taman Merlion.

Anggota keluarga yang paling muda berusia empat bulan manakala yang paling tua, iaitu ibu Encik Salim berusia 78 tahun.

Malah ia juga merupakan tradisi bagi Encik Salim sekeluarga untuk menyaksikan pertunjukan bunga api pada Hari Kebangsaan.

“Tahun ini sama juga sebab yang sama, kami adik beradik dapat cuti jadi kami keluar ramai-ramai tengok bunga api. Kami cari tempat yang teduh seperti di belakang (bangunan). Duduk makan sementara menantikan persembahan,” kata beliau.

Malah, ini juga peluang bagi beliau sekeluarga untuk mengeratkan silaturahmi.

“Suka dapat jalan keluar tengok orang ramai, anak beranak dan cucu semua ada, sukalah,” kata ibu Encik Salim, Sharipah Kosbi.

Bagi Encik Zulkarnain Aziz sekeluarga pula, mereka juga tidak terlepas setiap tahun untuk menyaksikan pertunjukan bunga api dari dekat sambil berkelah di kawasan Taman Merlion.

“Terutama sekali, kami hendak tengok pertunjukan bunga api. Itulah yang paling menarik dalam NDP setiap tahun,” kata Encik Zulkarnain.

Ini juga merupakan kali pertama Hari Kebangsaan dapat disambut secara bebas tanpa langkah-langkah penjarakan selamat yang ketat sejak pandemik COVID-19 melanda.
“Semangatnya tahun ini orang datang balik ramai-ramai jadi saya gembira dengan COVID-19 sudah pergi dan kami boleh berjumpa beramai-ramai.

“Hari ini semangat datang hendak tengok bunga api dengan ramai orang,” kata Cik Ayu Zulkifli.

Malah bukan warga setempat sahaja yang berhimpun di sini.

Ramai sekali pelancong dan juga pekerja hijrahan yang juga enggan terlepas peluang untuk menyertai kemeriahan suasana NDP yang ternyata sangat meriah.
Sumber : BERITA Mediacorp/HA/RR/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan